Home Ads

Wednesday, October 5, 2016

AIRIS : Bukan kisah manusia biasa

Oleh : Danial Haikal


2. Biru Neon

Airis langsung tidak tahu kemana arah tujuan Juna. Dia langsung tidak berani untuk membuka matanya ketika Juna berada dalam keadaan biru neon itu. Dia sedar Juna sedang bergerak pantas, tapi kerana berjaya dimomokkan dengan filem dan drama yang matanya mungkin terkeluar ketika bergerak laju, Airis mahu kekal percaya.

Digenggam erat tangan Juna yang juga sedang memegang lengannya. Takut terlepas dan dia nanti tercampak sehingga bersepai tubuh badannya. Ish, takutnya! Bermacam-macam perkara bermain di dalam fikiran Airis. Tentang Juna, tentang dirinya, juga tentang sekumpulan manusia yang sedang memburunya. Kalau tiada Juna, entahlah apa yang akan berlaku pada dirinya sejak dua hari lalu. Walaupun masih keliru, hanya Juna orang yang perlu dia percaya. Apa saja yang bakal terjadi nanti, Airis pasrah.

"Kita dah sampai, Airis."

Airis sedar dan membuka mata. Yakin kerana kakinya kini sudah menjejak tanah. Jika masih berasa terapung, memang dia akan kekal menutup mata.

"Kita kat mana ni, Juna?"

"Jangan risau. Lokasi yang selamat dari radar Fellows. Awak masih pening-pening ke?" tanya Juna.

Airis tersenyum kelat sambil menjeling manja. Teringat dia sewaktu pertama kali bersama Juna dalam keadaan biru neon itu. Kepalanya terlalu pening sehingga muntah-muntah. Tapi setelah beberapa kali, Airis terbiasa dan berjaya menahan dirinya.

Mereka berjalan di koridor yang agak sempit. Keadaanya gelap dan hanya diterangi cahaya samar-samar dari sebalik dedaun pintu di hadapan mereka. Airis segera mendapatkan lengan Juna dan berdiri rapat dibelakangnya. Jaket kulit Juna yang lusuh itu diramas kuat sehingga Juna berpaling dan tersenyum. Juna membuka pintu itu dengan tenang dan mereka kini berada di dalam sebuah bilik yang penuh dengan kelengkapan elektronik.

"Juna melaporkan diri. Misi Airis, selesai." nada Juna agak tegas.

Airis menjenguk perlahan disebalik tubuh Juna yang tinggi lampai itu. Di hadapan mereka kelihatan seorang lelaki berumur, seorang wanita muda dan beberapa pemuda dalam keadaan berkawal. Sebuah meja bujur yang besar berada di tengah-tengah bilik tersebut. Mereka yang duduk disitu memerhatikan Juna dan Airis dengan penuh kejutan.

"Airis? Dia benar-benar wujud?" soal lelaki berumur tadi.

"Jangan takut, Airis. Saya Tuan Duka, ketua untuk markas Antidot kawasan Lembah Permata. Silakan duduk." Wajahnya sangat mesra. Tangannya dihayun perlahan menarik kerusi beroda dari meja dan diberikan kepada Airis.

"Tuan ni siapa? Apa yang sedang berlaku ni? Kenapa ada orang yang cuba culik saya? Ini semua..."

Belum sempat Airis menyudahkan setiap soalan yang bermain difikirannya, wanita muda itu mencelah.

"Bertenang, Airis. Kami tahu Airis ada banyak persoalan. Sebab itu, selepas dapat 'ping' kewujudan Airis di sini, kami tugaskan Juna untuk melindungi Airis dan bawa kesini.

Oh, maaf. Saya Arora, pembantu Tuan Duka."

"Airis tahu kan kebolehan Juna? Jaluran biru neon tu?"

"Ya. Beberapa kali Juna selamatkan saya dalam keadaan biru neon tu.." jawab Airis perlahan dan menoleh ke arah Juna yang sedang duduk disebelahnya.

"Sama seperti Juna, Airis juga ada kebolehan tertentu. Kami gelarkan kelompok ini sebagai Forte; manusia dengan kebolehan luarbiasa." jelas Arora.

Airis kaku seketika. Kakinya terasa kebas, tangannya menggigil. Dia tidak kesejukan, tapi dia gementar. Dia membisu untuk beberapa ketika, memberikan peluang untuk akalnya menghadam logik penjelasan Arora sebentar tadi. Ditenungnya wajah Juna. Air matanya mengalir tanpa sedar. Dia terus bangun dan meninggalkan bilik tersebut. Fikirannya jadi buntu dan kusut. Apa yang dimaksudkan dengan 'kebolehan luarbiasa'? Dia adalah seorang Forte?

......

Juna cuba mendapatkan Airis. Tuan Duka mengangkat tangan dan menyuruh Juna bertenang. Namun, Juna mengendahkannya. Sambil tangannya memulas tombol pintu, dia berkata;

"Saya pernah buat kesilapan dahulu. Ketika tu saya sendiri tanpa bantuan sesiapa. Tapi sekarang, Airis tak sendirian. Saya akan bantu dia supaya dia tak buat kesilapan seperti saya dahulu.."

Pintu ditutup. Arora memandang Tuan Duka dengan kerisauan, tapi Tuan Duka membalas pandangannya dengan tenang. "Betul. Kali ini mereka tak lagi sendirian." katanya.

Fin - Bahagian 2


1. Airis
Author Image

Danial Haikal
Terima kasih kerana membaca, mohon beri komen tentang cerita ini.

No comments:

Post a Comment

Kembali Ke Atas