Home Ads

Wednesday, February 1, 2017

Simfoni

Oleh : Iqram Akmal


Diari 1


Pagi, pukul tujuh. Kelihatan seorang pelajar lelaki sedang berlari sepantas yang boleh sebelum pintu pagar sekolah tertutup sepenuhnya. Pada waktu itu, uniform sekolahnya dalam keadaan yang tidak baik. Walau bagaimanapun, dia tidak peduli akan perkara tersebut. Dalam mindanya, dia hanya fikir untuk sempat masuk ke sekolah sebelum pengawas tutup pintu pagar. Selepas beberapa saat berlari, akhirnya dia sempat memasuki kawasan sekolah.

Dua pengawas yang menjaga pintu pagar pada waktu itu hanya menggeleng kepala melihat gelagat remaja bernama Aqram Aqmal itu. Salah seorang pengawas yang menjaga pagar, iaitu Syafiz Qayyum, terus menegurnya. "Awak lewat lagi, seperti biasa. Pelik betullah, macam mana awak boleh lewat sedangkan kita tinggal di rumah yang sama?" tanya Syafiz Qayyum kepada Aqram Aqmal. Syafiz Qayyum tinggal bersama dengan Aqram Aqmal di rumah keluarga Qayyum, memandangkan Aqram ialah sepupu dia.

Aqram hanya bernafas tercungap-cungap, tidak menjawab soalan yang keluar dari bibir Syafiz Qayyum. Selepas berehat daripada berlari seperti seekor harimau bintang selama beberapa saat, Aqram Aqmal pun kembali berkata-kata. "Apa-apapun, saya masih sempat ke untuk berkumpul untuk perhimpunan?" tanya dia pula kepada Syafiz Qayyum, walaupun sepatutnya dia patut menjawab soalan Syafiz Qayyum sebentar tadi.

Mujurlah pada waktu itu Syafiz Qayyum sudah lupa akan soalan dia. Kemudian, dia berkata kepada Aqram Aqmal bahawa perhimpunan sekolah dibatalkan kerana masalah yang tidak dapat dielakkan. Oleh itu, pelajar dibolehkan masuk ke kelas lebih awal berbanding apa yang telah dirancang di atas jadual kelas.

Aqram Aqmal terus menarik nafas lega mendengar penerangan daripada Syafiz Qayyum dan meminta izin untuk beredar. Tetapi, baru sahaja dia hendak beredar Syafiz Qayyum sudah memegang bahu kirinya dengan kuat. "Awak belum tulis nama awak di Buku Salah Laku ni, Aqram Aqmal. Lain kali, datang awal ke sekolah ya." ujar Syafiz Qayyum, sambil hayun Buku Salah Laku yang nipis itu beberapa kali.

Aqram mengeluh, lalu meminta pen daripada Syafiz Qayyum dan menulis nama dia atas buku itu sebelum dia dibenarkan beredar. Malangnya nasib saya. Itulah yang terkeluar dari bibir Aqram Aqmal semasa dalam perjalanan ke kelasnya yang terletsk berdekatan dengan padang. Lain kali, jangan lewat datang ke sekolah.

Perangai Aqram Aqmal ini tidak sepatutnya dicontohi! Jangan ikut, ya? Selepas dia tiba di kelasnya, waktu itu cikgu belum lagi masuk, memberi nafas lega kepada remaja berusia 17 tahun itu. Kelas dia dalam keadaan yang riuh kerana tidak ada cikgu masuk ke dalam kelas. Semasa dia bergerak ke tempat duduk dia, tanpa disedari cikgu sudah pun memasuki kelasnya dan berdiri di hadapan papan putih.

Dia pun terus meletakkan beg dan turut berdiri bersama rakan sekelasnya yang lain sebelum mengucapkan ‘selamat pagi’. Setelah dibenarkan duduk, cikgu dia pada waktu itu, iaitu Cikgu Boon Peng terus menjemput seseorang masuk ke kelasnya. Orang yang Cikgu Boon jemput itu ialah seorang perempuan yang berpakaian uniform sekolah Korea Selatan dan membawa beg galas berwarna biru tua.

Aqram Aqmal yang tengah minum pada waktu itu secara tidak sengaja tersembur air keluar dari mulutnya semasa melihat perempuan itu, mengejutkan semua rakan sekelasnya dan Cikgu Boon. 'Cantiknya dia' , desis Aqram Aqmal dalam hatinya. "Aqram, awak ok?" tanya Cikgu Boon kepada Aqram Aqmal, dengan nada lemah-lembut dan menggunakan Bahasa Malaysia yang lancar.

Aqram Aqmal terus mengangguk kepalanya sebagai tanda dia dalam keadaan yang sihat sahaja dan berharap Cikgu Boon Peng segera teruskan semula perbuatannya tadi. "Ok class, mulai hari ni kita akan mempunyai seorang pelajar pertukaran dari Korea Selatan. Dia akan bersama dengan kita dan bersekolah di sini selama beberapa bulan. Harap kita dapat berikan kerjasama yang baik untuk buat dia rasa selesa di sekolah ni." ujar Cikgu Boon Peng dengan panjang. Kemudian, semua pelajar berbisik sesama mereka mengenai pelajar yang baru itu.

"Dia ni ke pelajar yang Pengetua maksudkan masa Perhimpunan minggu lepas?"

"Kenapa dia tak masuk kelas hadapan je, betul tak? Kelas tu lagi bagus untuk orang macam dia."

Cikgu Boon Peng terus tenangkan keadaan kelas itu dengan menepuk tangannya tiga kali. Sekelip mata sahaja, kelas itu kembali senyap selepas tepukan ketiga daripada Cikgu Boon Peng. Kemudian, guru kelas untuk kelas Aqram Aqmal itu memberi peluang kepada pelajar pertukaran itu untuk berkata-kata.

"Nama saya Jae Eun. Sebelum ni saya bersekolah di Korea Selatan, tapi saya ditawarkan untuk bersekolah di sini selama empat bulan. Lagipun, tujuan saya ke sini bukan sahaja atas tawaran yang diberikan, saya juga hendak mencari 'tunang' saya." Selepas Jae Eun berkata akan perkataan 'tunang' , kelas kembali menjadi seperti suasana di pasar ikan.

Waktu itu, Aqram Aqmal mula menelan liur. Dia mula terfikir, adakah perempuan di hadapannya itu mungkin rakan dia di laman sosial yang dia gelar 'tunang' kepada dia sebelum ini, walaupun itu hanya satu gurauan? 'T-takkanlah.. dia ni ‘Jae Eun’ yang saya kenal di Internet?' kata Aqram dalam hati.

Sebenarnya, Jae Eun ada kata kepada Aqram bahawa dia akan berada di Malaysia untuk masa yang lama. Walaupun Aqram rasa teruja akan bertemu dengan dia, masa yang sama dia juga rasa takut kerana dia tidak tahu identiti sebenar Jae Eun disebalik laman web Facebook. Kini, perempuan yang dia selalu jumpa di Facebook kini di hadapan dia dan rakan sekelas yang lain! Sementara itu, Cikgu Boon Peng yang mendengar juga terus bertanya soalan kepada perempuan bernama Jae Eun itu.

"Siapa tunang yang awak maksudkan ni, Jae Eun?" Jae Eun terus bergerak ke arah meja Aqram Aqmal, dan menunding jari ke arahnya.

"Dia, cikgu. Dialah 'kesatria' dalam hati dia, atau yang saya kata tadi, 'tunang' saya!" balas Jae Eun sambil menabik dada, rasa bangga apabila menjawab soalan itu. Kemudian, semua mula memerhatikan Aqram Aqmal dengan tajam. "Alamak.. memang betullah teori saya. Dia ni ialah Jae Eun yang saya jumpa di Facebook!"

Sejak hari itu, kehidupan baharu Aqram pun bermula.


Author Image

Iqram Akmal
Saya berharap agar pembaca dapat membaca karya saya dengan tenang dan mengambil apa-apa nilai murni yang saya tanamkan dalam karya.

No comments:

Post a Comment

Kembali Ke Atas