Home Ads

Sunday, October 2, 2016

D'RAKSHA : Another World

Oleh : Hasif Rayyan


Bab 1

1 Jun 2015, 12.45 tengah hari
Pulau Suria, Terengganu

Pulau ini pulau terlarang. Menurut kata orang kampung. Sesiapa pun tak dibenarkan untuk berlabuh di sini. Kata mereka, pulau ini berhantu. Katanya.

Pernah kala suatu malam, ada orang kampung yang berlayar melintasi pulau ini. Mereka terdengar jeritan dua kanak-kanak. Kadangkala sayup. Kadangkala lantang. Yang pasti, mengerikan. Sedangkan pulau ini sudah tidak berpenghuni.

Kononnya, mereka dibunuh kejam oleh sepasang suami isteri. Sebagai bahan korban untuk suatu ritual supernatural. Dan pasangan itu kemudian hilang. Barangkali turut terkorban.

Khairi mengeluh. Kenapa dia boleh ikut percaya dengan kata mereka? Padahal dia patut tahu yang itu cuma spekulasi. Yang dibuat tanpa usul periksa. Kalau bukan kerana ‘barang itu’, takkan ketahuan dia akan cerita sebenar.

Si isteri masih hidup. Sekarang sedang masak untuk makan tengah hari anaknya. Khairi sendiri. Tetapi Khairi mungkin tak sempat pulang untuk menjamah masakan ibunya.

Mungkin juga, pada masa ini, ibu Khairi sudah perasan ‘barang itu’ sudah hilang. Khairi yang mengambilnya. Untuk dibuat petunjuk mencari si suami. Yang hilang di pulau ini. Ayahnya sendiri.

Mungkin ibunya akan risau, tetapi Khairi tak mahu pulang. Selagi tidak ketemu lelaki yang tak bertanggungjawab itu.

Kini Khairi tahu. Ibu bapanya bukanlah sekejam yang diperkatakan. Malah menurut ‘barang itu’, mereka tak dibunuh. Mereka...

“Abang, kita dah sampai.” Gadis genit di hadapannya menegur.

Muda setahun dari umur Khairi, 15 tahun. Wajahnya bujur, diserikan dengan tudung putih bercorak belang jingga. Pada tudung itu, ada kerongsang bunga merah. Berpakaian blaus krim gaya Muslimah disarung dengan cardigan dan seluar hitam.

Langkah Khairi terhenti. Dia mendongak, merenung bangunan terbiar di hadapan.

Banglo dua tingkat warna putih. Namun warna catnya sudah pudar. Kini dikelilingi lumut dan tumbuhan hijau menjalar. Walaupun sudah lama terbiar, seni binanya masih tampak indah. Ada gabungan tiga hiasan panel; konkrit, batang kayu dan batu venir. Halamannya juga luas, sekalipun dipenuhi lalang setinggi paras lutut.

“Elyana, betul ke tempat ni?” Di belakang Khairi, ada lagi seorang budak lelaki mengiringi selain adiknya. Matanya redup, tampak tenang. Berambut hitam, panjang digayakan stail emo disikat belah ke kiri, menutup dahi. Berpakaian gelap, dengan padanan T-shirt kosong hitam dan seluar khaki perang.

Elyana merenung sejenak pada helaian‘barang itu’. Kemudian mengangguk. “Kalau ikut jurnal ni, memang kat sinilah,” katanya, menjawab soalan Fazley.

Khairi menggenggam tali beg sandang, kemudian berpaling ke arah mereka. “Jom masuk. Aku dah tak sabar nak tengok kat dalam.” Khairi menggesa langkah mendekati pintu rumah.

“Eh! Tunggu.” Elyana berlari anak-anak, mengekori abangnya dari belakang.

Melihat gelagat rakannya, Fazley bingung. “Kenapa kalut sangat?” Dia menyoal dalam hati, kemudian menyusul. Namun usai lima tapak, langkah Fazley terhenti. Kemudian, dia menoleh ke belakang. Agak sejenak dia begitu. “Perasaan akukah?” Fazley buat tak layan, terus berjalan masuk ke dalam banglo itu.

Di balik pokok berdekatan semak-samun, ada sepasang mata yang sedang memerhati mereka.

* * * * *

Khairi menuruni tangga menuju ke bawah tanah. Fazley dan Elyana mengekori dari belakang. Kawasannya gelap. Namun cahaya dari lampu suluh memudahkan perjalanan mereka.

Tangga ini tersembunyi. Laluannya terlindung oleh rak buku di sudut tepi kawasan ruang tamu. Kalau bukan kerana jurnal pada tangan Elyana, mereka takkan jumpa laluan ini.

Usai dua minit, mereka tiba di hujung anak tangga. Andai disuluh, ada laluan menuju terus ke hadapan. Tetapi dari jarak ini, agak sukar Khairi hendak melihat penghujungnya. Namun Khairi terperasan sesuatu pada dinding. Ada suis.

‘Takkanlah, kan...?’ Tetapi, Khairi tetap memetik suis itu, ditolak ke atas. Seketika kemudian, kawasan itu terang dengan nyalaan lampu putih.

Mereka bertiga tercengang sejenak. “Aik? Ada elektrik?” Nada suara Khairi meninggi.

Jalan yang gelap tadi, menampakkan tiga pintu bilik. Khairi membaca label di setiap pintu.

‘Bilik Kajian’ di kiri. ‘Bilik Rehat’ di kanan. Dan di hujung jalan, ada ‘Makmal’. Tidak seperti bilik di kiri dan kanan, pintu makmal disadur besi tebal, dan bukannya kayu. Malah ada kunci elektronik di sebelah kiri pintu itu.

“Tapi... kalau ikut tarikh akhir dalam jurnal ni, dah 14 tahun tempat ni terbiar.” Elyana turut bingung.

“Hmm... Ni pulau persendirian, kan? Mungkin mereka ada sumber elektrik sendiri? Mesti ada sistem ni... Apa dah tu nama dia...” Khairi berfikir seketika, sebelum menjawab yakin, “Haa! SARS!”

“SAPS-lah,” Fazley membetulkan.

Wajah Elyana berkerut, tanda tak faham. Dia memandang ke arah Fazley. “SAPS? Apa tu?”

SAPS. Nama penuhnya stand-alone power system. Sistem penjanaan tenaga elektrik yang dibina khusus di kawasan yang tiada akses bekalan elektrik. Contohnya, kawasan pedalaman.

SAPS ada kaedah tersendiri untuk tiga penggunaan. Penjanaan elektrik, penyimpanan tenaga dan penyeliaan.

Selalunya, penjanaan tenaga elektrik dibuat melalui teknologi sistem solar atau turbin angin.

Tenaga elektrik boleh disimpan melalui bank bateri, atau alat sel bahan api. Tenaga yang dialirkan dari bateri akan hasilkan elektrik voltan kecil tambahan bersifat arus terus (DC ELV - Direct Current Extra Low Voltage).

Ia akan digunakan untuk tujuan pencahayaan atau mana-mana peralatan elektrik yang bersifat arus terus (DC - Direct Current). Alat inverter digunakan untuk hasilkan elektrik voltan rendah bersifat arus ulang-alik (AC - Alternating Current). Ini membolehkan pelbagai lagi peralatan elektrik boleh digunapakai.

. . .

‘Macam tak percaya dia sama umur dengan aku.’ Khairi bermonolog, kagum dengan pengetahuan Fazley yang luas.

Khairi sebenarnya baru saja kenal Fazley. Dia rakan Elyana, walaupun adiknya baru tingkatan dua. Elyana kata, Fazley sering membantu dalam pelajarannya. Mereka berkenalan sejak tahun lepas. Semasa Elyana sedang bertugas di perpustakaan sekolah.

Kebetulan, Khairi ‘tangkap’ Fazley ketika dia mengekori Elyana masuk ke hutan di pinggir bukit tempoh hari. Dari situ juga, Fazley tahu fasal rancangan mereka untuk ke Pulau Suria. Tetapi, Fazley menawarkan diri untuk membantu. Malah, mereka takkan berjaya ke sini tanpa bot yang disediakan Fazley. Yang menurutnya, itu bot milik keluarga.

Namun, Khairi tetap bingung. Kenapa Fazley sanggup tolong mereka? Sedangkan itu bukan urusan Fazley. Paling penting, orang selalunya akan mengelak dari mendekati pulau ini.

“Khairi.” Panggilan Fazley mematikan lamunan Khairi.

“Apa dia?”

“Kau ada perasan apa-apa yang pelik tak kat ruang tamu tadi?”

Kening Khairi berkerut. “Maksud kau?” Dia menyoal.

Namun dia cuba mengingat semula. Ruang tamu itu luas, dan tampak gah dengan adanya set perabot gaya mewah klasik. Lantainya bersinar denan hiasan jubin batu marmar. Sekalipun telah lama ditinggalkan, kawasan itu tampak kemas.

Apa yang peliknya?

. . .“Tak apalah.”

Khairi menghela nafas berat. “Kau ni dah kenapa...?” Dia merungut, terasa buang masa. Khairi terus berjalan menuju ke makmal.

* * * * *

Fwee~

Pintu bilik makmal terbuka. Mereka bertiga masuk, meninjau keadaan bilik.

Makmal itu agak berdebu dan tidak teratur. Rak di sudut tepi makmal kosong tanpa kelibat walau satu buku. Yang ada cuma barisan radas makmal tersusun di atasnya. Namun ia sudah berkulat dan berkarat dimakan waktu.

“Khairi.” Fazley memanggil.

“Ada apa?”

“Aku rasa... Dah sampai masanya kau beritahu aku segalanya.”

. . . Khairi tidak menjawab, sekadar memandang kosong pada Fazley.

Tetapi, Fazley terus mencuba. “Kenapa kita ke sini? Tempat apa ni?”

Kali ini, Khairi menoleh. Masih tak mahu beri kerjasama. “Fazley. Ini bukan masanya,” Dia membalas dingin.

Tetapi Fazley tampak tidak terkesan. “Khairi. Aku tahu kau dan Elyana ke sini tak beritahu Mak Cik Zairina. Lagipun... Semua orang kampung patut tahu pulau ni kawasan terlarang.” Dia membidas tenang.

Susahlah kenal dengan orang pandai ni! Monolog Khairi mencebik. “Fazley... Tolong faham...” Nada Khairi sedang tahan bengang.

“Aku rakan ‘subahat’ kau, jadi aku ada hak untuk tahu.” Fazley tetap bertegas.

. . . .

Khairi menunduk, menyelindung wajahnya yang berkerut tegang.

Nampaknya dia tak boleh terus berahsia. Lagi-lagi apabila Fazley sudi menolong mereka. Sekalipun Fazley tak tahu tujuan mereka ke sini. Padahal dia boleh saja memilih untuk tidak endahkan mereka.

Khairi menutup mata, menghembus nafas berat. Terpaksalah. Dia bertentang mata dengan Fazley. “Kau tahu kan ayah aku hilang sejak 14 tahun lalu?”

Fazley mengangguk. Elyana pernah beritahu dia sebelum ini. Malah, kehilangan Dr. Azfar sering disebut para guru dan pelajar di sekolah. Dan bermacam spekulasi buruk dia dengar. Yang pasti, semuanya tak berasas.

Khairi beralih pandangan ke hadapan. Ada mesin besar tersadai di situ.

Bentuknya seperti gagang telefon. Namun bahagian bawahnya bertapak. Ia disusun bersebelahan. Satu di kiri, satu di kanan. Ruang di tengah dikosongkan seluas beberapa meter.

“Kalau kau nak tahu, dalam makmal ni lah, ayah aku hilang,” kata Khairi.

Wajah Fazley berkerut. “Tapi, macam mana? Takkan ayah kau hilang macam tu saja?”

Khairi tidak segera menjawab. Tangannya menyeluk beg sandang. Sambil itu, dia bersuara, “Nanti kita akan tahu juga.” Kemudian dia keluarkan sesuatu.

Pada tangan Khairi kini ada balang. Yang terisi cecair pekat. Fazley kenal cecair itu. Cecair pengawetan. Dan dia perasan sesuatu. Ada benda yang terapung. Fazley mengamati benda itu. Dan wajahnya menyengir. ‘Jari!?’ Tiba-tiba Fazley rasa mual.

“Ayah aku punya,” ujar Khairi, tenang.

Pelik. Khairi tampak seperti tak terkesan. “Kenapa kau simpan benda tu?” Fazley menyoal.

“Manalah aku tahu. Aku jumpa dalam laci bilik mak aku.”

. . . . Fazley hilang kata-kata.

“Tapi...” Khairi berjalan mendekati portal itu. Balang itu dihalakan pada ruang tengah. “...jurnal tu cakap, ada kaitan dengan mesin ni.”

ZKZKZKZK!

Tiba-tiba, percikan elektrik menjelma. Dan bersilih ganti dengan kemunculan bulatan cahaya biru. Ia kemudian merebak, memenuhi ruang tengah.

Mereka bertiga terkesima.

Khairi melepaskan balang itu. Membiarkan ia terapung di situ, tanpa dipegang.

“Itu kan... Portal?” Berkali-kali Fazley berkelip mata, tidak percaya. Sangkanya, portal itu cuma teknologi futuristik yang wujud dalam filem sains fiksyen sahaja.

Elyana lekas menyelak helaian jurnal. “Abang, jurnal ni kata, portal tu akan bawa kita ke tempat Papa berada sekarang.”

Portal. Gerbang pintu yang menyambung antara dua jarak jauh yang terpisah oleh ruang dan masa. Jadi, apa yang Elyana maksudkan dengan ‘tempat’ itu, barangkali...

‘Parallel universe?’ Atau dunia selari. Tetapi, setahu Fazley, konsep itu sekadar teori. Yang sering digunakan sebagai elemen penceritaan dalam karya fantasi atau sains fiksyen.

Parallel universe itu suatu ruang realiti berasingan yang wujud seiring dengan realiti sedia ada. Pendek kata, semacam realiti alternatif. Sebagai contoh, jika manusia di dunia ini hidup di darat, mungkin di dunia selari, manusia hidup di dalam lautan.

Khairi menatap portal di hadapannya. Saat ini, jantung Khairi berdegup kencang. Terkadang susah dikawal, seakan mahu dicabut. Air liur ditelan, cubaan mengawal gentar jiwa. “Jom.” Kita pergi.

Elyana mengangguk akur, kemudian berjalan mendekati abangnya.

Fazley terlopong. Eh? Seriuslah? Biar betul mereka ni!

“Na-Nanti! Jangan bertindak melulu!” tegah Fazley, panik.

Elyana sesekali mengerling pada Fazley. Ada benarnya kata Fazley. Perasaan dia kini berkecamuk. Tetapi Elyana cuba buat tidak endah. Dia sendiri mahu cari ayahnya. Walaupun badannya turut menggigil gentar.

“Kita tak tahu apa yang boleh terjadi! Lagipun, kita tak tahu apa-apa fasal dunia tu!” Fazley cuba memujuk.

Khairi mencebik. Tetapi, dia cuba tidak melayan.

“Khairi! Tolong dengar,” Kali ini, nadanya tinggi. Cuba mendesak.

Khairi mengetap gigi, sambil menjerit lantang, “KAU TAK FAHAM, FAZLEY!” Dia menoleh ke arah Fazley, menunjukkan wajahnya yang sedang merah padam.

Cakap Fazley terhenti.

Khairi diam sejenak. Riak marahnya tadi beransur hilang. Dia kemudian bersuara, “Aku dah tak sanggup...”

. . . Fazley buat keputusan untuk mendengar.

“Aku dah tak sanggup tengok ibu aku menangis. Sebab tu...” Khairi bertentang mata dengan Fazley, menunjukkan pandangan tekad. “Aku kena cari ayah aku... Dan tarik dia balik ke sini. Itu tanggungjawab aku.”

Khairi anak sulung. Malah, satu-satunya kaum Adam dalam keluarga. Sebagai lelaki tunggal, sudah tentu dia harus utamakan keluarga. Perasaan, kehendak dan lain-lain. Banyak yang dia perlu berkorban.

Tapi, Khairi tak peduli. Itu tanggungjawabnya.

Demi ibunya, demi Elyana, dia rela.

Kalau kepulangan ayahnya bakal membahagiakan mereka, peduli apa!

Apa bezanya dengan para pendakwah yang berkorban masa untuk diri dan keluarga demi kebaikan umat?

Apa bezanya dengan para prajurit yang berkorban nyawa demi keselamatan negara?

Kalau sudah nama hendakkan kebahagiaan, masakan boleh tercapai tanpa pengorbanan?

Elyana mencapai lengan baju Khairi. “Abang...” Tanda disuruh tenang.

Khairi memandang wajah adiknya dengan riak janggal. Dia kemudian menghela nafas berat. Tanpa memandang Fazley, Khairi bersuara dingin, “Fazley, kau sanggup tolong kami datang ke sini, aku dah cukup berterima kasih.”

Khairi menarik tubuh Elyana. Berdua berjalan beriringan mendekati portal. “Kau balik sajalah. Kau tak mahu ikut pun, aku tak kisah. Bukan urusan kau.”

Mana boleh bukan urusan aku?! Pantas monolog Fazley memberontak. Sudahlah dia berkomplot. Takkan dia sekadar mahu lihat rakannya pergi? Padahal dia sendiri meragui sama ada destinasi mereka selamat untuk dikunjungi.

“Khairi, nanti!” Fazley memanggil.

KLANG! Tiba-tiba, mereka dikejutkan dengan bunyi kaca pecah. Arahnya dari belakang. Mereka bertiga segera menoleh. “A...lamak...” Si pengintip mula panik.

“WOI!” Khairi menjerkah. Terkejut dengan suara Khairi, si pengintip pantas buka langkah seribu. Namun lariannya cuai. Belum sampai lima tapak, dia jatuh terjelopok.

Khairi hendak menerpa, tetapi langkahnya terhenti apabila...

ZKZKZKZKZKZKZKZKZKZzzsssss!

Mereka menoleh, memandang ke arah portal. Percikan elektrik merebak luas, malah bunyinya makin membingit telinga. Yang anehnya, percikan putih bertukar hitam disusuli bunyi menggerunkan.

HWOOOOHHHHHHH!

. . . !!!

Mata Fazley membulat. “Semua! Lari cepat! Portal tu tak stabil!”

Namun, amaran Fazley lambat. Makmal itu bersepah dengan kertas berterbangan, disusuli gegaran kuat. Bagaikan vakum, portal itu bertindak menyedut apa sahaja yang ada di dalam makmal itu.

“AAAHHHH!!!” Termasuk Elyana.

“ELYANA!” Fazley cekap mencapai tangan Elyana, namun tenaga sedutan portal itu umpama taufan, apabila Fazley turut ditarik bersama.

“FAZLEY!” Khairi mencapai kedua belah kaki Fazley, dalam keadaan sedang menarik tubuh Elyana ke hadapan. Khairi cuba tarik mereka berdua menjauhi portal, tetapi kekuatannya nyata tidak cukup.

! ! !

Tubuh si pengintip melayang ke arah Khairi, kemudian menghempas padanya. Atas impak itu, pegangan Khairi terlepas. Dalam sekelip mata, mereka berempat telah disedut masuk ke dalam portal.

AHHHHHHHHHHH!!!!!!

Prolog
Author Image

Hasif Rayyan
Terima kasih kerana membaca, mohon beri komen tentang cerita ini.

No comments:

Post a Comment

Kembali Ke Atas