Home Ads

Tuesday, January 30, 2018

Misteri Kunci Atok

Oleh : Orangenasuki


BAB 5 - PETUNJUK DARIPADA ATUK


Gelap malam membuatkan larianku banyak kali terganggu. Akar-akar pokok yang berselirat di tanah menyebabkan kakiku tersadung dan aku terjelempuk jatuh ke tanah. Sakitnya tidak usah katalah. Namun aku gagahkan untuk kembali bangun dan berlari laju.

“Saad!!! Lari cepat!!!” Suara nyaring daripada lelaki muda di depanku membuatkan kakiku kaku seketika.

“Saad?” Aku bingung dengan panggilan yang lelaki itu lontarkan.

“Aku Saad??”

“Saad. Cepat!! Nanti kita tertangkap.” Lelaki muda itu mengheret laju tanganku sambil kaki kami mula berlari kembali. Mulutku seperti dikunci rapat. Apa yang aku tahu kami telah berlari jauh ke dalam hutan. Hutan tebal yang gelap tanpa sinaran cahaya bulan. Larian kami seperti tiada kesudahan sehinggalah akhirnya kami tiba di sebuah anak sungai.

“Alhamdulillah Saad. Kita sudah jauh daripada mereka semua.” Lelaki tanpa nama itu merafak syukur. Aku hanya diam tanpa balasan. Kepalaku terasa pening dan berdenyut-denyut. Kakiku masih sakit akibat beberapa kali terjatuh tadi.

Kenapa aku berada di sini? Pelik.

Untuk bertanya kepada lelaki muda itu, suaraku seakan hilang tanpa bunyi. Mulutku terkunci rapat dan mataku tanpa henti melihat keadaan sekeliling.

Aku melihat lelaki muda itu menuju ke gigi sungai. Mukanya dibasahkan dan aku nampak dia mula mengisi air ke dalam sebuah beg kain yang tidak tembus airnya. Dibahunya tergalas sebuah bungkusan besar yang juga diperbuat daripada kain.

“Saad. Kita ambil wuduk. Sudah lama kita tidak bersolat. Kita doa panjang-panjang supaya Allah selamatkan perjalanan kita ini.” Lelaki tanpa nama itu kembali bersuara.

Aku hanya menurut dan segera melangkah menghampiri lelaki muda itu. Kami bersama-sama berada di gigi air seraya mengambil wuduk. Air sungai yang sejuk itu membuatkan aku separuh menggeletar. Namun aku gagahkan apabila melihat lelaki muda itu menyentuh air itu tanpa getar. Selesai berwuduk, lelaki itu mengajakku ke sebatang pokok yang agak besar. Di bawah pokok itu kawasannya sedikit lapang berbanding kawasan-kawasan lain. Dan kami mula bersolat Isyak dengan penanda pekatnya malam. Selesai bersolat Isyak, kami lanjutkan dengan solat sunat taubat dan kemudian solat hajat. Malam yang dingin membuatkan aku hilang dalam kusyuk yang dalam. Sedar-sedar, aku telah selesai mengaminkan doa lelaki muda itu. Dan kemudian, dia menyalami tanganku agak lama sambil matanya memandang ke wajahku dengan pandangan sayu.

“Saad, engkau sahabat aku dunia dan akhirat. Aku berharap yang kita akan sama-sama selamat sampai ke kampung nanti.” Lelaki tanpa nama itu menggenggam erat tanganku. Dan aku hanya membalasnya dengan anggukkan yang berkali-kali.

Perjalanan kami teruskan dalam gelap malam yang sesekali ditemani sinaran penuh bulan yang berada di dada langit. Aku merasa gerun dengan tebalnya hutan yang sedang kami tempuhi ini. Sesekali kedengaran bunyi ungka yang saling bersahut-sahutan seakan sedang memberitahu kami suatu berita.

Larian sudah bertukar kepada langkah yang laju. Lelaki muda di hadapanku ini sesekali akan melihat-lihat ke belakang, bimbang aku ketinggalan. Matanya sangat peka dengan bunyi-bunyi yang kedengaran di telinga. Sesekali kami berhenti mendadak apabila ada bunyi kuat yang menghampiri. Aku hanya menurut seakan aku ni hanya bayang-bayang bagi lelaki muda itu.

Gelap malam sudah beransur hilang. Mungkin sahaja matahari sudah mahu muncul. Pada waktu inilah lelaki muda itu sekali lagi mengajakku berhenti. Bunyi deras air menandakan kami masih berjalan berdekatan dengan sungai. Kami bergerak ke arah bunyi air dan ternyata sangkaan kami betul. Sebuah sungai dengan air yang deras terbentang di depan kami. Dalam rembang subuh, aku dapat melihat yang sungai ini lebih lebar dan dalam.

Sayup-sayup, aku mendengar suara azan. Lelaki muda itu tiba-tiba menggenggam erat tanganku.

“Kita sudah dekat dengan kampung. Alhamdulillah Saad!” Begitu gembira riak wajah lelaki itu.

Kami kemudian bersolat subuh ditemani bunyi air yang menderu-deru. Dinginnya sungguh terasa saat ini. Sekali lagi aku bersolat diimani lelaki muda itu. Dan seperti sudah terbiasa, dia akan menyalami aku dengan kemas. Namun kali ini, dia tiba-tiba mengeluarkan sebuah peti daripada bungkusan kain yang tergalas kemas di bahunya tadi.

“Saad, peti ini aku serahkan pada engkau. Engkau pegang dan simpan peti ini baik-baik. Jika umur kita panjang dan apabila kita sudah punyai hidup yang teratur di kampung nanti, sampai masanya, kita akan buka peti ini bersama-sama.” Lelaki muda itu meletakkan peti itu di ribaanku. Aku yang tidak punya suara untuk bercakap hanya memegang peti itu dan mengangguk beberapa kali.

“Kuncinya ada padaku. Tanda yang kita akan berjumpa lagi dan menunaikan janji kita ini.” Lelaki muda itu menunjukkan kunci yang berada di tangannya kepadaku sebelum kunci itu dimasukkan ke dalam uncang kecil yang disangkut di pinggangnya.

Aku masukkan kembali peti itu ke dalam kain tadi dan mengikatnya kemas. Sekarang peti itu sudah aku galas tanpa mengetahui isi yang berada di dalamnya. Dan lelaki muda itu mengemaskan ikatan uncang yang berada di pinggangnya. Uncang yang diisi sebatang kunci yang bersaiz agak besar. Imej kunci itu seakan-akan pernah ada di mindaku.

“Saad, aku rasa baiklah kita seberangi sungai ini. Hati aku kuat mengatakan yang di seberang sungai ini pasti akan ada perkampungan.” Lelaki muda itu mula bergerak ke gigi air dan mengarahkanku untuk menyeberangi sungai itu dahulu.

Bungkusan kain yang mengandungi peti, aku galas kemas di bahu. Air sungai agak deras membuatkan aku melangkah dengan berhati-hati. Dan lelaki itu memaut bahuku kemas. Kami sudah hampir sampai ke tebing takkala air sungai yang tiba-tiba deras menghempas batang tubuh kami berdua. Mujurlah aku sempat berpaut pada dahan pokok yang melenduk di pinggir sungai dan berjaya menyeberang dengan selamat.

Namun, bahuku tiba-tiba terasa ringan. Ya Allah! Lelaki muda itu?

“Saad!!! Tolong aku!!”

Air sungai yang tiba-tiba semakin deras menghanyutkan lelaki itu sehingga ke tengah sungai. Aku hilang punca. Tidak punya cara untuk menolong membuatkan aku menangis tersedu-sedu. Kakiku kaku untuk berlari menolong dan esakanku semakin kuat.

“Rahim!!!!!” Laungan suaraku tiba-tiba pecah dan bergema di telinga.

“Rahim!! Jangan tinggal aku!!!”

“Bain!!!!”

“Bain!! Bangun!!! Sudah cerah ni. Kamu tak mahu pergi sekolah ke?”

Tiba-tiba air sekali lagi menghempas batang tubuhku. Namun kali ini bukan sahaja tubuhku yang basah, tetapi mukaku seakan dihempas badai yang kuat. Dan mataku terbuka luas.

Emak di tepi katil dengan sebaldi air dan sedang bercekak pinggang memandang ke arahku. Aku sedang kuyup di katil.

“Mak, Bain mimpi ke?”

“Ha. Mujurlah sudah sedar. Emak ingat sudah hilang terus dah tadi, duduk terpekik terlolong panggil atuk engkau pagi-pagi ni.” Emak sudah berjalan keluar dari bilik sambil mulutnya masih menyuruhku untuk cepat bangun.

Aku mimpi? Peti tu? Saad?

“Ha???”

Bersambung....

Bab 4

Author Image

Orangenasuki
Menulis dan membaca adalah dua perkara yang saling berhubung kait. Ibarat irama dan lagu yang tidak dapat dipisahkan. Membaca membuatkan manusia itu lebih berilmu. Manakala menulis membuatkan manusia itu lebih kenal ilmunya. Dan saya memilih untuk menulis sesuatu. Sesuatu yang biasa kerana saya memilih untuk hanya menjadi yang biasa.

No comments:

Post a Comment

Kembali Ke Atas