Home Ads

Thursday, February 16, 2017

Sekeping Kertas Buat MB

Oleh : Nazifah Awi



Peluh lencun yang mula mengalir turun dari dahi membuatkan seluruh baju Leman mula lembap. Bau asap dari dapur kayu Nek Som hampir-hampir membuat dirinya lemas. Nasi yang ditanak di atas dapur sudah hampir masak.

“Nek! Leman pergi kelas mengaji dahulu. Nasi dah masak.”

Sahutan yang agak perlahan kedengaran dari atas rumah. Leman mengambil beg lusuh yang tergantung di para dapur. Dikibas-kibas bajunya agar bau asap kayu api hilang. Dia tahu usahanya sia-sia sahaja kerana bajunya memang sudah sedia berbau asap.

Kaki dihayun laju menuju ke masjid yang terletak di hujung kampung. Kelas mengajinya pasti sudah bermula. Marah ke tidak Ustaz Riduan dengannya hari ni. Sudahlah semalam dia kena denda cuci kolah masjid. Dia hanya mampu melihat dari jauh apabila kawan-kawannya bergelak ketawa bermain ‘aci cop’ di hadapan masjid. Dia sangat teringin untuk ikut serta bermain bersama tetapi selalu tidak berkesempatan. Ada sahaja kerja yang disuruh buat oleh Ustaz Riduan.

“Leman, hari ni cuci kolah.” “Leman, hari ni sapu lantai masjid.” Kadang-kadang Leman berfikir yang Ustaz Riduan pasti tidak sukakan dirinya. Ya lah, kawan-kawannya yang lain tidak pula disuruh buat kerja. Apalah agaknya yang tidak kena dengan dirinya ini sehinggakan Ustaz Riduan begitu tidak sukakan dirinya.

********************

“Nek, Leman rasa Ustaz Riduan tu tak suka Leman la. Dia asyik suruh Leman buat macam-macam kerja. Kawan-kawan Leman yang lain dia tak suruh pun.” Suara Leman agak menjauh.

Nek Som yang sedang mengurut kaki dengan minyak panas memandang lama ke arah cucunya. Mungkin sudah lama Leman memendam rasa. Selama Leman mengaji di masjid dengan Ustaz Riduan, rasanya inilah baru pertama kali Nek Som mendengar Leman merungut.

“Tak baik Leman cakap macam tu cu.. Dia ustaz Leman. Mungkin itu cara dia untuk bagi lebih banyak pahala dekat Leman. Besar pahala jika kita selalu tolong orang ni. Leman nak banyak pahala ke banyak dosa?” Nek Som sudah tidak punya cara untuk memujuk cucunya. Namun dia tahu cucunya itu sedang jauh hati dengan sikap Ustaz Riduan.

“Mestilah nak banyak pahala Nek. Tapi...”

“Kalau nak banyak pahala, tak usahlah bertapi-tapi lagi. Nenek sayang Leman. Allah pun sayang Leman. Cukuplah ya cu.. Manusia tak sayang kita pun tak apa. Leman buat sahaja apa yang Ustaz Riduan suruh. Nenek percaya ustaz pun sayang Leman. Cuma caranya sahaja yang berbeza.”

Leman terdiam. Buku tulis matematik yang sudah penuh dengan kiraan tambah-tolak ditenung lama. Akal dua belas tahunnya mula mencerna patah kata yang baru sahaja diucap oleh neneknya. Dia faham dan sangat faham dengan kata-kata neneknya. “Insya-Allah Nek. Leman cuba.”

Nek Som memandang cucunya dengan perasaan belas. Kasihan cucunya yang yatim piatu ini. Masih kecil lagi tapi sudah terpaksa merasa keperitan hidup. Kenapa agaknya dengan Ustaz Riduan itu. Setahunya Ustaz Riduan itu baik orangnya. Cucunya juga tidak nakal. Dalam diam Nek Som memohon doa agar hidup cucunya itu dipermudahkan jalannya oleh Tuhan.

********************

Bau bajunya dihidu lagi. Rasanya sudah hampir sepuluh kali dia menghidu bau bajunya. Bau asap dari dapur kayu neneknya tidak hilang. Kelibat Ustaz Riduan naik ke atas masjid membuatkan dia cepat-cepat merangkak ke tengah masjid. Rakan-rakannya sudah siap membuka rehal.

“Leman, mari sini. Giliran kamu yang pertama hari ini.”

Dengan terketar-ketar Leman meletakkan rehal dan Al-Quran di depan Ustaz Riduan. Bacaan yang tidak teratur akibat ketakutan membuatkan rotan Ustaz Riduan hinggap lagi di telapak tangan Leman. Leman hanya menahan rasa mahu menangisnya saat rotan nipis itu hinggap di telapak tangannya. Dan ketawa kecil yang dia dengar daripada kawan-kawan di belakang menambahkan lagi rasa mahu menangisnya.

“Nenek...Leman tak kuat...” Jarinya digenggam kemas. Air panas yang bertakung di kelopak matanya menanti untuk jatuh. Kata-kata neneknya malam tadi bagai menari-nari di fikirannya.

“Nenek sayang Leman. Allah pun sayang Leman. Cukuplah ya cu.. Manusia tak sayang kita pun tak apa.”

********************

Masjid Kampung Banggol bergema dengan alunan selawat diikuti bacaan surah Al-Asr menandakan sudah tamat kelas Al-Quran pada hari itu. Leman cepat-cepat mahu pulang ke rumah. Air mata yang ditahan sejak tadi sudah hampir menitis. Sedihnya makin menjadi-jadi apabila melihat rakan-rakannya bergelak ketawa keluar daripada masjid. Pasti mereka semua mahu bermain ‘aci cop’ lagi.

“Leman, datang dekat Ustaz sekejap.” Suara Ustaz Riduan membuatkan Leman cepat-cepat mengesat air mata yang sudah mengalir laju turun. Beg lusuh yang diisi kitab suci Al-Quran dicapai kemas.

“Ada apa Ustaz?” Wajah Ustaz Riduan ditenung takut-takut. Bimbang ada lagi hukuman yang akan dikenakan. Namun tindakan Ustaz Riduan selepas itu benar-benar membuatkan dia terkejut. Tubuh kecilnya dirangkul kemas Ustaz Riduan. Leman diam tanpa kata.

“Leman, maafkan Ustaz kalau selama ini Ustaz selalu menghukum kamu. Kamu budak baik Leman.” Ustaz Riduan masih lagi kemas memeluknya.

“Ustaz, Leman tak marah dengan Ustaz. Nenek Leman cakap mungkin ini cara Ustaz tunjukkan kasih-sayang Ustaz pada Leman. Rupanya cakap nenek itu betul. Ustaz memang sayang Leman kan?” Tutur bicara Leman yang tulus itu membuatkan Ustaz Riduan terpaku dan diserbu rasa pilu. Tahulah dia selama ini yang perbuatannya sangat memberi kesan kepada Leman. Tingkahnya dengan tujuan untuk mendidik rupanya salah kali ini. Dia khilaf dengan perbuatan yang telah dia lakukan. Mujurlah Nek Som telah datang berjumpanya pagi tadi. Telah diterangkan segala sebab kepada Nek Som kenapa dia selalu menghukum Leman. Namun kata-kata Nek Som sebelum meninggalkannya tadi membuatkan dia dihantui seribu satu penyesalan.

“Leman itu anak yatim piatu Ustaz. Dia banyak memendam rasa. Dengan saya seoranglah dia menumpang kasih. Mungkin Ustaz belum mengenali kami kerana Ustaz masih baru di kampung ini. Saya berharap sangat Ustaz didiklah dia dengan baik-baik. Walaupun Ustaz selalu menghukumnya, dia tetap mahu mengaji dengan Ustaz. Katanya,suara Ustaz mirip suara arwah ayahnya..”

Ustaz Riduan mengusap lembut kepala Leman yang masih teresak-esak menangis. Mujurlah dia tidak terlajak jauh dalam tingkahnya. Kalau tidak, pasti dia akan rasa terhukum sepanjang hidupnya.

********************

Leman memandang lama pada papan kenyataan di hadapan masjid. Helaian kertas yang tertampal di situ amat menarik minatnya. Pada hari Jumaat ini ada lawatan Menteri Besar ke kampungnya. Ada acara pecah tanah untuk membina kawasan perumahan dan Menteri Besar akan bersembahyang Jumaat di masjid kampungnya. Leman merasa gembira kerana sudah lama dia mahu berjumpa dengan tokoh rakyat yang disegani ramai itu. Dia mendengar cerita orang kampung yang Menteri Besar itu baik orangnya. Sebenarnya ada satu hasrat yang sudah lama dipendam Leman jika dia bertemu dengan Menteri Besar. Hasrat yang dia sudah siap tulis pada sekeping kertas. “Leman tengok apa sampai Ustaz panggil pun Leman tak sedar?” Suara Ustaz Riduan yang dekat di tepinya membuatkan Leman terkejut.

“Maafkan saya Ustaz.” Terketar-ketar Leman menjawab. Ustaz Riduan memaut kemas bahu Leman.

“Tak usahlah Leman takut dengan Ustaz lagi. Leman anggap sahajalah Ustaz ini macam ayah Leman sendiri. Ustaz tak akan hukum Leman lagi.” Ustaz Riduan tersenyum mesra.

Leman terdiam. Dia mendongak melihat wajah manis Ustaz Riduan. Dia sangat terharu mendengar kata-kata Ustaz Riduan itu. Pada ketika ini hatinya mula berbunga. “Leman tengok berita ni Ustaz..” Tangan Leman menunjuk laju pada papan kenyataan. “Leman nak jumpa Menteri Besar. Orang cakap dia baik ya Ustaz? Sebenarnya Leman ada hajat yang Leman nak bagitahu dekat Menteri Besar. Leman harap sangat dapat jumpa dia.” Kata-kata yang laju sahaja keluar dari mulut Leman membuatkan Ustaz Riduan hilang kata. Kepala Leman diusap perlahan. “Menteri Besar orang baik. Ustaz harap Leman dapat jumpa Menteri Besar nanti. Tapi Leman kenalah banyak-banyak berdoa supaya hajat Leman itu tercapai. Ustaz pun akan tolong doakan sama ya.” Mata Leman mula berkaca. Sejurus tangan kecilnya memaut kemas tubuh Ustaz Riduan. “Terima kasih Ustaz..”

********************

“Nek, hari Jumaat ni Menteri Besar nak datang kampung kita. Leman nak pergi jumpa dia lah.” Nek Som memandang lama cucunya. Tangan tuanya yang lincah mengayam tikar mengkuang terhenti.

“Buat apa nak pergi jumpa Orang Besar tu cu. Nanti kamu dihalaunya nanti.” “Kenapa nek? Kan Menteri Besar tu orang yang baik. Leman dengar orang kampung cakap dia baik.”

“Betul dia orang baik. Tapi kita ni siapa cu. Takut nanti kamu dikata menghalang kerja Menteri Besar.” Nek Som bimbang jika tindakan Leman nanti dikata memalukan orang kampung.

“Tapi Leman ada hajat nek. Dah lama Leman tulis hajat tu dekat kertas.” Tiba-tiba Leman mengeluarkan sekeping kertas daripada beg sekolahnya.

“Hajat apa tu cu? Bagitahu nenek. Biar nenek sahaja yang tunaikan hajat kamu tu.” Nek Som semakin bimbang mendengar butir percakapan Leman. Dimintanya helaian kertas di tangan Leman supaya dia dapat melihat hajat besar Leman itu.

“Tak boleh. Hajat ni Leman hanya nak bagitahu dekat Menteri Besar. Sebab Menteri Besar orang baik.” Leman berkeras. Cepat-cepat disimpannya kembali helaian kertas itu ke dalam beg sekolahnya.

Nek Som sudah hilang kata untuk memujuk Leman. “Apalah hajat mu cu yang begitu penting sampai nenek pun tak boleh tunaikan..”

********************

Hari Jumaat yang dinantikan..

Pagi Jumaat itu cuaca sangat cerah. Kampung Leman berhias cantik dari jalan hadapan sehinggalah ke hujung kampung. Balai raya daripada awal subuh tadi sudah penuh dengan orang ramai. Lembu sudah tumbang daripada semalam dan sekarang sudah selamat digulai di dalam kawah besar. Ketua kampung tidak kering gusi ketawa. Anak-anak muda kampung habis dikerah menolong setiap kerja. Yang menjadi RELA mengawal lalu lintas kemas berpakaian dengan wisel dimulut tidak berhenti meniup mengarah letak duduk kereta yang berpusu-pusu datang.

Leman mencelah di celah-celah orang ramai apabila kompang mula di palu saat kereta besar Menteri Besar berhenti betul-betul di hadapan balai raya. Leman melihat dengan jelas wajah Menteri Besar kesayangan seluruh rakyat itu. Lelaki bertubuh agak gempal itu kemas berkemeja batik berwarna hijau kundang. Dia bersalam mesra dengan penduduk kampung yang berbaris panjang.

Leman kini berbaris sama dengan sekeping kertas di tangan. Saat tangan Leman mengucup lembut tangan Menteri Besar, dia mendongak memandang wajah Orang Besar itu.

“Datuk, nama saya Sulaiman bin Ilias. Saya ada hajat yang sudah saya tulis dekat kertas ni. Hajat ni untuk nenek saya.” Bicara Leman dalam keriuhan orang ramai mengundang perhatian. Menteri Besar memandang lama pada wajah polos anak kecil di hadapannya itu. Kertas yang dihulur disambut kemas. Wajah Menteri Besar berubah riak. Lebaran senyum pada wajah Menteri Besar berkurang. Seketika dilihat dia berbisik perlahan kepada pembantunya di tepi. Wajah anak kecil di hadapannya dipandang semula.

“Kamu tinggal dengan nenek kamu? Mana ayah dan ibu kamu?”

“Saya anak yatim piatu Datuk. Ibu dan ayah saya sudah meninggal semenjak saya kecil. Mereka kemalangan jalan raya.” Leman menjawab dengan nada perlahan. Orang kampung yang melihat mula bercakap-cakap. Ketua Kampung yang tidak kering gusi ketawa dari pagi tadi kini pucat lesi. Takut ada benda yang mengundang kemarahan Menteri Besar.

Menteri Besar menunduk seraya memeluk kemas Leman.

“Pak Cik akan tunaikan permintaan kamu nak.” Kata-kata Menteri Besar mengundang tepukan orang-orang sekeliling. Walaupun tidak tahu apa yang dibicarakan oleh Menteri Besar tetapi mereka semua terharu dengan tingkah Menteri Besar yang memeluk Leman. Inilah pemimpin berjiwa rakyat yang mereka mahukan. Menteri Besar tersenyum lebar sambil mengangkat tangan kepada semua penduduk kampung. Leman ikut tersenyum. Menteri Besar memang orang baik.

********************

Kejadian di balai raya membuatkan orang kampung mula kecoh dengan isi kertas yang diberi oleh Leman kepada Menteri Besar. Rumah Nek Som menjadi tumpuan. Sibuklah orang datang bertanya itu ini dengan Nek Som. Nek Som yang tidak tahu hujung pangkal hanya melayan kunjungan orang kampung dengan baik. Genap seminggu selepas kunjungan Menteri Besar, orang kampung sekali lagi dikejutkan dengan kedatangan sebuah lori ke rumah Nek Som. Leman yang melihat tersenyum lebar saat orang-orang di dalam lori itu memunggah barang-barang turun dari lori. Nek Som yang melihat terpinga-pinga.

“Nek, inilah hajat Leman. Leman tak mahu nenek susah-susah lagi masa membasuh baju Leman dan memasak dengan dapur kayu. Betul kata Ustaz Riduan, kalau Leman banyak berdoa mesti satu hari nanti doa Leman dimakbulkan Allah.” Leman lebar tersenyum. Nenek Som hilang kata. Sebuah mesin basuh automatik dan dapur gas bertuku dua yang baru sudah siap dipasang dengan setong gas Petronas terletak elok di dapur Nek Som. Orang kampung ikut terpinga-pinga. Hilanglah kemusykilan mereka mengenai isi surat Leman.

“Menteri Besar memang baik kan nek?”

Nenek Som tersenyum. Kepala cucunya digosok lembut.

“Ya cu. Menteri Besar memang baik. Sebenarnya semua orang baik Cu. Nenek harap hidup kita juga akan lebih baik selepas ini.”

Memang makin baiklah kehidupan Nek Som dan Leman apabila orang-orang Menteri Besar menyerahkan sekeping kad tanda Nek Som bakal mendapat bantuan setiap bulan. Rupanya kedatangan Menteri Besar ke kampung memberi sejuta rahmat untuk Leman dan Nek Som. Tersenyum panjanglah Nek Som dan Leman dua bercucu. Semoga senyuman mereka berdua mekar mewangi sepanjang masa kerana Allah itu Maha Mendengar. Sesungguhnya percayalah, dunia ini masih penuh dengan manusia yang baik-baik.

Saat memandang jauh ke langit yang biru,
Mata kita harus rendah tunduk ke bumi,
Saat dunia ini penuh haru,
Mata kita juga pasti melihat adanya jiwa yang suci.


Author Image

Nazifah Awi
Kehidupan adalah medan ujian untuk setiap hambaNya. Manusia itu diberi kisah yang berbeza bagi membuka minda setiap hambaNya untuk berfikir dan mengambil ikhtibar daripada setiap kisah itu. Hidup tak selalu susah, dan kesenangan juga kadang-kadang tidak berpanjangan.

No comments:

Post a Comment

Kembali Ke Atas