Home Ads

Monday, February 6, 2017

Merah Jingga

Oleh : LycheeRambutan


2- Bukan Kerana Nama


Keesokan harinya Naruko hadir ke pejabat seawal 8.00 pagi dan kehadirannya disambut oleh seorang pegawai polis lelaki tinggi lampai, berambut hitam dan berkulit pucat. Naruko baru perasan bahawa pegawai ini turut berada dalam bilik penerangan semalam, namun dia belum memperkenalkan dirinya pada Naruko.

"Salam perkenalan, saya Detektif Sai Root. Hari ini saya akan bawa Puan melawat ke semua bahagian di Ibu Pejabat Polis ini," kata Sai.

Naruko senyum dan menyambut salamnya, "Saya Naruko Uzumaki. Salam perkenalan."

"Saya cukup kenal cik, nama Inspektor Uzumaki menjadi sebutan di Konoha. Banyak kisah-kisah kejayaan Puan menjadi bualan di sini, kami juga sangat mengagumi ayah Puan, Detektif Namikaze."

"Oh ya ke?" wajah Naruko bertukar pink dengan pujian itu. "Saya hanya menjalankan tugas seperti diarah sahaja." Naruto tersenyum simpul.

"Adakah Puan berasa kembang bontot ketika ini? Saya pasti Puan berasa sangat bangga menjadi bualan polis-polis seantero daerah."

"Apa kamu kata?" Naruko berasa agak pelik dengan kata-kata Sai itu. Adakah dia memuji atau mengutuk sebenarnya?

Sai berkata lagi, “Cik Uzumaki, mungkin menggunakan surname Namikaze lebih sesuai di sini, supaya cik lebih mudah dikenali dan dihormati. Tak salah menumpang nama ayah Puan yang ternama. Baiklah, jom kita mulakan dengan lawatan ke kantin dahulu. Kami ada sediakan sarapan untuk Puan.”

Naruko melihat Sai berlalu dengan perasaan tidak puas hati, "Sudah kenapa? Tiada adabkah?" dia mendengus dalam hati. Dia tiada mood mahu membalas kata-kata Sai, namun dia sangat lapar jadi dia terus mengikuti Sai dari jauh.

Tiba-tiba perutnya berbunyi. Naruko baru sedar dia memang perlu bersarapan dahulu kerana jika di Suna dia selalunya bangun waktu tengah hari untuk bekerja pada waktu petang hingga larut malam. Kadangkala dia bekerja hingga lewat pagi, namun di Konoha dia perlu bangun pagi dan hadir waktu pejabat kerana cara di sini berlainan dengan cara di Suna.

Dalam otaknya sudah berharap agar mereka ada sediakan ramen, tapi mana mungkin polis akan sediakan ramen untuk sarapan. Naruko terus mengikuti Sai ke kantin sambil dia terfikir jenis manusia apakah Sai ini dengan gaya bersosial begitu.

----------------------------------------------------------------

Daripada sudut tunduk sebuah menara, dua pasang lelaki bermata merah sedang memerhati kota Konoha dari atas sebuah menara. Salah seorang daripada mereka yang lebih berusia yang berambut putih, memilih untuk bersuara dan memecah sunyi antara mereka. "Rakan lama kamu dihantar untuk menjejak kita, adakah kamu akan berhenti sebentar untuk menghilangkan jejak?"

Lelaki satu lagi, yang jauh lebih muda hanya tertawa. Lalu dia berkata, "Hnn. Kali ini biar mereka jumpa kita. Ini masa untuk kita menjerat Madara. Biar polis terlibat sama."

"Baiklah, aku harap kau tahu apa yang kau lakukan," kata lelaki berambut putih itu sebelum beredar. Mata pemuda itu bertukar merah ke hitam semula. Sambil wajahnya mendongak ke arah langit dia berkata sendirian, "Kisah lama akan berulang kembali. Nama keluarga Uchiha akan bersih semula."

----------------------------------------------------------------

Sai membawa Naruko melawat semua bahagian di ibu pejabat itu. Selesai melawat semua bahagian, Naruko mengunjungi bahagian forensi. Dia ingin melihat video-video kamera litar tertutup, atau CCTV yang merakam kawasan-kawasan di mana vigilante bertopeng dilihat.

Dia menghabiskan beberapa jam menonton video itu di bilik tayangan. Namun tiada langsung video yang berjaya merakamkan kelibat vigilante-vigilante itu. Sama seperti di Suna, imej Amaterasu juga langsung tidak terakam pada mana-mana cctv. Naruko tertanya-tanya adakah vigilante ini telah berbuat sesuatu kepada cctv itu semua? Dia berharap mereka tidak berbuat begitu kerana ini akan menyusahkan diri mereka jika tertangkap. Merosakkan harta benda awam atau harta persendirian bukan jenayah ringan.

Selesai menonton dia kembali ke pejabatnya.Naruko duduk, dan membuka laptopnya untuk mula menelaah laporan mengenai Chidori dan Sharingan.

"Nah, ini hadiah selamat datang daripada Detektif Shino, Sarjan Chouji dan Sarjan Hinata, mereka semua ialah rakan sekerja kita. Tapi mereka masih berada di Iwagakure untuk kursus," ujar Sai tiba-tiba sebelum dia meletakkan sebuah beg penuh barang atas meja Naruko.

Naruko berharap agar beg itu berisi penuh makanan. Maka tidak perlulah dia ke kedai malam nanti. "Ah, terima kasih. Saya juga berharap dapat berjumpa mereka nanti."

"Malam ini, ada keluar dengan siapa-siapa ke Inspektor Uzumaki? Esokkan hujung minggu."

"Detektif Sai, panggil saya Naruko sahaja. Panjang sangat nak sebut dengan pangkat-pangkat sekali."

Sai tersenyum. Naruko masih keliru dengan senyuman Sai kerana nampak sangat dibuat-buat. Tapi setakat ini dia tiada sebab utama untuk menjauhi pegawai itu.

"Saya nampak cik bukan secergas wanita aktif. Mungkin awak perlu ke gym untuk cergas, saya boleh cadangkan beberapa gym," cadang Sai.

Naruko terus rasa ingin menampar Sai ketika itu juga, namun dia harus bersikap profesional. Hakikatnya memang dia sudah berisi. Penyiasatan kali ini dia banyak duduk berbanding mengejar penjenayah dan suspek. Dia menahan rasa marahnya dan memilih untuk bersikap profesional. "Awak bukan ada kehidupan sendiri ke, mengapa perlu menyibuk pasal orang lain?" Akhirnya terkeluar juga ayat sindiran. Dia bukan anak gadis Kushina Uzumaki jika tidak sinis seperti ini.

Sai senyum, "Tiada. Lelaki bujang macam saya ini banyak habiskan masa di luar rumah. Saya belum berjumpa suri yang sempurna untuk melayan lelaki banyak kerenah macam saya ini. Rakan-rakan sepejabat ibarat adik beradik yang saya tak pernah ada, jadi apa salahnya tegur menegur. Cik memang nampak tidak cergas pun.”

Naruko mengetap bibirnya menahan sabar.

"Mungkin kita boleh keluar bersama, saya boleh tunjukkan gym untuk wanita sahaja. Mungkin cik malu nak beriadah di kalangan lelaki?” Sai berkata lagi. Mata hitamnya memandang tepat ke arah Naruko.

"Uhhh?" Naruko tergamam lagi. Bukan selalu ada orang mengajak dia keluar, dan oleh manusia selurus ini pula. Gaya Sai bersosial sangat canggung, dan ayat-ayatnya boleh buat orang tersinggung, tapi Naruko tidak terdesak untuk terus melabel Sai sebagai kurang ajar.

"Lain kali sajalah." ujar Naruko.

"Jika begitu, saya perlu menyimpan semula video-video yang dah cik tonton tadi. Syif saya dah hampir tamat jadi kita jumpa minggu depan."

Naruko memandang Sai dan jejaka itu sekali lagi melemparkan senyuman peliknya. Kemudian Sai mengangkat kotak yang mengandungi video-video cctv itu dan berlalu pergi.

Naruko memeriksa beg yang diterimanya, memang penuh makanan tetapi tidak ada ramen langsung. Ini mengingatkan dirinya untuk pergi mencari ramen buat makan malam nanti. Kisah Sharingan dan Chidori terus dilupakan buat sementara waktu. Naruko memahami bahawa kadangkala membawa kerja pulang ke rumah tidak baik untuk dirinya, demi tugas dia juga harus melupakan tugasnya bila sampai waktu untuk berehat. Dia ada dua hari untuk bersiap sedia sebelum menumpukan tugas sepenuhnya kepada kes vigilante itu.

Merah Jingga 1
Author Image

LycheeRambutan
Saya bermula dengan fanfiction sejak 2015. Kemudian pernah menang no 2 pertandingan menulis cerpen tahun lepas dan kini berangan nak menulis novel original.

No comments:

Post a Comment

Kembali Ke Atas