Lagenda Pendekar
Oleh : Andika Wira Jiwa

Bab 5 - Jurus Ilmu Persilatan Helang Jingga
Kumpulan pertama lima puluh orang perajurit yang bertanding di peringkat ke dua itu telah selesai mengadu nasib dan kekuatan setelah gendang besar dipalu sekali lagi. Daripada jumlah itu hanya tinggal sepuluh orang sahaja yang masih berdiri. Bakinya terbujur kaku mengerang kesakitan.
Kumpulan yang berikutnya kelihatan bersedia untuk meluru ketengah gelanggang. Di wajah masing-masing jelas kelihatan semangat yang berkobar. Mereka tidak langsung menghiraukan nasib kebanyakan rakan mereka yang tumbang dan diusung keluar. Yang menjadi perhatian mereka hanyalah rakan perajurit yang melangkah keluar gelanggang dengan berjalan sendiri. Mungkin mereka akan bertemu dipusingan yang berikutnya.
Jelas tiada ketakutan di wajah mereka. Semuanya dengan air muka yang bengis. Nampaknya semangat perjuangan yang cukup kental telah berjaya ditiupkan oleh Guru Empoh Waniang Hitam kepada mereka. Kehadiran raja juga amat bermakna. Pantang mereka menyerah kalah. Biar berputih tulang jangan berputih mata. Terlalu banyak yang mereka perlu buktikan di tengah gelanggang itu. Keberanian, kegagahan, kesetiaan, kemahiran dan pelbagai pembuktian lain perlu mereka tonjolkan. Tiada tempat bagi si pengecut.
Kumpulan lima puluh orang perajurit yang kedua lantas memulakan acara apabila gendang besar dipalu. Setelah berjuang berhabis-habisan dan gendang besar dipalu sekali lagi, hanya lapan orang perajurit yang masih berdiri.
Kumpulan lima puluh orang perajurit yang ketiga pula mengambil giliran. Kali ini jumlah yang berdiri setelah tamat beradu kekuatan dan kelincahan jurus persilatan adalah dua belas orang. Kumpulan keempat pula menerjah masuk. Di tengah-tengah kegelutan pergerakan yang tidak menentu arah itu jelas kelihatan seorang perajurit yang mengungguli rakan mereka yang lain. Pukulan-pukulannya lebih bertenaga. Tumbukan, terjahan, tendangan dan lompatannya begitu tepat, cantik dan tersusun serta meninggalkan kesan hebat kepada setiap perajurit yang lain. Tidak seperti yang terlihat dikumpulan yang sebelum ini, tiada penyusunan strategi yang dibuat oleh mereka. Hanya seorang perajurit bergerak pantas menjatuhkan perajurit yang lain seorang demi seorang.
Pong! Gendang penamat pusingan bagi kumpulan keempat dibunyikan. Wahh ! Hanya seorang perajurit sahaja yang kelihatan berdiri gagah di tengah gelanggang. Malah kaki kanannya masih dipijakkan keatas dagu seorang perajurit yang lain. Tidak banyak kedengaran jeritan sejak tadi kerana suara mengerang kedengaran lebih kuat pada pusingan ini. Andika Wira Kara sempat menjeling suasana di tengah gelanggang setelah telinganya menangkap suara kengerian penonton yang disebelahnya semasa melihat kehebatan tadi. Pandangan itu tidak berupaya mengugat semangatnya. Hanya satu senyuman ringkas bagaikan sebuah sindiran sinis yang dilemparkan. Secara endah tak endah, matanya terus dipalingkan semula mengamati raja dan guru di pelantar khas. Baginya peneraju negeri itu lebih penting untuk dinilai kerana kehebatan ilmu persilatan adalah terletak dalam diri mereka dan bukannya perajurit-perajurit yang bergelimpangan atau berdiri megah itu.
Perajurit yang mengungguli kumpulan empat tidak segera beredar ke tempat istirehat yang disediakan. Sebaliknya matanya liar memandang ke arah perajurit yang lain yang turut sama merenunginya. Selepas itu dia memandang ke arah penonton dari arah kiri ke kanan. Dia mengangkat tangan dan melambai-lambai ke arah penonton. Gemuruh teriakan penonton mengucapkan syabas. Tidak kurang juga ada penonton yang melahirkan kemarahan kerana pukulan-pukulan yang terlalu berat dari pemuda itu. Dari jauh mukanya kelihatan amat yakin dengan diri sendiri setelah merasai kenikmatan kejayaan itu. Dia kelihatan angkuh bagai merak menirai bulu.
Setelah tepukan dan sorakan penonton beransur perlahan barulah dia beredar. Gaya jalannya mendabik dada. Tiada tanda kesyukuran tetapi sebaliknya lagak kejaguhan ayam jantan yang ditunjukkan.
Lelaki itu dikenali sebagai Parwana Gergasi Budiman. Sorang pemuda di awal dua puluhan. Mempunyai susuk tubuh yang besar dan gagah. Ketinggian menjangkau tujuh kaki memang agak luar biasa dikalangan masyarakat Kota Warga Gangga ini. Dengan latihan fizikal yang bersungguh-sungguh dan tidak berhenti-henti tidak hairanlah Parwana Gergasi Budiman menjadi amat perkasa dikalangan rakan perajurit yang lain.
Keangkuhan Parwana Gergasi Budiman memang dikenali ramai. Keluarganya yang terdiri dari golongan saudagar kaya di daerah itu menyebabkan hidungnya semakin tinggi setiap hari. Selain dari itu lelaki ini juga mempunyai agak ramai pengikut-pengikut dari golongan belia yang sebaya dengannya. Jika mereka seiringan berjalan di tengah kota, tidak ramai manusia lain yang suka pada mereka. Hanya perajurit-perajurit yang lebih tua dan berpangkat lebih tinggi sahaja yang dapat menegur Parwana Gergasi Budiman.
Kumpulan lima puluh perajurit yang terakhir kini meluru ke tengah gelanggang. Masing-masing dengan kuda-kuda dan gaya yang hampir sama. Bersedia menanti pukulan gendang besar. Sebahagian dari mereka turut menyimpan harapan untuk lebih mengungguli keperwiraan Parwana Gergasi Budiman. Semangat dikuatkan ketahap yang tertinggi. Kejayaan gergasi tadi melonjakkan semangat sebahagian daripada mereka.
Pong! Serentak dengan itu jurus-jurus Persilatan Helang Jingga berarus kembali. Setelah beberapa ketika teriakan kesakitan kembali menjelma. Tiba-tiba satu teriakan yang amat kuat kedengaran!
Aaaahhhhhggh ! Suara kuat itu sepantas datangnya telah terhenti kerana mulut yang bersuara itu kini telah menyembur pula darah merah. Lantas tersungkur di tengah gelanggang. Namun tiada masa bagi sebahagian perajurit yang sedang bergelut itu untuk memperdulikannya. Tiba-tiba kejadian yang sama berulang sekali lagi. Satu lagi jeritan yang kuat tetapi amat pendek serta diikuti dengan semburan muntah darah berlaku di sudut yang sama. Teriakan kali kedua ini sedikit menggentarkan beberapa perajurit yang lain.
Aaaahhhggghh ! Sekali lagi jeritan bergema.
Huhh… Semua perajurit yang lain di tengah gelanggang itu sedikit bergetar semangat mereka. Apabila mereka menoleh kearah sudut teriakan itu bertambah kuat getaran jiwa diselubungi ketakutan turut mengalami nasib yang sama.
Pergelutan masih berterusan. Walaupun perasaan takut menyelubungi hati, mereka pantang berundur. Lapan orang perajurit serentak mengerumuni perajurit yang menyebabkan kecederaan teruk kepada rakan mereka yang bergelimpangan terbaring bermuntahan darah tadi. Mungkin serangan serentak dapat mengalahkannya. Mereka menyusun strategi sambil berpusing berlegar mengelilingi pendekar itu.
Yaahh! Semua kelapan-lapan perajurit melepaskan pukulan masing-masing. Buk ! Buk! Buk! Kesemua pukulan lapan perajurit tersebut tepat mengenai sasaran. Buk! Buk! Lima dari serangan susulan kelapan-lapan perajurit tadi turut mengenai sasaran. Aneh. Perajurit yang seorang itu masih berdiri tegak tanpa menunjukkan sebarang reaksi. Lagaknya dia memberi peluang kepada perajurit-perjurit lainnya untuk melepaskan geram pukulan masing-masing. Matanya memandang kebumi dan mulutnya mengertap gigi. Kemudian sambil menarik nafas panjang kesemua jarinya digenggam semula dengan erat. Sambil menjeling ke arah dua daripada lapan perajurit yang mengelilinginya dia kelihatan mula bertindak semula.
Zass! Pergerakannya amat pantas meluru ke arah kelapan-lapan perajurit yang lain itu. Dalam masa yang hampir serentak lapan pukulan telah dilepaskan. Kesemuanya tepat mengenai bahagian kepala musuhnya. Pukulan itu amat berat dengan momentum kepantasan yang tidak terhingga. Enam daripada perajurit tersebut terhoyong hayang menahan beban kesakitan. Dua dari mereka pula terus rebah. Kali ini hidung mereka yang berdarah. Mungkin patah.
Setelah bererapa ketika di tengah gelanggang hanya tinggal lima perajurit yang tinggal. Mereka masih bergelut untuk melepaskan pukulan dan mengelak kekiri dan kekanan.
Pong! Gendang besar sekali lagi dipalu. Lima perajurit masih berdiri untuk mengungguli rakan sekumpulan. Tetapi hanya satu daripada mereka yang benar-benar berjaya menimbulkan kengerian di setiap hati penonton. Perajurit yang mempunyai pukulan tumbukan maut sehingga menyebabkan perajurit lainnya bersemburan darah dari mulut mereka itu dikenali sebagai Sang Waja Kecil.
Sang Waja Kecil bertubuh sederhana dan dikenali sebagai pemuda yang pendiam dan amat bersopan. Seluruh perajurit di Bukit Juara Helang amat jarang mengendahkan kehadirannya. Mulutnya yang tidak peramah itu menyebabkan dia tidak punya ramai kawan. Dia sering kelihatan bermenung sendirian. Kehebatannya di tengah gelanggang amat menghairankan ramai perajurit lain.
Malah Guru Empoh Waniang Hitam turut terkejut dengan kejadian ini. Kepantasan Sang Waja Kecil amat luarbiasa. Namun hatinya senang melihat keupayaan muridnya itu. Dalam diam dia turut berharap agar Sang Waja Kecil akan dapat melepasi pusingan yang berikutnya.

Andika Wira Kara
Persilatan mereka berdua mempunyai dasar atau asas yang sama yang diperturunkan oleh guru yang sama. Keadaan fizikal masing-masing amat berbeza. Bagi Sang Waja Kecil kekuatannya tidak sahaja bergantung kepada kekuatan kederat tulang yang disaluti daging dan urat tegap tetapi lebih berpusat kepada kesempurnaan pergerakan jurus yang membinasakan.
Dalam hati kecil Andika Wira Kara berkata, “akhirnya persilatan Helang Jingga mempunyai perwira yang boleh diharapkan.” Hanya jauhari yang mengenal manikam. Hanya yang mahir dan mengerti rahsia pergerakan jurus persilatan yang dapat membezakan. Kekuatan seorang pendekar bermula dengan mengetahui kekuatan lawannya.
Pusingan kedua Pertandingan Juara Helang sudah berakhir. Daripada dua ratus lima puluh perajurit yang bertarung, hanya dua puluh enam sahaja yang layak untuk kepusingan ketiga. Pong! Pong! Pong! Pong! Pong! Gendang besar sekali lagi dipukul berkali-kali. Tiba-tiba satu lembaga meloncat pantas dari arah penonton meluru ketengah-tengah gelanggang. Seorang perajurit berdiri tegak di tengah gelanggang yang telah kosong kembali. Perajurit itu adalah Sang Juara Hitam.
“Temasya Pertandingan Juara Helang akan berehat. Raja Baginda Putera Adi Arjuna Perwira Sakti telah bermurah hati untuk mempersilakan seluruh rakyat Kota Warga Gangga menjamu selera. Pertarungan akan bersambung tepat pada saat tergelincir matahari”, teriakan Sang Juara Hitam memenuhi ruang segenap gelanggang dengan amat nyaring.
Para penonton mula sedar semula dengan kepanasan matahari terik yang memancar di atas kepala mereka. Tekak yang tadi riuh rendah bersorak menjadi kering dan terasa sungguh dahaga. Perut juga menjadi amat lapar. Buat sementara kesibukan di puncak Bukit Juara Helang beralih arah. Masing-masing sibuk melayan nafsu zahir melahap hidangan nasi kawah berlauk pauk gulai lembu, kerbau dan kambing yang dijamu oleh pihak istana.
Para perajurit yang tewas sibuk merawat kecederaan masing-masing. Dua puluh enam perajurit yang memenangi pusingan kedua pula dilayan dengan jamuan yang istimewa. Setiap seorang daripada mereka dilayan oleh anak gadis belasan tahun yang berhias indah dan cantik. Layanan dan senyuman gadis-gadis comel itu amat bersopan. Perajurit-perajurit itu mungkin dapat melupakan seketika cabaran yang bakal mereka lalui apabila menjelangnya saat tergelincir matahari nanti.
Apakah yang akan dilakukan oleh Andika Wira Kara di tengah gelanggang pertandingan itu nanti? Siapakah yang akan memberi perhatian kepada kemunculan budak kecil itu? Ikuti perkembangan hebat Lagenda Pendekar yang seterusnya…
No comments:
Post a Comment