Lagenda Pendekar
Oleh : Andika Wira Jiwa

Bab 2 - Pertandingan Juara Gangga
Nampaknya harapan mereka benar-benar terkabul. Jelas musim hujan menjelma semula. Namun didalam kedinginan dan kesejukan itu Bukit Juara Helang tetap sibuk dengan perajurit-perajurit kota membuat persiapan untuk mengadakan upacara temasya persilatan tahunan yang dipanggil Pertandingan Juara Gangga.
Di kota ini, setiap tahun akan diadakan pertandingan persilatan bagi mencari perajurit-perajurit yang berbakat. Setiap tahun seramai kira-kira lima ratus pemuda dan pemudi di kota dan seluruh pelusuk negeri akan menyertainya bagi memilih mereka yang benar-benar layak untuk memasuki peringkat kedua Ilmu Persilatan Helang Jingga.
Ilmu Persilatan Helang Jingga terbahagi kepada tiga bahagian utama. Peringkat pertama hanya mementingkan jurus-jurus persilatan, latihan kekuatan fizikal dan kelincahan serta kelajuan. Jurus-jurus persilatan ini terbahagi kepada sepuluh jurus atau bunga persilatan. Setiap jurus mempunyai gaya menyerang dan bertahan yang tersendiri. Lebih tinggi jurus itu maka daya serangan dan pertahanannya adalah lebih tinggi. Selain itu peringkat pertama turut menekankan penggunaan pelbagai jenis senjata. Selain daripada lembing, pedang, parang, pisau dan keris, terdapat pelbagai lagi senjata-senjata pelik yang turut digunakan.
Peringkata kedua pula adalah lebih mencabar dimana perajurit akan dilatih dengan latihan tenaga asas dan tenaga dalaman. Kekuatan seseorang perajurit akan meningkat beberapa kali ganda berbanding kekuatan manuasia biasa setelah tamat dan menguasai peringkat kedua ini. Kekuatan yang dapat dicapai oleh seseorang perajurit adalah berbeza mengikut bakat dan kebolehan mereka masing-masing. Bagi mereka yang benar-benar menguasai peringkat kedua ini, kekuatan mereka amat sukar untuk diduga.
Manakala peringkat ketiga dan kemuncak persilatan ini adalah ilmu kebatinan dan kesaktian. Hanya perajurit-perajurit yang benar-benar berbakat dan berusaha gigih dapat menguasainya. Pada masa ini hanya beberapa perajurit sahaja yang dapat mengusainya. Namun begitu, seseorang perajurit itu terpaksa menempuh risiko yang amat tinggi sebelum berjaya menguasai peringkat ketiga ini. Bagi mereka yang gagal separuh jalan, nyawa mereka akan melayang begitu sahaja kerana dikatakan ditelan oleh kesaktian ilmu tersebut. Disebabkan risiko ini, tidak ramai perajurit dari Kota Warga Gangga ini yang berminat untuk mencubanya, kecuali mereka yang berjiwa besar dan bercita-cita tinggi sahaja.
Hanya tinggal dua hari sahaja Pertandingan Juara Gangga akan diadakan. Semua pihak yang terlibat sedang sibuk membuat persiapan. Kawasan gelanggang utama dibersihkan dan kawasan tempat duduk penonton juga diperbesarkan. Nampaknya musim hujan yang melanda daerah itu tidak menjejaskan semangat penduduk negeri itu untuk meneruskan upacara tahunan itu.
Biasanya pertandingan ini akan disaksikan seramai mungkin penduduk Kota Warga Gangga. Sempena temasya ini mereka juga bertemasya sebagai tanda kemenangan dan kesejahteraan negeri itu. Pelbagai upacara sambutan lain akan turut diadakan. Sempena acara pertandingan ini mereka benar-benar akan bergembira.
Bagi Andika Wira Kara pertandingan kali ini memang amat dinantikannya. Dia berada ditemasya yang sama pada tahun lepas. Dia menyaksikan setiap yang berlaku dan mulai saat itu didalam hatinya hanya mempunyai satu tekad. Dia harus menyertainya secepat mungkin. Dia punya niat yang tersendiri sempena pertandingan itu. Hanya dia yang mengetahuinya.
Hari yang dinantikan telah tiba. Sejak dari awal pagi sebelum matahari menyinar, kawasan Bukit Juara Helang telah mulai dibanjiri manusia dari pelbagai peringkat masyarakat tanpa mengira batasan. Dari anak kecil sebaya Andika Wira Kara hinggalah kaum tua yang sudah berbongkok lapan. Semua ghairah untuk menyaksikan pertandingan hari itu.
Kira-kira matahari sudah setinggi galah, terdapat serombongan manusia dengan pakaian yang indah berwarna-warni menghampiri kawasan Bukit Juara Helang. Rombongan itu didahului oleh sekumpulan hulubalang diraja dengan pakaian serba merah. Jumlah mereka tidak kurang daripada seratus orang. Kemudian diikuti pula oleh sekumpulan dayang-dayang wanita dengan bau-bauan yang amat wangi. Sesekali wanita-wanita tersebut melemparkan jambangan bunga ke arah orang ramai ditepi jalan. Selepas itu rombongan itu diikuti oleh sebuah kereta kuda yang siap dihiasi dengan kepingan-kepingan ukiran gambar burung helang yang diperbuat daripada emas yang berkilat-kilat dipancar cahaya matahari. Dibelakang sekali kelihatan deretan pasangan-pasangan lelaki dan wanita berjalan kaki. Terdapat tidak kurang daripada lima puluh pasangan. Mereka adalah kaum kerabat pembesar negeri yang diketuai Baginda Putera Adi Arjuna Perwira Sakti – raja Kota Warga Gangga.
Rombongan diraja itu bertujuan untuk memperlihatkan kehebatan dan kebesaran kerajaan Kota Warga Gangga kepada seluruh rakyatnya dan juga kepada mana-mana kerajaan lain. Disamping itu juga rombongan itu turut mencerminkan kesudian golongan pemimpin untuk turut sama dengan rakyat kebanyakan menjayakan temasya itu.
Penduduk-penduduk kota yang sedang bersibuk-sibuk disekitar kawasan itu segera tunduk semasa rombongan raja mereka menghampiri untuk menuju ke pelantar khas. Malah anak-anak kecil yang berkejaran juga dipegang erat oleh bapa masing-masing agar turut tunduk menghormati raja. Perasaan hormat itu juga kelihatannya turut bercampur dengan perasaan takut di sebahagian wajah-wajah pengunjung itu. Bagi mereka, raja itu bagaikan seorang idola yang amat berpengaruh didalam kehidupan mereka. Mereka bukan sahaja menyerahkan kesetiaan yang bulat malah mereka juga memertabatkan daulat yang sungguh tinggi kepada raja mereka itu.
Di negeri kecil ini semua penduduk amat menghormati raja yang mereka sanjungi itu. Baginda Putera Adi Arjuna Perwira Sakti merupakan seorang raja yang adil dan sentiasa mengambil berat tentang keselamatan dan kesejahteraan rakyatnya. Bukan itu sahaja, raja itu juga merupakan murid sulong Guru Empoh Waniang Hitam yang dikatakan ilmu kesaktiannya melebihi ilmu guru itu sendiri. Begitulah tanggapan mereka selama ini.
Pong ! Pong! Pong! Gendang besar di tepi gelanggang utama berbunyi. Lantas seketika itu suasana dikawasan itu menjadi sunyi sepi. Masing-masing membatukan diri bersedia untuk permulaan pertandingan. Matahari terus bersinar tanpa menampakkan sebarang tanda untuk hujan semula. Namun setiap penduduk nampak senang dengan keadaan itu.
Pong! Pong! Pong! Gendang sekali lagi berbunyi. Tiba-tiba empat orang perajurit melompat ke arah tengah-tengah gelanggang. Masing-masing memegang senjata tersendiri.
Perajurit pertama Sang Mahat Helang menghunus sebilah keris panjang lok sebelas. Duduk bersimpuh menghadap pelantar khas dan menundukkan kepalanya dengan penuh hormat.
Perajurit ke dua, Sang Kepak Helang memegang dua bilah pedang dikedua tangannya. Sambil menghayunkan ke dua-dua pedang itu dia menjerit sekuat hati dan lantus tunduk bersimpuh menghadap pelantar khas dengan penuh hormat.
Perajurit ketiga, Sang Kepala Bukit pula memegang sebatang tongkat sepanjang dua depa. Tongkat yang diperbuat dari besi berhujung tajam seperti tombak. Seperti ke dua-dua perajurit sebelumnya dia juga tunduk memberi hormat.
Perajurit yang ke empat, Sang Juara Hitam pula memegang sebilah parang besar yang berwarna kehitam-hitaman. Tapi mata parang itu kelihatan berkilat-kilat dengan cahaya keputihan berkilau. Parang itu kelihatan begitu berat dan tajam. Seperti perajurit lainnya dia turut memberi hormat ke pelantar khas.
Keempat-empat perajurit itu kelihatan amat gagah dengan gaya mereka yang tersendiri. Badan mereka kelihatan amat tegap dengan urat-urat yang menonjol dipergelangan tangan. Tiada sedikit pun senyuman di wajah mereka. Masing-masing dengan wajah bengis yang menakutkan. Segala penampilan mereka menampakan kehebatan.
Pong! Pong! Pong! Gendang dipalu semula. Ke empat-empat perajurit tersebut lantas melompat menghunus senjata ke arah perajurit yang lain. Sambil bertempik sorak mereka menyerang diantara satu sama lain. Bunyi senjata masing berdesing-desing dihayun ke kiri, ke kanan, ke bawah dan ke atas. Menikam, menghayun dan merejam. Pergerakan mereka sungguh lincah dengan kelajuan yang amat luar biasa sekali. Namun setelah sepuluh minit mereka memperagakan jurus masing-masing tiada siapa yang tercedera.
Penonton kelihatan terpegun melihat jaguh negeri mereka memperagakan ilmu persilatan Peringkat Pertama Ilmu Persilatan Helang Jingga. Masing-masing terpesona. Nampaknya permainan permulaan ini sekadar untuk menghibur hati mereka. Namun begitu terdapat sebahagian daripada mereka tidak merasa terhibur sebaliknya merasa ngeri dan ketakutan.
Bab 1 Bab 3
No comments:
Post a Comment