Home Ads

Monday, January 16, 2017

Lagenda Pendekar

Oleh : Andika Wira Jiwa


Bab 1 - Jurus ditengah gelanggang


Di dalam kedinginan senja ketika angin bertiup dengan amat kencang begini, kebanyakan anak kecil sebaya dengannya lebih senang duduk sahaja didalam pelukan ibu mereka. Mungkin ada juga yang menangis ketakutan mendengar deruan angin yang bertiup itu. Masa begini bukan untuk anak kecil bermain, apatah lagi bermain dengan kederasan angin yang begitu kencang.

Ribut terus menderu. Tiupan angin kencang semakin menjadi-jadi. Daun-daun berterbangan mengikut rentak tarian angin yang tidak mengenal sebarang erti batasan. Sesekali ranting-ranting sebesar lengan turut berheret-heretan ditiup angin. Sungguh mengerikan. Semua rumah-rumah di kawasan itu tertutup. Senja kian berlabuh malam. Angin ribut itu masih menderu tanpa menampakkan sebarang tanda untuk reda. Sudah beberapa lama daerah itu tidak ditimpa hujan. Harapan supaya hujan akan turun nampaknya sudah datang bersama-sama hadirnya angin ribut diawal malam ini. Tapi keadaan ribut itu semakin menakutkan setiap insan disekelilingnya. Lantas sebahagian daripada mereka mungkin berharap agar segalanya akan berhenti dengan begitu sahaja.

Tik. Tik. !! Beberapa titisan pertama air hujan sudah mulai turun. Nampaknya harapan menggunung sekelian penduduk daerah itu sudah terkabul. Tentunya tuhan masih sayangkan makhluknya. Segala cabaran mestilah sentiasa diterima dengan tabah dan penuh kesabaran. Walaupun cabaran kali ini tidak kurang hebatnya mereka terpaksa menghadapinya. Harapan mereka telah terkabul walaupun disertakan dengan dugaan ribut yang menggila dan kian menggila.

Hujan semakin lama semakin lebat. Tiada bumi dikawasan itu yang tidak dibasahinya. Turut basah dan kesejukan didalam deruan ribut itu adalah seorang budak lelaki yang berumur dalam linkungan sepuluh tahun. Dia masih berdiri dipuncak Bukit Juara Helang yang terletak dipenghujung kota. Bermain dengan air dan angin ? Adakah budak ini telah kehilangan kewarasannya? Dimana penjaganya? Angin dan hujan yang lebat itu boleh membunuhnya. Adakah dia sengaja cuba melawan kekuatan alam?

Namun dalam keadaan yang tiada tanda redanya dan kegelapan malam yang semakin mencengkam, budak itu masih tersenyum. Matanya terus memandang ke arah langit yang hitam gelap. Mata itu dari sejak tadi tidak berkelip. Terus merenung. Mukanya juga tidak menunjukan sebarang reaksi terhadap keadaan sekeliling. Dia seolah-olah tidak menghiraukan langsung dengan apa yang terjadi disekelilingnya. Dia benar-benar asyik.

Wajah itu amat manis. Wajah manja budak lelaki sepuluh tahun. Keningnya tebal dengan mata tajam jernih. Sesuai dengan panggilan Bukit Juara Helang mata itu tajam dan terus merenung. Hidung tirus berbibir nipis amat menyenangkan sesiapa yang memandangnya. Tetapi dengan renungan yang dia lakukan didalam keadaan penjelmaan malam begini sesiapa sahaja akan merasa ngeri melihatnya.

Sesekali tangannya didepangkan ke atas dan ke bawah seperti ingin terbang menceroboh angkasa. Jejari halusnya sentiasa tergenggam erat. Kakinya berpijak tegap diatas bumi yang kian membasah. Dia bagaikan tidak langsung terdorong dengan tiupan angin yang amat kencang itu. Kedudukannya tetap dan tegap. Tentunya itu melambangkan keperibadiannya yang amat tegas dan tidak mudah mengalah.

Masa terus berjalan. Kira-kira selepas lima jam berlalu barulah angin dan hujan tersebut mulai reda. Kini hanya rintik-rintik hujan yang masih turun. Bumi daerah Kota Warga Gangga kembali aman. Kemarau hampir setahun itu telah dibasahi dengan hujan semalaman. Harapan penduduk kota Kota Warga Gangga kini berputik kembali. Telah hampir setahun kemarau itu membawa bermacam kesukaran buat mereka dan kini segala kesukaran itu mungkin akan berakhir.

Budak sepuluh tahun itu tetap masih disitu dengan gelagatnya yang masih tidak berubah. Adakah ini caranya bergembira terhadap hadirnya hujan pada malam itu? Sedangkan penduduk lain telah lama berlabuh meranjau mimpi indah. Adakah benar budak ini dapat merasakan kegembiraan terhadap hadirnya hujan yang membunuh siksa kemarau sepanjang tahun? Budak sepertinya hanya tahu berkejaran dan bermain pepatungan di jalanan kota ini. Budak sepertinya hanya tahu saling bergurau dan usik mengusik sesama rakannya.

Lampu-lampu di kebanyakan rumah dikota itu semakin malap dan sebahagiannya telah pun padam. Tentunya penduduknya merasa amat senang hati. Esok sahaja mereka akan meraikan kegembiraan terhadap kehadiran hujan itu. Kemarau sepanjang tahun telah berlalu. Begitulah harapan mereka

Budak itu masih disitu. Andika Wira Kara. Begitulah panggilan penduduk kota itu terhadapnya. Sejak dua tahun yang lalu dia dan bapanya telah berhijrah ke kota itu untuk mengadu nasib. Malangnya semasa berlaku peperangan menentang pencerobohan kumpulan Lanun Beradik Lapan Lautan, bapanya telah menghilangkan diri tanpa berita. Mengikut cerita penduduk kota, bapanya yang dikenali sebagai Tok Aki Mendut telah berjuang bermati-matian dan telah berjaya membunuh ramai penceroboh–penceroboh itu walaupun dia bukan terdiri daripada perajurit Kota Warga Gangga. Tanpa diketahui sebabnya, bapa Andika Wira Kara itu terus hilang hingga kini.

Sejak daripada itu penduduk kota itu menggelar Andika dengan gelaran Wira kerana jasa ayahnya. Namun kerana dia kini tinggal sebatang kara tanpa ibu dan bapanya, mereka menganggap panggilan Andika Wira Kara lebih menepati keperibadian budak itu.

Andika Wira Kara masih berdiri tegak ditengah-tengah Bukit Juara Helang. Bukit itu adalah tapak latihan persilatan bagi seluruh penduduk kota. Hampir setiap malam perajurit Kota Warga Gangga berkumpul dan berlatih berbagai ilmu mempertahankan diri dari Guru Empoh Waniang Hitam. Itu adalah sebahagian daripada kewajipan mereka setiap hari.

Namun pada malam ini hanya seorang manusia sahaja yang hadir. Andika Wira Kara bersendirian.

Tiba-tiba budak itu mula bergerak membuka ke dua-dua kakinya dengan lebih melebar. Dari wajahnya yang dari tadi merenung dengan penuh tajam kini telah berubah melihatkan senyuman sinis. Bagai ada sesuatu yang telah dicapai. Tangannya turut mula bergerak. Dia mula memainkan langkah silat. Bermula dengan perlahan gerak gerinya amat rapi menyusun jurus demi jurus. Dia mula asyik dan leka dengan gerak lincah seluruh anggotanya.

Wah ! Bukankah itu gerak langkah persilatan ajaran Guru Empoh Waniang Hitam? Malah langkah itu adalah jurus peringkat ke sepuluh dan terakhir. Andika Wira Kara semakin asyik. Raut wajahnya kelihatan amat tenang dengan mata yang tertutup rapat. Sesekali mulutnya terbuka dan tertutup menghirup udara segar sesudah hujan di dinihari begini.

Bagaimana perkara ini boleh berlaku? Andika Wira Kara bukanlah murid di gelanggang persilatan itu. Selama ini dia hanya duduk dari kejauhan memerhati gerak perajurit-perajurit Kota Warga Gangga diperturunkan dengan ilmu-ilmu tersebut. Budak sebayanya masih tidak layak dan mampu untuk dibebani latihan Ilmu Persilatan Helang Jingga. Namun pada waktu ini Andika Wira Kara telah membuktikan bahawa budak berumur sepuluh tahun juga mampu memperagakan Ilmu Persilatan Helang Jingga.

Tiba-tiba seluruh pergerak jurus persilatan Andika Wira Kara berubah sama sekali.

Amat mengerikan! Jika Guru Empuh Waniang Hitam melihat pergerakan jurus itu dia tentu akan turut merasa terperanjat.

Dengan amat licin dan bersahaja pergerakan jurus Andika Wira Kara kini adalah terbalik. Dia melakukannya dalam keadaan pergerakan yang bertentangan. Adakah ini hasil semalaman dia merenung angkasa yang gelap gelita didalam ribut dan hujan lebat yang menggila tadi? Tubuh kecil yang masih dibasahi dengan air hujan dan keringat itu masih bergerak lincah. Wajahnya kelihatan semakin tersenyum. Setika itu dia ketawa.

‘Ha ha ha, aku tentu dapat mengalahkan seluruh pergerakan ilmu persilatan di Kota Warga Gangga ini. Guru Empoh Waniang Hitam, ilmu persilatan mu kini telah ku tingkatkan dengan sepuluh lagi jurus dan puncak kejuaraan Bukit Juara Helang ini adalah bakal menjadi milik aku kelak.”

Baginya malam itu telah membuka satu rahsia yang selama ini dicarinya. Dia merasakan bahawa Ilmu Persilatan Helang Jingga dapat ditewaskan dan seterusnya dapat ditingkatkan.

Nampaknya budak kecil ini bukan calang-calang orangnya. Didalam umur setahun jagung begitu dia telah berjaya mencapai tahap yang amat membanggakan didalam memperagakan Ilmu Persilatan Helang Jingga. Adakah dakwaannya bahawa dia telah dapat memecahkan rahsia persilatan itu benar? Mungkinkah budak ini mempunyai kepintaran yang begitu menakjubkan?

Esoknya matahari mulai menyinar kembali. Penduduk Kota Warga Gangga memulai hari baru dengan harapan yang baru bahawa kemarau setahun sudah berakhir. Jelas terlihat keceriaan disetiap wajah. Perbualan mereka kebanyakan berkisar soal ribut dan huajn yang baru berlalu malam semalam.




Author Image

Andika Wira Jiwa
Setapak demi setapak mari kita hayati perjalanan hidup seorang pendekar muda yang ditakdirkan merajai seluruh dunia persilatan sepanjang zaman. Let's have fun.

No comments:

Post a Comment

Kembali Ke Atas