Home Ads

Friday, June 9, 2017

Xeroc Amphere

Oleh : Iqram Akmal


Tech 01


12 Januari 2050, hari Rabu. Seorang remaja lelaki sedang mendongak ke langit sambil menikmati pemandangan yang indah itu. Nama remaja tersebut ialah Irfan Bahtiar. Dia turut mengingati semula akan kematian ibunya semasa dia masih kecil. Ibu dia meninggal dunia akibat virus misteri yang dikenali sebagai ‘Xeroc Amphere’.

Virus tersebut sebenarnya berasal dari komputer dan mengjangkiti manusia dengan cara yang tidak dikenal pasti. Tiada siapa tahu cara untuk mencegahnya. Walaupun kerajaan memberitahu ada sebuah organisasi yang mampu mengubati virus itu, tetapi identiti organisasi itu masih rahsia dalam kalangan orang awam.

Memikirkan semua benda itu membuatkan Irfan mengelamun untuk seketika. Masih lagi berpakaian uniform sekolah, dia tidak menyedari waktu persekolahan hampir mula.

Selepas itu, dia terus bergegas keluar dari rumahnya. Bapa dia sudah keluar semalam atas urusan kerja. Dia juga tidak pulang ke rumah pada waktu itu. Disebabkan itu, Irfan tinggal sendiri. Jika ibu dia masih hidup lagi, mungkin ibu Irfan itu akan jadi peneman dia sewaktu bapanya pergi kerja.

Menurut ibunya, bapa Irfan bekerja di sebuah tempat yang Irfan tak jangka.

Dia dan ibu bapanya tinggal di sebuah bandar yang dikenali sebagai ‘Arabistia’. Bandar tersebut menjadi tumpuan orang ramai di seluruh dunia kerana menjadi tempat sesuai untuk melancong. Bandar yang moden itu penuh dengan pusat beli-belah itu sentiasa menjadi pilihan nombor satu orang yang mempunyai duit banyak!

Menaiki keretapi ke sekolah menjadi rutin harian utama Irfan. Selepas beberapa minit duduk dalam kenderaan awam itu, dia berjalan kaki ke sekolah dia. Tiba sahaja,dia terus duduk di tempat dia.

Seperti biasa, hanya sedikit sahaja pelajar yang hadir pada waktu itu. Sesetengah pelajar tidak hadir kerana dijangkiti virus Xeroc Amphere. Kini, mereka sedang berada di hospital untuk ‘bertarung’ dengan virus tersebut untuk meneruskan kehidupan.

Semasa duduk di tempat duduknya, Irfan termenung untuk kali kedua dengan melihat telefon bimbitnya, sambil bermain permainan dalam telefon dia itu. Baru sahaja dia hendak leka dengan permainan itu, tiba-tiba seseorang sedang kejutkan dia dari belakang.

“Sibuk main game nampak!”

Orang yang membuat dia terkejut itu ialah rakan baiknya yang bernama Fadil Rahman.

Irfan terus mengerutkan dahi. Mana tidaknya, dia sibuk bermain tiba-tiba rakan dia tu datang dan rosakkannya! Irfan terus mencubit pipi Fadil dengan perasaan yang geram. Fadil mengerang kesakitan kerana pipi dicubit oleh rakan sendiri. Pelajar yang lain hanya melihat gelagat mereka berdua sambil ketawa terbahak-bahak. Bagi mereka, tindakan Irfan dan Fadil dapat menjadikan suasana dalam kelas menjadi ceria sedikit.

“Boleh tak jangan kejutkan orang macam tu lagi? Kalau saya mati mengejut sebab tindakan awak ni, apa yang akan berlaku nanti?”, ujar Irfan kepada Fadil, sebelum dia melepaskan cubitan itu.

Fadil yang terus menggosok pipi yang sakit kerana cubitan dari Irfan itu hanya menunjukkan senyuman. Dalam hati dia, dia sangat malu seperti cicak yang termakan kapur apabila semua rakan sekelas melihat gelagat dia dengan Irfan. Suasana kelas mula menjadi ceria kerana perangai mereka berdua. Ada baik juga Irfan pergi cubit pipi rakannya tu ya!

Kemudian, rakan Irfan itu pun melayan salah seorang perempuan yang hadir di kelas dia. Fadil juga popular dalam kalangan perempuan kerana mukanya yang berkarisma. Tambahan pula, Fadil digelar anugerah pelajar popular, menjadikan dia makin dikenali.

Tiba-tiba, semua pelajar dalam kelas mula kecoh apabila mereka berdiri di hadapan tingkap untuk melihat di luar. Irfan dan Fadil yang mempunyai rasa ingin tahu turut melihat ke tingkap. Mereka ternampak tiga biji kereta berwarna hitam kelabu dan beberapa orang berpakaian sut hitam berdiri di luar bangunan sambil mengawal ketiga-tiga kereta tersebut.

“Siapa mereka tu?” tanya salah seorang pelajar yang berada di dalam kelas pada waktu itu.

Masing-masing mengangkat bahu, tidak mengetahui identiti semua lelaki berpakaian sut hitam itu. Sementara itu, Irfan dan Fadil ternampak sebuah logo di atas salah satu bumbung kereta itu. Fadil terus mengenyit mata ke arah Irfan sambil menunding jari ke arah pintu keluar dari kelas.

“Mari kita tengok apa yang dah berlaku.”

Irfan mengangguk. Mereka bergerak keluar dengan berjalan secara menjengket.

Apabila kaki dua sahabat itu berjaya melangkah keluar, Irfan dan Fadil terus berlari ke tempat mereka lihat dua kereta itu sebentar tadi. Menyorok di sebalik tiang menjadi niat mereka, sekali gus melihat dan mendengar apa-apa sahaja beberapa lelaki berpakaian hitam hadapan itu kata.

Tidak lama kemudian, seorang lelaki berusia 50-an keluar dari salah sebuah kereta yang ada. Lelaki tersebut berpakaian kemeja batik dan berkaca mata. Apabila Irfan melihat wajah lelaki tersebut, dia menutup mulutnya dengan tangan kanannya kerana terkejut.

“Apa yang awak nampak?”

“Ayah saya. Dia bekerja dengan mereka ni ke?” Dia ternampak ayahnya sedang memakai kaca mata hitam sambil berdiri dalam posisi seperti menunggu seseorang yang ada pangkat tinggi. Irfan mula berfikir dalam mindanya. Kata-kata ibu dia mula bermain semula dalam kepala.

“Ayah kamu bekerja di tempat kamu sendiri tak jangka, Irfan.”

Mungkinkah ini ‘kerja’ yang ibu dia maksudkan? Tiada siapa tahu.

“Irfan, ada orang asing keluar dekat dengan bilik gurulah!”

Fadil terus menunding jari telunjuk dia ke arah pintu masuk ke bilik guru. Kelihatan lelaki berusia lingkungan 40-an keluar dari situ. Badan lelaki tersebut gempal dan sedang memakai kemeja berwarna kelabu yang dilengkapkan lagi rekaannya dengan garisan melintang berwarna hitam.

“Orang asing, awak kata? Itu pengetua kitalah!”

Fadil menggaru kepala, cuba sorokkan malu dia di hadapan Irfan.

Pengetua sekolah itu berjalan dengan perlahan dan berhenti di hadapan ayah Irfan. Tindakan beliau menyebabkan dua sahabat yang mengintip dia dari jauh itu hairan untuk seketika.

“Pengerusi Organisasi Rahsia, Syahrizal Adnan. Ini satu penghormatan apabila tuan hendak datang ke sini.” kata Pengetua itu.

Irfan dan Fadil mendengar perbualan dengan penuh dedikasi. Amboi, macam seorang paparazzi yang memburu artis terkenal pula.

“Saya datang ke sini bukan untuk suka-suka, Hafizudin. Saya nak jumpa dengan anak lelaki saya.” kata bapa Irfan itu.

Berpeluh dahi dahi pengetua sekolah yang bernama Hafizuddin semasa mendengar kata-kata lelaki bernama Sharizal itu. “Maksud awak, Irfan? Mengapa pula?”

Encik Sharizal hanya senyap, sementara Irfan dan Fadil tidak dapat dengar apa yang mereka katakan. Baru sahaja Irfan hendak tahu akan sebab bapa dia cari dia, tiba-tiba seorang pengawas sekolah ternampak mereka berdua. Irfan dan rakan baiknya itu terus memulakan langkah seribu tanpa melihat ke belakang untuk kali yang kedua.

Dari situ, perasaan hairan dan keliru bercampur pada hati Irfan.

‘Mengapa ayah hendak jumpa saya pula?’, ujarnya dalam hati.

*****

Selepas tiba di dalam kelas, Irfan dan Fadil bernafas dengan tercungap-cungap. Mereka kepenatan semasa lari dari pengawas yang mengejar mereka. Rakan sekelas yang lain hairan melihat perangai mereka. Mereka tidak perasan ke akan kehadiran Irfan dan Fadil di bawah tadi?

“Psst! Pengawas dah datang. Cepat, balik ke tempat duduk masing-masing.” kata salah seorang pelajar yang berada dekat dengan pintu kepada semua pelajar dalam kelas.

Irfan dan Fadil terus bergerak ke tempat duduk masing-masing. Selepas itu, seorang lelaki berdiri di hadapan kelas dengan muka tegas ibarat seekor singa. Masing-masing menunduk ke lantai. Takut didenda agaknya. Padahal pengawas itu datang ke kelas mereka dengan niat yang lain.

“Siapa Irfan Bahtiar?”

Patutlah pengawas tu datang. Mencari seseorang yang bernama Irfan Bahtiar rupanya. Irfan terus berdiri dari tempat duduknya, lalu lalu berjalan ke arah pengawas yang lebih tinggi berbanding dia itu. Mata antara dua lelaki itu mula bertentang sesama mereka. “Err... ada apa?” tanya Irfan.

Pengawas itu hanya memandang Irfan dengan tajam. Lalu, dia pun menunjukkan senyuman. Berkerut dahi Irfan melihat perangai pengawas itu, sementara Fadil menahan ketawa di belakang kerana lihat riak wajah Irfan.

“Pengetua Hafizuddin panggil. Katanya ada orang nak jumpa awak.”

Irfan mengangguk faham. Dua kaki segera melangkah keluar dari kelas, mengikut pengawas itu dari belakang. Fadil memberi isyarat kepada Irfan dari belakang supaya dia ‘bertenang’ sahaja. Dia terfikir, mungkin pengawas itu melaporkan akan perbuatan mereka berdua kepada Pengetua. Tindakan dia itu membuatkan Irfan dipanggil, walaupun agak pelik kerana Fadil tidak dipanggil langsung.

“Baru je saya nak lapor tentang perbuatan korang tadi, tapi Pengetua terus panggil saya untuk panggil awak.”

Sebenarnya, Irfan tahu akan sebab Pengetua memanggil dia. Arahan dari bapa dia yang bernama Encik Syahrizal itulah yang menyebabkan dia dipanggil ke bilik Pengetua. Mungkin bapa dia tengah tunggu di sana. Selepas beberapa minit, Irfan dan pengawas itu tiba di hadapan bilik Pengetua.

Kelihatan Pengetua dengan bapa Irfan sedang menghirup segelas teh jika dilihat melalui tingkap.

Lalu, pengawas itumengetuk pintu, membukanya, dan menjemput Irfan masuk ke dalam.

“Irfan Bahtiar. Sangka kamu tak datang. Marilah masuk dan duduk di sebelah saya sambil minum teh.” sapa Pengetua.

Encik Shahrizal, atau bapa Irfan terus melihat Pengetua dengan tajam.

“Tak payahlah awak layan dia macam tu, Hafizuddin.” Encik Shahrizal menegur perbuatan Pengetua untuk tidak menyapa Irfan terlalu baik. Pengetua hanya diam, lalu menunduk ke lantai. Irfan pula terus duduk di sebelah tanpa menghiraukan teh di hadapan dia.

“Mengapa ayah nak jumpa saya ni?”

Irfan terus memulakan perbualan dengan Encik Shahrizal. Hairan Encik Shahrizal bila Irfan tahu bahawa dia hendak jumpa dengan anak lelakinya itu.

“Mana kamu tahu ayah nak jumpa kamu, Irfan?” tanya Encik Shahrizal pula dengan wajah kehairanan.

Lalu, seorang lelaki berpakaian hitam yang berada di situ tampil ke depan.

“Kami ada lihat dia dan rakannya mengintip dia dari jauh, Tuan.”

Irfan terus menelan liur. Rupa-rupanya hampir semua pengawal kepada bapanya lihat gelagat dia dan Fadil selama ni! Encik Shahrizal hanya senyap sahaja, menyebabkan hati Irfan menjadi cemas.

“Baguslah kalau awal dah tahu. Tak perlu ayah nak beritahu tentang tu lagi.”

Encik Shahrizal meletakkan semula cawan teh di atas meja, lalu mengambil sesuatu dari poket seluarnya. Benda tersebut berbentuk sfera dan mempunyai butang merah pada atas benda tersebut. Dia pun menekan butang merah itu. Banyak benda bertaip muncul pada benda itu selepas butang merah tersebut ditekan.

“Apa benda tu?” tanya Irfan kepada Encik Shahrizal.

Pengetua Hafizuddin juga hairan apabila melihat apa yang keluar dari benda kepunyaan bapa Irfan itu.

“Data virus Xeroc Amphere. Cara untuk ubatinya juga ada dalam data ni.” kata Encik Shahrizal. Riak wajah Irfan berubah bila mendengar apa yang bapa dia kata sebentar tadi.

“Kejap. Xeroc Amphere dah boleh dirawat? Mengapa ayah tak kata awal-awal, atau patut saya, sebelum ibu kena virus tu?”

Nada Irfan mula menjadi sedikit geram. Mana tidaknya, selama ini dia menganggap virus itu tiada ubatnya. Rupa-rupanya ada… cuma tidak diumumkan!

Encik Shahrizal hanya senyap. Dia memang jangka bahawa salah seorang dari dua orang di hadapannya itu akan bertanya soalan yang berbentuk seperti anak lelaki dia telah tanya. Lelaki yang tua sedikit itu menarik nafas dan menghembuskannya dengan perlahan sebelum dia membalas pertanyaan Irfan itu.

“Ayah dan orang yang terlibat temuinya beberapa tahun lepas ibu mati.” ujar Encik Shahrizal dengan nada perlahan.

Selepas itu, Pengetua Hafizuddin terus mencelah.

“Jadi, nak buat apa tunjukkan benda ni pada kami berdua?”

“Saya nak Irfan hantar data ni dengan selamat di luar Bandar Arabistia esok.”

“Awak serius ke, Shahrizal?”

“Kalau nak jadikan dunia ni bebas dari Xeroc Amphere, saya serius.”

“Macam tu ke..”

“Jadi, awak nak terima tawaran ayah ke, Irfan?”

Irfan berfikir sebentar. Dia tidak tahu sama ada dia hendak terima tawaran pelik ayah dia itu atau sebaliknya. Beberapa saat kemudian, dia terus berdiri dan meminta izin untuk meninggalkan bilik Pengetua Hafizuddin. Sebelum dia pergi, doa sempat kata sesuatu pada bapanya. “Kalau begitu, saya akan hantar benda tu untuk ayah.”

“Kalau macam tu, datang ke tempat kerja ayah petang nanti.”

Irfan mengangguk faham, tidak sabar menanti waktu petang itu.


Author Image

Iqram Akmal
Hanya penulis yang masih belajar.

No comments:

Post a Comment

Kembali Ke Atas