Home Ads

Wednesday, January 25, 2017

Ficelles

Oleh : Iqram Akmal


Bab 1 - Tempat Baharu


"Saya, di mana ni?" Seorang perempuan berusia 17 tahun yang bernama Lili Faziana mula tertanya-tanya apabila mendapati dia berada dihadapan sebuah pondok yang dijilat dengan api. Melihat babak itu dengan ketakutan, dia cuba berundur dari situ. Masa itu jugalah badannya mula tersentuh sesuatu dibelakang.

Apabila Lili mengalihkan pandangannya, dia ternampak tiga rangka manusia, sedang tergantung dihadapannya. Kemudian, tiga rangka tersebut tersenyum, sambil cuba mendapatkan Lili walaupun gagal disebabkan tergantung dengan tali yang terikat pada leher mereka. 

Kemudian, suara seseorang sedang ketawa terbahak-bahak pula didengari selepas tiga rangka manusia tersebut hilang dari pandangan perempuan itu. Lili segera menutup telinganya, disebabkan ketawa tersebut menjadi semakin kuat, malah berulang-ulang.

"HENTIKANNYA! KETAWA TU BUAT TELINGA SAYA SAKIT!", jeritnya.

Ketawa tersebut pun terus terhenti apabila Lili Faziana terdengar akan seseorang sedang membangunkan dia dari babak yang ngeri bagi dia mahupun kedua-dua telinganya itu.

"Lili, bangun. Kita dah sampai." Kelihatan seorang wanita berusia 48 tahun yang bernama Puan Zahira, ataupun ibu Lili sedang membangunkan anaknya yang rupanya dari tadi tertidur di tempat duduk kereta bahagian belakang.

Apabila Lili tersedar dari tidurnya, dia menarik nafas lega dan berkata dengan selamba, "Mimpi je rupanya tadi tu." Tanpa menyedari niat sebenar Puan Zahira hendak bangunkan dia adalah hendak Lili membantu dia mengemas barang dalam kereta, Lili Faziana terus memasuki rumah baharu keluarganya untuk membuat sedikit ‘review’ walaupun tidak diperlukan.

Ayah Lili yang bernama Encik Aidil pula sedang mengambil dua beg pakaian dari bonet kereta kepunyaannya sambil tersenyum, kerana hari dimana dia dan isterinya tunggu selama ini dah pun tiba, iaitu berpindah jauh dari tempat asal, iaitu Kuala Lumpur. Walau bagaimanapun, Lili tidak menyukai suasana tempat baharunya itu kerana dia belum sedia untuk berpindah lagi.

Sebenarnya, Encik Aidil dipindahkan ke Pahang atas urusan kerja di sebuah syarikat kecil dan pada mulanya Lili buat keputusan untuk tidak setuju akan keputusan Encik Aidil untuk berpindah, tapi nak buat macam mana, kata orang-orang tua anak kena patuh akan arahan ibubapa. Oleh itu, Lili Faziana terpaksa menerimanya walaupun dia masih mengeluh akan perkara tersebut.

Rumah baharunya itu mempunyai tiga bilik yang sudah tersedia katil bersaiz sederhana besar dalam setiap bilik. Salah satu dari tiga bilik tersebut ada bilik air. Selain itu, Bilik air utama rumah itu pula berada berdekatan dengan dapur dan sempit, menyebabkan ruang untuk menyimpan mesin basuh tidak ada langsung! Lili Faziana yang melihat rupa bentuk rumah itu mengeluh untuk kali kedua. Dia mula membuat teori bahawa ada kemungkinan Puan Zahira akan meletakkan mesin basuh di luar rumah, menyebabkan Lili Faziana rasa seram apabila disuruh mencuci mahupun mengambil kain yang telah siap dicuci pada waktu malam.

Waktu itu juga, Encik Aidil memanggil nama anak perempuannya itu dengan kuat. Lili Faziana yang mengelamun terus menyahut panggilan ayahnya dan segera bergerak ke ruang tamu "Lili, boleh ambilkan ayah beg tu tak?" pinta Encik Aidil kepada anaknya itu.

Lili terus mengangkat beg yang kebetulan berada disebelahnya itu sambil menunjukkan Encik Aidil muka dia yang berkerut. Encik Aidil yang perasan akan gelagat Lili Faziana terus menyuruh Lili meletakkan sebentar beg dan tanya akan soalan kepada Lili.

"Kenapa ni, Lili? Tak sihat ke?" tanya Encik Aidil kepada Lili Faziana.

"Saya tak suka berada di sini. Saya belum bersedia untuk berpindah." balas Lili, sambil menundukkan kepalanya. Encik Aidil yang mula faham akan gelagat Lili itu terus menggosok kepala anak perempuannya itu dengan perlahan. Dia tahu Lili mudah menjadi tenang selepas dia lakukan tindakan itu.

"Sepatutnya Lili gembira dapat berpindah. Mungkin pada peringkat awal kita tidak berasa selesa di kawasan perumahan ni, tapi beberapa hari kemudian nanti dah biasalah tu. Berhenti merungut dan tunjukkan senyuman. Boleh?" kata bapanya lagi dengan selamba, sambil ketawa kecil semasa mengemaskan barang di ruang tamu.

Gadis yang masih bersekolah itu hanya mampu menganggukkan kepala dan menunjukkan senyuman. Lili pun menyambung kerja yang disuruh oleh Encik Aidil, kemudian masuk ke dalam bilik dia yang dah siap dikemas oleh Puan Zahira semasa masih dibuai mimpi.

Dalam bilik, banyak soalan bermain di kepala Lili. Antaranya, bagaimana dia hendak menghubungi rakan-rakannya sedangkan di situ langsung tiada talian? Bagaimana dia hendak membuka laman sosial serta bermain online game sedangkan talian internet pun tidak sampai di kawasan tersebut? Mahu tak mahu, dia perlu lupakan semua soalan itu dan sentiasa menunjukkan senyuman yang manis di tempat yang baharu.

*****

Beberapa jam selepas mereka berjaya meletakkan barang-barang yang mereka bawa, kedatangan mereka disambut dengan sederhana oleh jiran baharu mereka, iaitu Encik Qayyum bersama anak lelakinya. Jiran baharu itu meletakkan meja kecil di luar rumah baharu Lili dan meletakkan sebotol air mineral dan beberapa cawan kertas.

Lili terus mengambil satu gelas lalu meneguk air mineral tersebut hingga habis. Encik Aidil dan Puan Zahira hanya mampu menggeleng kepala melihat perangai Lili. Mana tidaknya, boleh pula dia terus minum tanpa mengucapkan terima kasih kepada jiran baharu.

Selepas minum, Lili mengalihkan tumpuannya pada anak lelaki Encik Qayyum pula. Dia terus terkesima melihat dia disebabkan rupa parasnya yang unik.

Rambutnya berwarna coklat muda dan berkulit coklat yang tidak begitu gelap warnanya. Menurut Encik Qayyum, anaknya itu mengikut muka isterinya yang berketurunan Irish.

Menurut Encik Qayyum lagi, dia mula berjumpa dengan isterinya semasa menghadiri majlis perjumpaan semula bekas pelajar sekolah. Selepas itu, Lili pun terus menyapa anaknya itu dengan bertanya akan namanya. Tetapi, dia tak berikan apa-apa reaksi, menghairankan fikiran Lili melihatnya.

"Kenapa dengan dia ni, pakcik? Baru tanya nama, dah malu ke? Belum lagi saya minta nombor telefon dia lagi." tanya Lili dengan menyelit lawak yang agak hambar. Encik Qayyum ketawa mendengar kata-kata anak perempuan jiran baharu di sebelah rumahnya itu.

"Memandangkan dia malu, biar pakcik sahaja yang beritahu nama dia. Nama dia Fauzan Jefri. Maaflah kalau dia diam je, sebab dia ni jarang bercakap dengan orang lain, kecuali saya dan ibu dia." balas Encik Qayyum mengenai anak lelakinya yang bernama Fauzan Jefri itu. Lili hanya mengangguk faham, kemudian beredar dari situ disebabkan ibunya mula panggil dia.

‘Dia pelik, dan terlalu kacak untuk jadi seorang yang pendiam. Mungkin ketibaan saya di sini taklah teruk. Mungkin saya boleh berkawan dengan dia.’ desis Lili dalam hati sambil ketawa dengan suara yang perlahan.

Tanpa disedari oleh semua orang di luar rumah Lili Faziana pada waktu itu, dua orang sedang memerhatikan mereka dari jauh. Adakah dua orang itu ada niat jahat terhadap keluarga Lili mahupun keluarga Fauzan? Hanya Allah sahaja yang mengetahui.


Author Image

Iqram Akmal
Saya berharap agar pembaca dapat membaca karya saya dengan tenang dan mengambil apa-apa nilai murni yang saya tanamkan dalam karya.

No comments:

Post a Comment

Kembali Ke Atas