Home Ads

Thursday, December 21, 2017

Misteri Kunci Atok

Oleh : Orangenasuki


BAB 2 - KUNCI


Prang...Prang...

Bunyi bising benda jatuh yang bertimpa-timpa di belakang rumah membingitkan suasana pagi hari ini.

“Kamu buat apa tu Bain?? Awal-awal pagi sudah buat hal. Adik kamu mahu tidur atas rumah tu!!” Suara emak nyaring menjerit di dapur.

Aku menepuk-nepuk seluar serta baju yang sudah habis berdebu akibat ditimpa periuk-periuk emak. Lenganku terasa sakit dan apabila aku melihatnya, ada kesan torehan kecil di siku kiriku. Bangsal tempat simpan barang kini bersepah-sepah. Habislah kalau emak datang tengok nanti.

Sejak selepas makan sarapan tadi aku sudah duduk tercongok menarik-narik kotak barang lama. Selepas hampir tujuh tahun, baru hari ini aku terfikir untuk mencari kembali kunci yang diberi oleh arwah atuk. Aku pun tidak tahu kenapa. Tapi mungkin juga tingkahku ini disebabkan mimpiku malam tadi. Mimpi yang aku rasa pelik.

Aku bermimpi berjumpa atuk di suatu tempat yang lapang. Atuk yang berbaju serba putih asyik tersenyum kepadaku. Tiba-tiba datang sekumpulan manusia membawa atuk pergi. Aku memanggil-manggil atuk tetapi atuk hanya diam tanpa suara dan memberikan senyuman kepadaku. Dan sebelum aku terjaga, aku masih ingat yang atuk menunjukkan sesuatu ditangannya. Suatu objek yang panjang. Puas aku berfikir akan benda tersebut sehinggalah selepas mandi subuh tadi, aku teringatkan kunci yang diberi oleh arwah atuk. Kunci yang penuh dengan misteri itu.

Tapi sekarang, aku sudah buntu mengenai tempat letaknya kunci tersebut. Seingatnya dulu, aku menyimpannya di dalam kotak bersama-sama barang mainan dan buku-buku lama. Sudah jenuh aku memunggah kotak-kotak dan menyelongkar laci almari, tapi bayang kunci pun aku belum nampak.

Aku kembali tunduk untuk mengambil kuali emak yang terpelanting jauh ke tepi almari. Pada ketika itulah mataku tiba-tiba sahaja terpandang sebiji kotak yang agak tersorok di belakang almari. Itu kotak bekas kasutku ketika aku berumur lapan tahun.

Kuali yang berada ditangan aku gantungkan kembali ke tempatnya. Aku menarik kotak kasut di bawah almari itu dengan berhati-hati. Bimbang jika ada binatang merbahaya yang membuat sarang di situ. Kotak itu masih elok. Mujur ia tidak dimakan anai-anai. Aku menepuk-nepuk penutup kotak yang sudah berhabuk penuh itu. Sedikit terbatuk aku dengan debu yang penuh itu.

Kotak itu kubuka. Didalamnya terdapat buku tiga lima yang berwarna kuning, sekotak pensil warna LUNA, dan seberkas gelang getah yang sudah kering. Barang-barang ketika aku di sekolah rendah dahulu. Aku menyelak lagi ke bahagian bawah kotak itu sehinggalah tanganku menyentuh sesuatu yang keras. Berat terasa apabila aku menggenggam dan mengangkatnya. Hatiku terasa sedikit berdebar.

Aku membuka genggaman tanganku perlahan-lahan dan nah! Inilah dia barang yang aku cari. Kunci pemberian arwah atuk. Kunci itu masih lagi kelihatan sama cuma agak berkarat. Yalah sudah tujuh tahun duduk bertapa di dalam kotak kasutku. Ralit aku menilik kunci tersebut sambil menyapu-nyapu debu yang melekat padanya.

Kreek...

Bunyi nyaring pintu bangsal yang kuat tiba-tiba mengejutkan aku. Aku kaku seketika apabila melihat ada tangan yang sedang membuka pintu bangsal.

“Ya Allah.Bain!!! Apa yang kamu buat ni. Habis bersepah semua barang-barang mak.” Emak yang muncul dengan mengelek adik bongsunya dilihat sudah mula menyeringai. Habislah aku kena bantai nanti. Kunci yang berada di tangan cepat-cepat disorokkan ke dalam saku seluar panjangnya.

“Bain cari barang la mak. Nanti Bain kemas la balik.” Sepantas kilat aku melarikan diri keluar daripada bangsal. Bunyi jeritan emak yang kuat membuatkan aku kecut perut. Basikal yang berada di bawah rumah segera aku capai. Aku mengayuh laju menuju ke hujung lembah. Sempat lagi aku meraba kocek seluar. Mujurlah kunciku masih di situ. Kayuhan aku lajukan lagi. Aku harus cepat sampai ke lembah.

Bab 1

Author Image

Orangenasuki
Menulis dan membaca adalah dua perkara yang saling berhubung kait. Ibarat irama dan lagu yang tidak dapat dipisahkan. Membaca membuatkan manusia itu lebih berilmu. Manakala menulis membuatkan manusia itu lebih kenal ilmunya. Dan saya memilih untuk menulis sesuatu. Sesuatu yang biasa kerana saya memilih untuk hanya menjadi yang biasa.

No comments:

Post a Comment

Kembali Ke Atas