Home Ads

Sunday, January 7, 2018

Misteri Kunci Atok

Oleh : Orangenasuki


BAB 4 - JALAN KERETAPI MAUT


“Pendudukan Jepun merupakan suatu peristiwa penting dalam sejarah negara kita. Pemerintahan tentera Jepun di negara kita berlangsung selama kira-kira tiga tahun setengah iaitu dari 15 Februari 1942 hingga 12 September 1945. Peperangan yang berlaku menyebabkan penduduk sentiasa berada dalam kesengsaraan dan ketakutan. Penduduk telah dikenakan perintah berkurung dan sekatan perjalanan. Pada ketika itu setiap rakyat saling mencurigai antara satu sama lain kerana bimbang dianggap anti-Jepun. Ada yang menjadi tali barut pihak Jepun. Ramai juga yang menjadi mangsa kekejaman tentera Jepun ketika itu.” Cikgu Maimunah memerhati raut wajah anak didik di hadapannya itu satu persatu. Sejurus, dia menyambung. “Kempetei pula sentiasa menjalankan tugas pengintipan terhadap sesiapa sahaja yang dianggap bersalah. Hukuman dera dan hukuman mati dijalankan di khalayak ramai. Sebahagian rakyat pula dijadikan buruh paksa. Mereka tidak diberi gaji, sebaliknya diberikan makanan sekadar untuk menampung kehidupan. Malah hampir tujuh puluh ribu penduduk Tanah Melayu yang menjadi buruh paksa untuk membina ‘Jalan Kereta Api Maut’ di sempadan Thailand-Burma. Dan daripada jumlah tersebut lebih satu per tiga daripadanya telah terkorban.”

Penjelasan panjang lebar Cikgu Maimunah membuat mulutku ternganga luas. Kalau tidak kerana Udin menyiku lenganku mungkin sahaja mulutku sudah dimasuki lalat barang seekor dua. Aku ralit mendengar kerana penerangan cikgu sejarahku itu hampir sama dengan cerita arwah atuk dahulu. Maknanya cerita atuk bukanlah cerita kosong ataupun rekaan semata-mata untuk menghiburkanku. Aku jadi makin tertarik untuk mengetahui lebih lanjut mengenai sejarah pendudukan Jepun di Tanah Melayu dahulu. Mana tahu aku boleh tahu fungsi kunci yang berada di dalam simpananku. Kunci arwah atuk rupanya bukanlah kunci biasa. Kunci itu, kunci ke arah zaman Jepun.

“Udin, aku rasa kunci arwah atuk aku tu mahu bawa kita ke zaman Jepun la.”

Udin ternganga. “Parah kau ni Bain. Aku ingat aku seorang sahaja yang kartun. Rupanya kau lagi kartun rupanya..” Udin ketawa besar sampai Cikgu Maimunah yang baru sahaja melangkah untuk keluar kelas berpatah balik melihat ke arah aku dan Udin. Aku melambai kepada Cikgu Maimunah tanda tiada apa-apa yang berlaku.

“Teruklah kau ni. Kalau pun tak logik apa yang aku cakap tu janganlah sampai engkau ketawa kuat macam tu. Buat malu aje..” Aku menutup mulut Udin daripada terus ketawa. Udin yang tercungap-cungap melepaskan diri, ketawa kecil.

“Yalah Bain. Aku minta maaf. Aku bergurau sahaja. Jadi tak ke markas petang ni?”

“Jadi. Tapi sebelum tu kita ke Perpustakaan Desa dulu. Aku nak cari maklumat lagi pasal pendudukan Jepun dekat Tanah Melayu kita ni. Mana tahu berguna untuk jumpa mangga kepada kunci aku tu nanti.” Aku terasa semangat Leftenan Adnan seperti menyelinap masuk ke dalam jiwa kecilku ni. Amboi! Bersemangat sungguh aku rasa sekarang.

**********

Sudah hampir setengah jam aku dan Udin menyelak setiap buku sejarah yang mengandungi cerita-cerita ketika zaman pendudukan Jepun di Tanah Melayu dahulu. Namun, tidak banyak yang kami temui berkenaan ‘Jalan Keretapi Maut’. Seketika aku bangun dari duduk menuju ke rak himpunan majalah. Majalah Dewan Pelajar aku selak malas. Fikiranku masih dengan misteri kunci yang atuk tinggalkan. Kenapa atuk bagi kunci itu kepada aku? Bukan pada emak atau anak-anak atuk yang lain? Hairan sungguh.

Ah! Aku mesti cari sampai dapat mangga bagi kunci ini.

Tiba-tiba aku melihat Udin melambai-lambai kepadaku.

“Bain, cuba kau baca keratan akhbar ni.” Udin menolak buku tebal yang dibacanya kehadapanku. Buku tebal itu adalah keratan-keratan akhbar yang telah dijilidkan. Tangannya menunjukkan ke arah keratan akhbar yang bertarikh Disember 2013.

“Pembinaan bermula pada tahun 1943 untuk mewujudkan laluan bekalan ke Burma dan India bagi tentera Jepun.” Aku mula membaca dalam nada sedikit kuat.

“Burma tu negara apa, Bain?” Udin menyoalku sambil matanya tidak lepas melihat gambar yang berada di tengah-tengah laporan akhbar itu.

“Burma itu nama lama Mynmar.”

“Waa..hebat kau!” Udin tersengih sambil mengangkat kaca matanya.

“ Aku pun baru tahu semalam waktu aku baca buku sejarah.” Mataku kembali menatap keratan akhbar di depanku itu.

“Pembinaan landasan ini melibatkan kawasan hutan hujan tropika yang tebal serta lereng bukit yang begitu mencabar. Buruh paksa menggunakan peralatan asas sahaja serta kudrat mereka dalam keadaan kerja yang penuh kesengsaraan. Para jurutera hari ini mengiktiraf beberapa perkara yang mengagumkan dihasilkan oleh pihak Jepun dan buruh paksa termasuk penggunaan buluh untuk membina lintasan di atas sungai dan lereng bukit.”

“Hebat betul mereka ya?” Udin yang masih ralit memerhati beberapa keping gambar yang dilampirkan menyampuk pendek.

“Kagum itu kagum la. Tapi bukan ke mereka itu memang kejam. Mengerah keringat manusia-manusia yang tak bersalah. Cuba kau baca ni!” Aku menunjukkan kenyataan seterusnya yang ditulis.

“Lebih separuh daripada 200 000 pekerja yang terdiri daripada buruh paksa rakyat Thailand, Burma, Jawa, Cina, Melayu dan Tamil dipercayai terkorban akibat penyakit, kebuluran serta kekejaman tentera Jepun.” Udin terdiam seketika sambil menggeleng-gelengkan kepalanya.

“Bain, mesti atuk engkau dulu hidup sengsara kan. Tak dapat aku bayangkan macam mana keadaan mereka dekat sana dulu. Sudahlah jauh daripada keluarga.” Udin membetul letak duduk kaca matanya. Aku yang mendengar jadi pilu. Patutlah atuk tidak habis-habis bercerita kisah hidupnya dahulu. Rupanya kisah hidup atuk adalah perkara yang tidak dapat dia lupakan sepanjang hidupnya.

“Aku pun tak sangka yang atuk pernah jalani hidup yang susah macam ni.” Terbayang di ruang mataku wajah atuk yang sentiasa tersenyum. Atuk tidak pernah sekali aku lihat bermasam muka atau marah. Mungkin bagi atuk, kesusahan atau kesulitan yang dihadapi tidak setanding kesusahan dan kesulitan ketika menjadi buruh paksa ‘Jalan Kereta Api Maut’.

“Tapi Bain, aku masih kabur dengan apa yang kita baca ni dengan kunci yang atuk engkau bagi. Kau rasa atuk engkau nak bagitahu engkau apa ya?” Udin nampak makin musykil.

“Entahlah Udin. Aku pun buntu.” Buku besar dihadapanku itu aku tutup kemas. Selain daripada maklumat mengenai kekejaman tentera Jepun itu, aku tidak nampak jalan untuk mencari arah bagi penyiasatan kami ini. Semangat Leftenan Adnan yang aku rasa pagi tadi hilang seakan-akan di bawa angin kipas yang ligat berputar di atas kepala kami ini.

“Bain, aku harap kita jumpa petunjuk lain selepas ni.” Udin menepuk lembut bahuku.

Aku mengangguk lemah. Wajah atuk yang sentiasa tersenyum panjang itu membuatkan aku yakin yang atuk memang ada menyimpan suatu rahsia.

Petunjuk lain?

Bersambung....

Bab 3

Author Image

Orangenasuki
Menulis dan membaca adalah dua perkara yang saling berhubung kait. Ibarat irama dan lagu yang tidak dapat dipisahkan. Membaca membuatkan manusia itu lebih berilmu. Manakala menulis membuatkan manusia itu lebih kenal ilmunya. Dan saya memilih untuk menulis sesuatu. Sesuatu yang biasa kerana saya memilih untuk hanya menjadi yang biasa.

No comments:

Post a Comment

Kembali Ke Atas