Home Ads

Sunday, December 17, 2017

Misteri Kunci Atok

Oleh : Orangenasuki


BAB 1 - CERITA ATOK


Angin sepoi-sepoi bahasa bertiup lembut. Membelai kulit mukaku yang masih kedinginan. Di sebalik bukit, matahari masih malu-malu untuk menunjukkan wajah terangnya. Aku mendongak ke langit yang masih rembang-rembang cerah. Sekawan burung kelihatan terbang rendah menghampiri rimbunan pokok kelapa. Jauh di belakang, anak-anak burung yang mula belajar untuk mengepakkan sayap menghampiri kawanan burung itu. Seketika aku ralit memerhatikan mereka. Sekecil-kecil burung pun harus belajar untuk meneruskan hidup. Apatah lagi manusia yang dikurniakan kesempurnaan ini. SubhanaAllah, Maha Suci Allah.

“Bain!Kenapa tak pergi sekolah lagi tu??” Jeritan panjang emak di muka pintu membuatkan aku tersentak. Emak menggeleng-gelengkan kepalanya. Agaknya sudah lama emak melihat aku berdiri di tanah. Aku tersengih. Malu ditangkap emak begitu.

“Ya mak. Bain ke sekolah dahulu. Assalamualaikum.” Aku bergegas memakai kasut sambil menarik beg sekolah yang melurut di bahu. Basikal aku tuntun ke jalan depan dengan cepat-cepat. Sayup-sayup terdengar kekehan emak di belakang. Lucu barangkali melihat kelakuan aku begitu.

**********

Nama aku, Kamarul Bahrin bin Abdul Rahim. Umurku genap lima belas tahun bulan Julai nanti. Namun, semenjak kecil lagi aku dipanggil dengan panggilan Bain. Arwah datukku, Haji Ramli yang mula memanggilku begitu. Kata atuk, dia payah untuk memanggil Bahrin kerana giginya yang hanya tinggal dua batang ketika itu. Sudah banyak angin yang keluar jika diulang-ulang memanggil Bahrin. Akhirnya panggilan namaku lekat dengan Bain sahaja. Aku ketawa kelucuan setiap kali teringatkan arwah atuk. Arwah atuk orangnya sangat penyayang. Setiap kali ke kedai, ada sahaja mainan atau buku-buku yang dibeli untukku. Emak selalu juga marahkan atuk kerana terlalu manjakanku tetapi atuk hanya tersenyum kepadaku sambil mengedip-ngedipkan matanya yang sudah berkedut seribu itu. Nakal betul atuk.

Setiap kali kami bersama, atuk suka bercerita. Kebanyakkan ceritanya akan selalu berkisar mengenai kesusahan hidup pada zaman jepun dahulu. Kata atuk, tentera jepun sangat kejam. Mereka merampas harta benda rakyat yang mereka rasa akan mengancam kedudukan mereka. Ada rakyat yang dipukul dengan teruk sehingga mati. Aku sangat takut mendengar kisah atuk sehingga terbawa-bawa ke dalam mimpi dan mengigau sampai menangis. Atuk pula akan tersengih-sengih apabila dimarahi emak kerana bercerita kisah-kisah yang menakutkan aku. Yalah, ketika itu umurku baru tujuh tahun. Masih kecil untuk menerima kisah-kisah yang sebegitu. Mungkin jika atuk masih ada sekarang, kisah atuk itu akan lebih menarik perhatianku.

Namun begitu, aku masih ingat dengan jelas tentang sebuah cerita atuk yang bagi aku sedikit aneh. Kisah itu atuk ceritakan kepadaku ketika aku berusia lapan tahun. Seminggu sebelum atuk menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Pada hari kejadian itu, aku sedang duduk melukis di pangkin bawah pokok rambutan di belakang rumah. Tiba-tiba atuk datang menghampiriku dan duduk sama di pangkin. Atuk, aku lihat agak aneh kerana dia hanya berdiam diri. Tidak seperti kebiasaannya yang suka bergurau denganku.

Atuk mengusap kepalaku dengan lembut. Aku melihat atuk hanya tersenyum. Kemudian atuk memulakan bicaranya.

“Bain, atuk mahu berkongsi satu cerita dengan kamu hari ini. Cerita ini mengenai kisah zaman silam atuk suatu ketika dahulu.” Aku yang mendengar hanya menganggukkan kepala tanda bersedia untuk mendengar kisah atuk.

“Pada zaman dahulu hidup atuk sangat susah. Ibaratnya seperti kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Yalah, hidup pada zaman negara kita dijajah. Segala perbuatan kita berada di dalam perhatian orang-orang sekeliling. Tambahan lagi apabila Jepun datang menyerang Tanah Melayu. Makanan selalu tidak cukup. Nasi digantikan dengan ubi kayu. Namun begitu, dalam kesusahan hidup yang dihadapi, kami tetap rasa bahagia. Kerana moyang kamu selalu berpesan yang hidup kita ini harus banyak bergantung kepada Allah. Biar susah, tapi jangan lupa Tuhan.” Atuk menghela nafas panjang seketika.

“Atuk masih ingat, pada waktu itu atuk berumur dalam sekitar lima belas tahun. Hari itu selepas selesai solat subuh, atuk bersiap untuk turun ke kebun bersama-sama dengan moyang kamu. Tiba-tiba kami terdengar bunyi kenderaan yang bising serta keadaan yang kecoh di luar rumah. Moyang kamu bergegas keluar untuk melihat apa yang sedang berlaku. Adik-beradik atuk yang lain semua berpeluk ketakutan. Kami telah mendengar berita yang ketika itu tentera jepun semakin mengganas. Namun, kami tidak menyangka yang mereka akan masuk ke kampung kami. Yalah, kampung atuk dulu jauh ke pendalaman. Rupanya mereka ini tidak mengira tempat. Namanya ada kawasan perkampungan, mereka akan masuk dan menceroboh.” Wajah atuk ketika itu aku lihat penuh dengan kebencian. Dan atuk bercerita dengan penuh semangat sekali.

“Kemudian, atuk mengintai di celah-celah pintu dan atuk melihat sekumpulan tentera jepun sedang menyoal ketua kampung dan moyang kamu. Ada sebuah trak yang besar di situ. Atuk merasa cemas apabila salah seorang daripada mereka berjalan menuju ke rumah atuk. Atuk pun berlari memeluk moyang perempuan kamu dan adik-adik atuk yang lain. Tiba-tiba pintu rumah ditolak dengan kuat dan tentera jepun itu berjalan ke arah kami. Tangan atuk ditariknya dengan kuat. Dia memaksa atuk untuk mengikutnya. Mula-mula atuk melawan juga tetapi apabila atuk melihat tentera itu mula mengacukan pedang ke arah adik-adik atuk, atuk menurut. Moyang perempuan kamu menangis tidak henti-henti sambil memanggil nama atuk. Seingat atuk, itulah kali terakhir atuk melihat wajah moyang perempuan kamu.”

Kini bicara atuk kembali perlahan. Jelas terbayang kesedihan di wajah atuk ketika itu. Mungkin atuk sedang terbayang kembali detik-detik ketika kejadian itu berlaku. Seketika atuk terdiam dan kemudian barulah atuk kembali menyambung ceritanya.

“Atuk dibawa menaiki trak yang besar tersebut bersama-sama dengan moyang kamu. Dalam trak tersebut sudah ramai kaum lelaki kampung kami. Kawan baik atuk, Saad pun ada bersama. Atuk masih ingat Saad memegang kemas tangan atuk ketika itu. Dia memang penakut. Tapi atuk rasa, semua orang di dalam trak itu pun takut dan bimbang.

Berhari-hari kami semua ditahan di sebuah tempat yang gelap. Mula-mula kami tidak tahu ke mana kami akan dihantar sehinggalah pada suatu hari seorang lelaki memberitahu kami yang kami akan dibawa ke Burma. Ketika itu Tuhan sahaja yang tahu perasaan kami semua. Di sana, kami dikerah untuk bekerja siang dan malam bagi menyiapkan sebuah kerja. Kerja bagi membina sebuah jalan keretapi. Atuk tidak pernah terfikir yang atuk akan terlibat sama dalam kerja-kerja tersebut. Cuba kamu bayangkan Bain, membina landasan keretapi di kawasan yang tidak pernah atuk sampai pun sepanjang hayat.” Wajah atuk ketika itu cukup membayangkan kegetiran yang terpaksa atuk hadapi.

“Kawasan di situ amat merbahaya. Ramai kawan-kawan atuk yang jatuh sakit. Yang meninggal sewaktu cuba melarikan diri pun ada. Kami ibarat buruh paksa yang hanya diberikan makan serta minum. Tidur kami pun tidak bertempat. Jiwa dan perasaan kami terdera. Sehinggalah kami semua memanggil kawasan itu dengan panggilan ‘Jalan Keretapi Maut’.” Cerita atuk tiba-tiba terhenti. Sejurus atuk terdiam. Lama atuk duduk begitu.

Selepas itu, apa yang aku ingat, atuk membuka telapak tanganku dan meletakkan sesuatu yang tidak pernah aku lihat sebelum ini. Sebentuk kunci yang saiznya agak besar. Tidak seperti kunci-kunci yang aku pernah miliki sebelum ini. Atuk meminta aku untuk menyimpan kunci itu baik-baik. Wajah atuk kelihatan sangat sedih. Cerita atuk juga tergantung begitu sahaja. Aku masih ingat yang atuk jatuh sakit keesokkan harinya. Genap seminggu, atuk pergi meninggalkan aku dengan cerita yang tak berkesudahan. Sehingga kini, aku tidak tahu apa makna disebalik cerita atuk dan kunci yang diberikan kepadaku. Malah aku sendiri pula sudah lupa di mana kunci tersebut disimpan.



Author Image

Orangenasuki
Menulis dan membaca adalah dua perkara yang saling berhubung kait. Ibarat irama dan lagu yang tidak dapat dipisahkan. Membaca membuatkan manusia itu lebih berilmu. Manakala menulis membuatkan manusia itu lebih kenal ilmunya. Dan saya memilih untuk menulis sesuatu. Sesuatu yang biasa kerana saya memilih untuk hanya menjadi yang biasa.

No comments:

Post a Comment

Kembali Ke Atas