Home Ads

Sunday, May 7, 2017

Memori Bunga Sakura

Oleh : Miss Kii


Bab 2


Loceng berbunyi menandakan seseorang masuk ke dalam butik. Kak Sara mengangkat kepalanya untuk melihat orangnya dan dia tersenyum sebaik sahaja dia kenal siapa itu. Anak perempuan kepada tuan butik ini, Hana.

“Hana! Lama akak tunggu kamu, hampir ingatkan Hana nak makan lunch di kafe sana.” Tegur Kak Sara apabila dia mendekati Hana.

Hana cuma tersengih.

“Maaf lewat. Hmm, ibu di mana?” Matanya mencari-cari kelibat ibu kesayangannya.

“Oh, Puan baru sahaja keluar berjumpa dengan Puan Sri. Katanya urusan penting yang perlu berbincang dengan Puan Sri. Dia pesan minta Hana makan sahaja dulu tanpa menunggunya.”

Kak Sara memberitahu segala butiran yang dipesan oleh ibunya kepada dia. Hana mengangguk, tanda faham dan dengar setiap perkataan yang disampaikan. Nampaknya hari ini juga dia tidak dapat berjumpa dengan ibunya. Sejak pakaian-pakaian yang direka oleh ibunya, Puan Syaza mendapat sambutan luar biasa oleh orang-orang ternama, tak menang tangan Puan Syaza melayan setiap permintaan mereka.

Hana yang tidak meminati bidang yang diceburi oleh ibunya tidakpun mengecilkan hatinya, malah Hana digalakkan olehnya untuk mencari bidang yang benar-benar dia berminat. Puan Syaza tidak mahu anaknya terikat dengannya walaupun dia sibuk dengan butik.

“Marilah, kak Sara. Kita pergi makan tengahari di kedai makan yang baru buka itu. Ramai kata sedap Nasi Lemak Kukus yang mereka sediakan. Lebih baik cepat sebelum terlambat.” Hana mempamerkan sengihnya dan menarik tangan pembantu Puan Syaza untuk keluar dari butik.

“Okay, okay. Sekejap Hana, akak kena tutup butik dulu. Hana tunggu di luar dulu, ya?”

“Baiklah!”

Hana melangkah keluar dari butik itu dan berdiri di hadapan pintu utama. Dia memandang sekilas pada Kak Sara yang mengemas segala barang yang kelihatan berselerak dan mencapai beg tangannya. Kemudian, Hana mengalihkan pandangannya ke langit.

Langit yang cerah tadi berubah warna kepada gelap. Matahari tadi yang tegak di atas kepalanya telah bersembunyi di sebalik awan yang mendung. Hari hampir hujan. Hati Hana berkata bahawa dia tidak boleh percayakan berita tentang cuaca itu lagi.

Tepat pada pukul 2 petang, Hana sudahpun berdiri di hadapan pintu Kafe Sakura. Nasib juga dia terfikir untuk tinggalkan basikalnya di butik ibunya. Dalam perjalanan dia ke sini, hujan gerimis mula menurun dan membasahi bumi. Dia juga telah bersedia membawa payung lipatnya, sepertimana yang telah dipesan oleh Kak Sara.

Sebaik sahaja dia menolak pintu bercermin itu, dia terdengar suara mengaduh di sebalik pintu yang dibukanya. Cepat-cepat dia berpaling ke arah suara itu.

“Izzul? Apa yang kau buat dekat belakang pintu ni? Sudahnya dah buat aku terlanggar kau.”

Tidak ada sedikit perasaan kesian pun pada pemuda yang bernama Izzul yang sedang meraba dahinya. Mungkin pintu itu terlanggar dahinya. Hana menjengket untuk melihat dahi Izzul. Tidak kelihatan merah pun, ada ada sahaja dia ini. Dramatik, sama sahaja dengan Encik Khairul.

“Eee, mengada betul kau ini. Tak teruk pun dahi kau tu.”

“Amboi, sedapnya dia. Sudahlah langgar orang, tak ada minta maaf pun.” Izzul membalas.

“Ops, I am so sorry Sir Izzul.” Hana meminta maaf dengan nada guraunya. Saja mahu mengejek Izzul, pekerja Kafe Sakura yang agak rapat dengannya.

Izzul berusia 24 tahun. Tiga tahun tua daripadanya namun hubungan keakraban seperti adik beradik antara dirinya dan Izzul membuatkan dia selesa berkawan dengannya.

“Kena report dekat Khairul ni, dia kena disiplinkan pekerja dia ni untuk lebih belajar meminta maaf dengan ikhlas.” Izzul dengan sengaja menaik nama Khairul di dalam gurauannya. Dia tahu Hana akan kalah sebaik sahaja nama orang yang dia suka disebut-sebut olehnya.

Terbeliak mata Hana. Eh, nama Encik Khairul pula dia sengaja gunakan. Terfikir yang kemungkinan tuan punya nama boleh terdengar itu, dia memandang sekitar kafe. Di dalam hatinya berharap orangnya tidak ada berhampiran dengan mereka. Izzul yang perasan tu mengetuk perlahan kepala Hana dengan menu yang berada di tangannya sejak dari tadi.

“Khairul tidak ada. Dia pesan jaga kafe dia sementara dia keluar.” Izzul menjelaskan ketidahadiran majikan mereka kepada Hana.

Tidak perlu tunggu Hana menanya terlebih dahulu. Dah jelas Hana sedang mencari kelibat Khairul.

“Eh? Ya kah? Jadi, di mana Encik Khairul?” Hana bertanya sambil tangannya menolak menu yang berada di atas kepalanya.

“Entah, dia kata ada urusan penting. Dia suruh teruskan sahaja kerja tanpa dia.” Balas Izzul sambil menarik menu tersebut dan diletakkan di atas meja di tepinya. Dia mencapai penanda ‘OPEN’ itu dan memusingkannya ke hadapan cermin pintu. Dah tiba masanya untuk menjalankan tugas.

“Oh…” Hana tidak tahu apa lagi dia mahu berkata lalu dia pergi meninggalkan Izzul yang sedang berkemas untuk membuka kafe semula. Dia meletakkan begnya dan mengambil apron yang khas perlu dipakai oleh pekerja Kafe Sakura.

Hana mengeluh. Baru sahaja mahu menatap muka Encik Khairul. Nampaknya bukan rezekinya petang ini. Mungkin juga Encik Khairul memang ada hal yang penting yang perlu dia lakukan di luar sana.

“Panjang mengeluh. Fikirkan Encik Khairul ke?”

“Waaa!” Dia terjerit dan terlompat ke hadapan apabila terdengar suara itu. Dia berpusing badannya dan mencebik apabila dia melihat Anis, salah seorang pekerja Kafe Sakura yang juga rapat dengannya tersenyum sinis. Seakan-akan sedang mengusiknya.

“Kak Anis, tolonglah jangan buat saya terkejut macam ini. Nasib baik saya tidak ada penyakit jantung.”

Kata-kata Hana tidak dibalas tetapi Anis menarik kedua-dua pipi Hana tanpa cuba menyakitkan dia.

“Kan sudah cakap, jangan panggil dengan ‘Kak’. Panggil Anis sahaja.”

Tidak mahu Anis menarik pipinya dengan lebih lama, Hana mengangguk kepalanya berkali-kali, tanda dia akur dengan permintaannya. Anis melepaskan pipi Hana dan menarik Hana keluar dari bilik kecil itu.

“Walaupun Encik Khairul tiada, tapi kerja tetap kena jalan. Okay, Hana?”

“Hmm.. saya tahulah.”

“Atau..”

Hana berhenti berjalan apabila Anis juga berhenti secara tiba-tiba di hadapannya. Dia memaling dengan senyuman sinisnya itu ada lagi di bibirnya. Izzul yang berada berdekatan dengan mereka cuma menyaksikan mereka berdua dari meja kaunter.

“Kita perlu panggil Encik Khairul dan report kepadanya bahawa Hana tak dapat jalankan kerjanya jika Encik Khairul tiada bersamanya dalam jarak radius satu meter?!”

“Oh! Idea bagus! Tunggu, aku cari handphone aku dulu!”

Apabila Anis dan Izzul berganding bahu, cuba menyakat Hana, memang Hana kalah jawabnya. Merona merah pipi Hana. Bukan dari kesan Anis menariknya tadi, tapi kerana mereka mengusiknya!

“Tolonglah, jangan call dia! Hei, Izzul! Jangan!”

Izzul berdekah ketawa sambil diiringi Anis yang juga ketawa dengan reaksi pekerja junior mereka ini. Seronok pula menyakat Hana. Hana pula mencebik pipinya dan akhirnya dia dapat tersenyum kecil sahaja. Suasana ceria sebaik sahaja adanya Izzul dan Anis dengannya.

Tapi dia juga tertanya-tanya, Encik Khairul selalu sahaja hilang setiap pada hari Rabu petang. Ya, dia baru sahaja perasan itu sebaik sahaja dia bermula bekerja dua minggu di situ. Pertanyaan itu dia tidak dapat keluarkan kepada Izzul yang rapat dengan Encik Khairul, mahupun orangnya sendiri.

Mungkin.. dia akan mencari jawapannya sendiri.

Bersambung..

Bab 1


Author Image

Miss Kii
Terima kasih kerana sudi membaca. Harap dapat bagi apa-apa komen kepada karya saya..

No comments:

Post a Comment

Kembali Ke Atas