Home Ads

Friday, December 29, 2017

Misteri Kunci Atok

Oleh : Orangenasuki


BAB 3 - DETEKTIF UDIN


“Kau yakin ini kuncinya?” Udin menyoal lagi.

“Masuk kali ini sudah empat kali kau tanya soalan yang sama. Aku yakin la ini kuncinya.” Aku sudah rasa mahu naik angin dengan pertanyaan Udin yang berkali-kali itu.

“Maaf la. Aku cuma nak kepastian daripada engkau. Janganlah marah, teman.” Udin ketawa kecil.

“Banyak la kau punya teman..” Aku melambung-lambung kunci di tangan sambil memerhatikan Udin yang sedang ralit membaiki radio kecil miliknya.

Udin adalah sahabatku semenjak daripada kecil. Perkenalan kami unik, aku kira. Mungkin sebab ia terjadi di rumah ketua kampung di mana ketika itu aku dan Udin sama-sama sedang menahan rasa takut untuk disunatkan. Umur kami ketika itu sepuluh tahun. Udin yang berkaca mata nampak sangat gementar apabila seringkali mengangkat kaca matanya yang melurut ke hidung. Aku yang merasa kasihan melihatnya begitu menghulur sebiji gula-gula oren kepadanya. Udin mengambilnya sambil memberikan senyuman yang manis. Aku yang turut sama tersenyum selepas itu, mula menghulur salam persahabatan kepada pemilik wajah kecil yang polos ini.

Maka dengan kejadian yang manis dan masam(kerana Udin tetap menangis sewaktu disunatkan), persahabatan kami terjalin sehinggalah sekarang. Di mana ada aku, di situlah ada Udin. Kami ibarat kembar berlainan ayah dan emak.

Itu kejadian lima tahun lepas. Sekarang bila sahaja usia kami sudah lima belas tahun, kami mula sukakan cabaran dalam membuat sesuatu perkara. Setelah membuat kajian tempat, dan kebenaran daripada ayah Udin (sebab tanah pusaka keluarga Udin), akhirnya kami sepakat untuk membina sebuah pondok di hujung lembah ini bagi dijadikan markas.

Bunyinya mungkin sangat hebat sepertinya kami ini sedang mencipta alatan untuk masa hadapan. Tetapi sebenarnya markas kami ini hanya dipenuhi dengan radio buruk milik Udin kerana dia sangat suka mencabut-memasang semula komponen-komponen dalam radio buruknya. Apabila siap memasang semula komponen di dalam radio, dia akan mencari siaran radio negara asing-Thailand untuk mendengar lagu-lagu daripada negara Gajah Putih itu. Aku pula akan tumpang dengar sekali. Seronok sekali kami menikmati dendangan lagu sambil dibuai angin dari lembah walaupun sepatah kata daripada penyanyi itu kami tidak faham. Itulah uniknya Udin dan persahabatan kami.

Aku kembali menimbang kunci di tangan. Kunci ini memang berat. Ianya lain daripada yang lain. Kunci sudah ada, tapi mangganya ada di mana? Kalau ada kunci, pasti ada mangganya. Sudah! Kunci ni untuk buka apa pula?

“Udin, engkau agak kunci ni untuk buka apa ya?” Aku memandang ke arah Udin yang sudah siap memasang kembali radionya. Dia sedang memusing-musing punat ‘tuning’ mencari siaran. Seketika Udin terdiam. Aku melihat Udin memegang dagunya. Lagak dia tidak ubah seperti watak komik Jepun yang dia dan Udin suka baca, penyiasat Kindaichi yang sedang berfikir. Lama Udin berkelakuan begitu membuatkan dia kelihatan lucu.

“Tak usahlah buat lagak macam Kindaichi tu? Kartun la kau ni..”

Udin ketawa galak. “Kau ni..bagi la peluang aku nak berangan jadi detektif dulu. Kacau mood betullah kau ni..” Udin masih lagi dengan lagak detektifnya.

“Uhm..Aku agak atuk kau ada simpan peti harta karun la Bain. Dia nak bagi harta karun tu dekat kau. Tapi dia nak suruh kau cari sendiri dekat mana peti tu..” Wajah Udin sudah berubah riak. Mata kecil di sebalik kanta berkuasa 200 itu dibeliak besar. Teruja betul dia dengan teorinya.

“Banyaklah harta karun. Kau ingat ini zaman Jepun?” Aku ketawa dengan teori Udin yang bagiku tidak masuk akal langsung.

“Kita memang la tak duduk zaman Jepun. Tapi atuk kau tinggal masa zaman Jepun kan?” Udin tersengih-sengih sambil mengangkat kaca matanya. Aku yang mendengar ternganga sekejap. Ada logik pula kata-kata Udin itu. Harta karun??

“Kau yakin Udin?” Aku mula teruja dengan teori Udin.

“Teori Bain...teori...” Udin ketawa kecil melihat aku yang semakin teruja. Sakit hati melihat ketawa Udin, aku menumbuk kecil perutnya. Udin masih galak ketawa.

“Ketawalah kau puas-puas. Aku nak balik la.” Kunci arwah atok aku masukkan kembali ke dalam kocek seluarku. Udin terdiam terus.

“Woi. Janganlah macam ni. Aku baru teruja nak mulakan penyiasatan ni.”

Aku yang sudah bersedia untuk bangun, kembali duduk melihatkan Udin yang kembali bersemangat. Bunyi suara daripada penyanyi negara gajah putih sudah meliang-liuk. Udin yang merapatkan silanya mula membentangkan kertas manjong putih. Kertas wajib apabila kami mula bermesyuarat (sekali lagi bunyinya macam sedang membuat projek besar!).

“Baiklah. Kita mulakan dengan rentetan peristiwa sebelum kunci ini berada di tangan engkau.” Ayat Udin sudah berubah rentak. Seakan-akan roh cucu penyiasat besar Jepun itu sedang menyelinap masuk perlahan-lahan kebadannya. Kacamata yang melurut, Udin angkat perlahan. Sah! Detektif Udin sudah kembali.

“Kunci ini aku dapat sewaktu umur aku lapan tahun. Seminggu sebelum atok aku meninggal. Waktu aku dapat kunci ni, atok aku ada cerita sebuah cerita yang aku sendiri payah untuk faham.” Aku mula menerangkan kepada Udin yang sudah mula mencatat di atas kertas manjong.

Udin melukis gambar kunci ditengah-tengah dan cabang pertama adalah tahun aku mula mendapat kunci. Hebat betul cara Udin merangka penyiasatannya.

“Atok kau cerita apa?” Udin menyoal lagi dengan nada yang lebih tajam. Aku malas untuk mengacau mood detektifnya lagi. Biarlah sahaja Udin menjadi Hajime Kindaichi hari ini.

“Cerita atok aku banyak pasal zaman penjajahan Jepun dahulu. Pasal susahnya hidup sebab tentera Jepun yang kejam. Tapi yang paling dasyat cerita pasal ‘Jalan Keretapi Maut’.”

“Jalan Keretapi Maut?” Pen yang berada di tangan Udin terlepas jatuh daripada tangannya dan bergolek laju ke hujung bangsal. Angin tiba-tiba sahaja bertiup kuat membuatkan kertas catatan Udin terangkat daripada lantai bangsal. Mujurlah Udin cekap menangkapnya.

“Lain macam penyiasatan kita kali ini, Bain.” Udin tersengih lagi. Suara detektifnya tiba-tiba hilang seakan di bawa angin kuat tadi.

Langit tiba-tiba pula mula berubah warna. Terik mentari yang terang bersinar sebentar tadi sudah mula hilang dan digantikan dengan awan mendung. Hujan pasti akan turun tidak lama lagi. Aku teringatkan bangsal rumahku yang ditinggal bersepah awal pagi tadi. Emak pasti akan makin bising jika aku tidak mengemasnya lagi. Perasaan untuk menyambung cerita terasa hilang melihatkan langit yang mula gelap.

Udin aku ajak pulang bersama untuk membantuku mengemas. Aku umpannya dengan radio burukku yang aku jumpa di celah-celah periuk emak tadi.

“Aku nak dengar lagi pasal cerita atok engkau. Aku rasa ‘Jalan Keretapi Maut’ mungkin ada kaitan.” Udin memandangku dengan senyuman yang nampak agak misteri. Dan aku mengangguk kecil tanpa suara.

Bersambung....

Bab 2

Author Image

Orangenasuki
Menulis dan membaca adalah dua perkara yang saling berhubung kait. Ibarat irama dan lagu yang tidak dapat dipisahkan. Membaca membuatkan manusia itu lebih berilmu. Manakala menulis membuatkan manusia itu lebih kenal ilmunya. Dan saya memilih untuk menulis sesuatu. Sesuatu yang biasa kerana saya memilih untuk hanya menjadi yang biasa.

No comments:

Post a Comment

Kembali Ke Atas