Home Ads

Saturday, January 21, 2017

Lagenda Pendekar

Oleh : Andika Wira Jiwa


Bab 4 - Pertarungan bermula


Pertarungan bermula Suasana gelanggang semakin riuh dengan sorak penonton. Dengan satu lagi pukulan gendang besar mereka pun memulakan jurus masing-masing. Seperti ayam sabung mereka mula berlaga diantara satu sama lain tanpa menghiraukan sebarang permasalahan lain di bumi ini.

Masing-masing dengan kesungguhan dan keazaman. Jurus demi jurus dipertaruhkan. Kepantasan mereka juga tidak boleh dipandang ringan. Tumbukan padu, sepakan terbang dan bunga-bunga silat berselang seli. Sesekali berberapa perajurit itu berteriak kesakitan. Sesekali mereka juga berteriak untuk menaikan semangat atau menguatkan pukulan.

Setelah sepuluh minit berlalu kelihatan sepuluh perajurit rebah dan sepuluh lagi masih berdiri. Bagi yang tewas perjalanan hari itu sudah tamat. Tapi bagi yang menang, perjalanan ke arah penghujung hari itu akan terus menjadi tanda tanya bagi mereka sendiri dan ribuan mata yang menonton.

Bukit Juara Helang terus dipenuhi suara sorak riuh rendah yang menggamatkan. Perajurit terus menerus menggembeling tenaga dan kemahiran dengan matlamat yang satu. Mereka perlu menang.

Bagi perajurit yang masih berupaya untuk bangun sendiri mereka beredar ke sudut lain ditepi gelanggang. Bagi mereka yang sudah tidak berupaya pula diangkat oleh rakan mereka ke sudut tersebut. Untuk masa berikutnya mereka akan hanya menjadi sebahagian daripada penonton.

Pong! Kumpulan yang berikutnya mendadak meluru ke tengah gelanggang. Dua puluh lagi perajurit masuk. Setelah bergelut dengan pencak silat dan pukulan masing-masing selama lebih kurang lima belas minit keputusan lantas diketahui. Sepuluh masih berdiri dan sepuluh lagi terbaring mengerang.

Masa terus berlalu dengan agenda yang serupa. Penonton-penonton kian galak menyorak dengan riuh. Apabila terdapat adegan yang agak mengerikan, serentak mereka mengeluh dan menjerit-jerit. Sebahagian mereka merasa kasihan terhadap perajurit yang menjadi mangsa tetapi sebahagian yang lain merasa gembira melihat keupayaan perajurit-perajurit itu menghasilkan buah pukulan tepat dengan jurus yang cantik.

Andika Wira Kara tidak lagi begitu ghairah dengan keadaan sekeliling. Kalau tadi matanya tertumpu pada gerak langkah perajurit-perajurit ditengah gelanggang, tapi kini tidak lagi. Malah tumpuan matanya sama sekali berubah arah.

Dengan renungan yang tajam Andika Wira Kara memandang tanpa henti ke arah Baginda Putera Adi Arjuna Perwira Sakti. Dia sedang mengamati gerak langkah raja itu. Sesekali dia menjeling kearah Guru Empoh Waniang Hitam yang semakin tenggelam dengan gaya persilatan anak buahnya. Pandangan Andika Wira Kara tepat tanpa berkelip. Seperti patung yang kesejukan dilanda embun malam dingin yang tiada angin bertiup. Pandangannya sejuk tanpa berperasaan. Sesekali mulutnya mengertap melagakan gigi-giginya yang kuat.

Andika Wira Kara jelas mempunyai niat dan perasaan tersendiri di puncak Pertandingan Juara Gangga ini. Buat masa ini, pusingan pertama masih lagi berjalan. Tiada siapa yang peduli akan niat dan perasaannya. Malah tiada siapa yang ambil pusing tentang kehadirannya di temasya itu. Masa akan menentukan adakah hari ini satu sejarah peribadi bagi Andika Wira Kara akan terukir, malah mungkin satu sejarah Kota Warga Gangga turut ditempa.

Pusingan pertama telah berlalu. Dua ratus lima puluh perajuirt telah tertewas dan dua ratus lima puluh perajurit yang lainnya masih perlu meneruskan pertandingan itu. Walaupun telah memenangi pusingan pertama tadi, kemenangan itu bukan datang dengan mudah bagi kebanyakan mereka. Mereka juga telah cedera di beberapa bahagian badan. Sebahagian daripada mereka kelihatan sedang melumur pelbagai jenis minyak ubat di bahagian-bahagian badan mereka. Mungkin sedang cuba melegakan kesakitan.

Namun semangat dan rasa cinta terhadap tanah air serta pengorbanan terhadap raja menyebabkan mereka sama sekali tidak menghiraukan kecederaan dan kesakitan mereka itu. Sedangkan nyawa sekali pun mereka sanggup pertaruhkan inikan pula luka dan calar.

Pusingan kedua mempunyai peraturan yang agak berlainan. Lima puluh perajurit akan memasuki gelanggang pada masa yang sama. Meraka bebas untuk menentang dan menumpaskan sesiapa sahaja yang berada di dalam gelanggang. Jumlah lawan adalah bebas. Dua atau lebih perajurit boleh mengeroyok seorang perajurit dan mengalahkannya sebelum beralih keperajurit yang lain. Mereka dibenarkan menyusun strategi dan berpakat sesama meraka.

Sebenarnya di dalam pusingna kedua ini, peraturan lebih menyerupai keadaan sebenar pertandingan semasa peperangan. Perajurit-perajurit mestilah bijak menyusun akal untuk menang. Kemenangan sebenarnya bukan sahaja milik orang yang gagah, tetapi juga orang yang bijak, dan dalam banyak hal orang yang licik dengan tipu helah selalunya lebih cemerlang memperbodohkan orang yang hanya tahu menggunakan kekuatan sahaja. Sehinggalah orang yang kuat tetapi bodoh akan mengikut telunjuk dan dipijak-pijak oleh mereka yang bijak.

Nampaknya pusingan kedua ini lebih mencabar. Kekuatan minda dan tenaga perlu disatukan dalam masa yang sama. Pihak penjaga masa akan memulakan pertandingan dengan memukul gendang besar dan menamatkan pertandingan dengan memukul gendang besar semula dalam masa kira-kira dua puluh minit. Mereka yang tumbang akan diheret keluar dan mereka yang masih berdiri akan dikira sebagai pemenang pusingan.

Pong! Pong! Pong! Gendang besar dipalu untuk sekian kalinya. Lima puluh orang perajurit memdadak masuk ketengah gelanggang. Semuanya kelihatan amat bersemangat. Mereka berbaris di dalam satu bulatan dengan memandang kearah luar. Setiap seorang daripada mereka tidak menghiraukan siapa di sebelah kanan dan siapa di sebelah kiri. Walaupun mereka selama ini kenal mengenali di antara satu sama lain, tetapi keadaan yang menyelubungi gelanggang di Bukit Juara Helang pada masa ini adalah sebaliknya. Jika selama ini mereka diwajibkan tolong menolong di antara satu lain, tetapi kini mereka harus mengalahkan di antara satu sama lain tanpa sebarang rasa belas kasihan. Pantangnya hanya satu, jangan membunuh. Tidak dibenarkan sama sekali membunuh.

Pong! Gendang dipukul sumula. Serentak dengan itu semua perajurit seramai lima puluh orang ditengah-tengah gelanggang itu berteriak kuat dan melompat kemerata-rata arah mencari lawan masing-masing. Sambil bunga silat diperagakan, mata mereka kesana kemari mencari lawannya yang difikirkan sesuai atau bersengkokol dengan musuh yang lain untuk menumpaskan musuh yang lain.

Setelah tiga minit berlalu meraka masing-masing nampak sudah bertekad akal dan strategi. Pertandingan semakin rancak dan hebat. Pukulan-pukulan tangan kosong dan tendangan demi tendangan semakin kencang dan bertenaga. Pekikan-pekikan kesakitan kedengaran di sana sini. Malah sesekali terdengar bunyi berderap-derap tulang tangan dipatahkan. Seraya dengan itu teriakan mereka menjadi bertambah mengerikan.

Seperti perajurit yang sedang bergelumang dengan nasib dan usaha tulang empat kerat, penonton-penonton juga turut terjerit-jerit. Sebahagian ketakutan dan sebahagiannya kengerian. Malah terdapat yang muntah tanpa dapat mengawal diri masing-masing kerana keadaan persilatan perajurit yang menjadi semakin hebat di tengah gelanggang. Apatah lagi jika perajurit yang tumbang itu adalah anak-anak atau kaum kerabat mereka sendiri.

Andika Wira Kara masih dengan gelagat ganjilnya itu. Dia tidak langsung menghiraukan apa yang berlaku di tengah gelanggang. Dia tidak langsung bersorak apatah lagi terjerit-jerit seperti lazimnya semua penonton lain disekelilingnya.

Di tempat duduknya Andika Wira Kara sebenarnya sedang mengatur pernafasannya dengan perlahan-lahan. Dengan kaedah pernafasan yang diajar oleh bapanya dahulu, Andika Wira Kara perlahan –lahan meningkatkan tenaganya. Walaupun pada zahirnya budak ini kelihatan manis dan lemah lembut, tetapi badannya sebenarnya sekeras besi waja yang mampu menahan tendangan kosong perajurit –perajurit yang sedang berlaga dihadapannya itu. Itulah hasil latihan pernafasan yang diamalkannya sejak dua tahun yang lalu. Sedangkan perajurit-perajurit Kota Warga Gangga akan hanya menjalani latihan yang sama jika mereka melepasi Pertandingan Juara Gangga ini dan diterima untuk menjalani latihan Peringkat Kedua Ilmu Persilatan Helang Jingga. Bagi Andika Wira Kara, perajurit-perajurit tersebut hanya umpama bahan latihannya.

Namun begitu Andika Wira Kara perlu membuktikan andaian yang dibuatnya itu. Dia perlu turut sama di gelanggang dan kemudian keluar pula dari gelanggang dengan kemenangan.

Bab 3
Author Image

Andika Wira Jiwa
Setapak demi setapak mari kita hayati perjalanan hidup seorang pendekar muda yang ditakdirkan merajai seluruh dunia persilatan sepanjang zaman. Let's have fun.

No comments:

Post a Comment

Kembali Ke Atas