Home Ads

Sunday, October 2, 2016

Teman Ghaib : Rakzhan

Oleh : Hasif Rayyan


BAB 2

Kakiku longlai berjalan masuk ke bilik guru. Usai tiba di meja, aku hempaskan beg tote yang sarat dengan bahan pengajaran. Aku tarik kerusi dan kemudian duduk. Nafasku mengeluh panjang.

Tubuh rasa lemah. Mental rasa lelah. Penat. Padahal baru sejam aku masuk kelas ajar Bahasa Inggeris tadi. Tapi dalam sejam itu, macam-macam telah berlaku.

Budak buat bising. Tak beri perhatian masa aku mengajar. Ada yang buat kerja lain.

Aku cuba kawal kelas sebaik mungkin. Aku tinggikan suara. Cuba jadi tegas. Tarik perhatian. Macam-macam.

Tetapi tak menjadi. Semua buat tak layan. Semua buat tak dengar. Semua buat perangai. Ada yang siap menganjing aku lagi (Babi!). Cikgu di depan pun tak reti nak hormat. Heish! Budak zaman sekarang!

Kontra sungguh dengan zaman dulu. Cabaran guru sekarang luar biasa. Itu baru dengan perangai budak-budak. Belum lagi dengan menteri yang jenis sesuka hati gunakan kuasa politik dia untuk masuk campur dalam hal pendidikan. Yang sepatutnya bebas dari politik.

Macam-macam hal. Tukar polisilah. Tukar sistem peperiksaanlah. Buat surat pekeliling jangan rotan budaklah. Semua keputusan tak masuk akal. Dibuat ikut terjah. Tak fikir langsung nak tengok realiti sebenar. Insitusi pendidikan tergadai jadi medan eksperimen. Guru yang tersiksa. Pelajar pun jadi mangsa kalau mereka buat silap.

Ada lagi! Aku tak habis cerita lagi! Kerja kerani pun macam-macam jenis. Padahal itu kerja kerani, bukan kerja guru. Selalu aku dengar guru senior merungut, hari-hari kena bangun pukul tiga pagi semata-mata nak kemaskini data. Sebab pada masa ini sajalah, server tak sibuk. Sampai tugas mengajar terpaksa jadi tugas kedua. Bukan lagi prioriti. Macam mana hendak mengajar dengan bagus kalau terpaksa utamakan kerja lain yang tak ada kaitan?

Senang kan jadi cikgu? Sumpah aku rasa nak mencarut pada sesiapa yang cakap begitu depan aku. Walaupun aku cuma guru praktikum, tetapi aku pun tak terkecuali dari merasa tekanannya. Tekanan dengan budak-budak. Tekanan dengan banyak pantang larang. Nasib baik belum merasa tekanan kerja kerani.

Berbalik pada cerita tadi. Yang tak seronoknya, mereka buat hal bila pensyarah datang buat observation. Tetapi syukurlah beliau faham. Biasalah, budak-budak. Katanya. Haih. Diorang ni pun satulah. Macam tak boleh pilih masa lain nak buat hal.

Aku mencapai beg tote, keluarkan buku rekod. Aku tarik helaian borang bimbingan praktikum yang terselit padanya. Kemudian, aku meneliti kertas itu. Banyak tick pada nombor 3 dan 4. Markah biasa-biasa sajalah. Tapi bukan itu yang aku pedulikan. Aku perhati pada kotak di bawah. Yang tertulis ‘ulasan keseluruhan’.

Overall, you are lacking in terms of your English level and classroom management. Try your best to improve in these areas. However, you do have the qualities as a good teacher. Keep it up!

Kertas itu aku selitkan semula di dalam buku rekod. Kemudian, mataku beralih ke kanan, merenung pemandangan di luar jendela.

Padang sekolah terbentang luas dan cantik dengan rumput yang dipotong sekata. Walaupun sudah tengah hari, tetapi cuaca di luar redup dengan awan mendung berarak di langit. Membuatkan aku rasa tenang dibelai suasana nyaman. Cukup untuk membuatkan fikiran aku menerawang.

Aku teringatkan ulasan tadi. Benarkah apa yang ditulis itu? Atau beliau sekadar hendak meyakinkan aku?

Aku terkenang balik situasi di dalam kelas tadi. Rata-rata murid tak mampu berbahasa Inggeris. Walaupun mereka baru darjah dua, mereka sepatutnya sudah boleh berkomunikasi secara ringkas.

Tetapi, jangkaan aku meleset. Pernah aku tanya ‘where do you live?’, mereka tak boleh jawab. Kalau aku tak alih bahasa, mereka langsung tak boleh faham apa yang aku ajar. Sedangkan aku sepatutnya tak boleh gunakan Bahasa Melayu. Sebab itu bakal mencalarkan profesionaliti aku sebagai guru Bahasa Inggeris. Tetapi, aku tidak boleh salahkan mereka juga.

. . .

Perasaan ini hadir lagi. Aku sedar. Semakin lama, rasa ini makin kuat.

Pensyarah cakap aku boleh mengajar. Kawan-kawan aku pun kata begitu.

Malah, Mama dan Papa pun sama. Padahal aku tahu mereka cakap saja. Tetapi, aku tak boleh salahkan mereka. Lagi-lagi Mama. Mahu sangat lihat aku jadi guru. Sambung impiannya yang tak tercapai, katanya. Walaupun aku tak berminat sebenarnya. Tetapi, aku terus paksa dan pujuk diri. Aku cuba jadi rasional seboleh mungkin. Aku tak sanggup dianggap sebagai anak derhaka.

Tetapi... Bolehkah aku mengajar? Atau itu cuma jampi yang mereka ulang untuk memujuk aku terus bertahan dalam bidang ini? Sedangkan aku sendiri tahu yang aku tak...

“Hoi, jauh termenung.” Aku pantas menoleh. Iqbal rupa-rupanya. “Awak teringat kat siapa tu~?” Dia menyindir dengan nada gedik olok-olok sambil tersengih nakal.

“Saya teringat kat awak la! Awak pergi mana tadi?” Aku balas balik dengan suara perempuan jadian. Sambil itu, aku beristighfar dalam hati. Rasa hendak hantuk kepala sendiri pada meja sedang meluap-luap sekarang ini.

“Haha!” Iqbal ketawa. “Bodoh! Gelilah!”

Habis kau ingat aku tak gelilah tengok kau buat-buat gedik?

Aku menyandarkan kepala pada kerusi. “Penatlah.” Aku merengek dengan suara terkawal. Aku mengerling pada skrin telefon Samsung. Ada lagi sejam sebelum waktu sekolah tamat. Aaa! Cepatlah balik! Monolog aku menjerit.

Iqbal kemudian duduk di meja sebelah. “Observation tadi macam mana?” Dia tukar topik.

Aku termenung sekejap. Menyusun jawapan yang sesuai. “Bolehlah. At least, dapat ajar ikut lesson plan sampai habis.”

“Okeylah tu.” Iqbal kemudian menyambung perbualan. Yang lebih kurang sama ceritanya. Fasal budak buat perangai masa pensyarah sedang perhatikan pengajarannya.

Tetapi, aku tak ambil pusing sangat. Bukan boleh percaya dia ni. Nama saja rakan sebaya, tetapi Iqbal sudah ada aura macam guru besar. Selalu juga aku perasan budak-budak takut dengannya. Sebab badan dia memang besar, maklumlah bekas pemain ragbi. Muka pun boleh tahan nampak garang. Suara pun kuat lagi jantan. Macam suara askar gitu. Cukup syarat untuk berketerampilan tegas!

Bukan macam aku. Muka macam budak Form 5. Suara pun semulajadi macam budak, dan terkadang macam perempuan jadian.

Tak! Jangan salah faham. Aku tak puji diri-sendiri. Aku cuma cakap benda yang betul. Ini antara sebab mengapa tak ada budak yang gerun dengan aku.

Aku sempat melihat borang milik Iqbal. Seperti yang dijangka. ‘Hak eleh. Padahal markah tinggi juga.’

Aku kemudian teliti buku rekodnya, dan membaca lesson plan.

Aktivitinya jauh lebih menarik dan hebat. Kalau ikut kriteria dari pensyarah, sudah boleh dapat markah tinggi.

Kalau hendak dibandingkan dengan pelan aku. Biasa-biasa saja.

Dan perasaan ragu-ragu tadi kembali hadir membelenggu. Namun kali ini ia kuat menghentak jantung, membuatkan nafas aku terhenti seketika. Sebelum perlahan menghadirkan rasa gelisah.

* * * * *

A discord in my heart, It won’t stop ringing, And a vacuous siren, Seems to be testing me, Truth, please respond! I’ve lost the ability to move, In this manufactured freedom: An artificial mystery.

(Ling Tosite Sigure - Who What Who What)

Kemudian, nyanyian TK bertukar gaya, meraung lantang, bersilih ganti dengan vokal Miyoko. Melodi gitar bass dan pukulan drum laju dari Pierre mengiring padu. Membuatkan aku makin tenggelam dalam fikiran. Hanya apabila lagu itu tamat, aku kembali sedar. Pemandangan yang tadi macam tak wujud di depan mata menjelma kembali. Aku sudah tiba di pintu bilik.

Eh? Sejak bila? Aku cuba ingat kembali. Aku pulang dari NU Sentral usai perjumpaan dengan geng Comichat tadi. Kemudian, aku naik LRT menuju ke Kerinchi. Enam minit kemudian, aku tiba di stesen Kerinchi. Dan, setelah itu...

. . . .

Tiba-tiba bulu roma aku meremang. Sambil itu, aku beristighfar. Dengan kalut, aku buka kunci pintu. Dan kemudian aku bergegas baring pada katil. Aku cuba tenangkan diri.

Nampaknya aku berjalan dalam keadaan sedang khayal. Aku terpaku. Hebatnya Allah lindungi aku dalam keadaan begitu. Macam mana aku lintas jalan raya tadi? Aku tak ingat. Aku cuba, tapi tak boleh. Aku jadi penat pula.

Tubuh aku rasa lemah semacam. Mungkin penat bersosial tadi. Mata terasa berat. Dan aku akur. Bolehlah terus tidur. Nasib baik sudah solat Zohor tadi.

Aku tutup mata. Tetapi dalam keadaan itu, otak aku masih aktif berfikir.

Tanpa dipinta, minda aku menayangkan babak sesi perjumpaan tadi.

Geng Comichat terdiri dari pengkarya komik. Yang rata-rata berkongsi kegilaan yang sama, iaitu gila komik. Kalau kami berjumpa, selalunya akan bersembang fasal komik. Bertukar citarasa atau cerita fasal politik industri komik tempatan. Tapi, yang ini aku tak mahu cerita lebih. Nanti lari topik.

Ada antara mereka yang sudah berkomik secara serius. Contohnya, Irfan Foner, ketua geng kami. Sehingga kini, dia sudah banyak lukis komik bersama Komik-M PTS. Tetapi, komik dia yang paling dikenali adalah Smash20. Iaitu komik sukan badminton.

Tetapi yang tak seronoknya, bila aku tanya bila hendak sambung, dia boleh pandang aku sambil ketawa ‘hehehehe’. Lepas itu, boleh selamba cakap, “aku malaslah”. Siot. Mentang-mentang sibuk usahakan syarikat sendiri.

Ada yang baru hendak debut. Contohnya, Siti Maryam, atau nama penanya, Mar. Cerita fasal dia panjang sedikit, jadi mohon bersedia.

Selalu pakai tudung berbunga dan sikap periang adalah trademark Maryam. Umurnya dua tahun lebih tua dari aku. Tapi jangan tertipu. Perangai Maryam pun boleh tahan kartun juga. Kalau sedang seronok, macam budak terlebih gula. Sampai boleh terkinja-kinja. Tapi kalau sedang serius, dengan muka sekali berkerut tegang. Sambil-sambil take note.

Dia penulis, tapi ironinya tak boleh tulis novel. Hendak tulis satu perenggan tiga ayat pun tak mampu. Sebab dia ada alternatif lain. Sebab Maryam orang visual, dia masih boleh lukis, walaupun cuma tahu lukis orang lidi. Dengan lukisan Mat Lidi, Maryam buat thumbnail. Semacam draf untuk skrip komik.

Walaupun tak boleh tulis novel, tetapi kalau baca thumbnail dia, skil penceritaan Maryam sangat hebat. Dia sangat fleksibel dalam penceritaan pelbagai genre, tetapi dia paling mahir menulis cerita dark. Yang mesti ada unsur realism, psikologi, kejam, dan juga plot twist.

Tadi aku diberitahu, Maryam baru selesai tulis thumbnail untuk komik sukan sofbol. Hasil kolaborasi dengan penulis komik best-seller. Yang sangat terkenal dengan siri komik motivasi belajar. Katanya akan dijual semasa pesta buku hujung April nanti.

Dan ada juga yang belum debut. Yang masih berusaha untuk masuk industri buku. Salah seorangnya, aku. Yang sudah pasang impian untuk jadi novelis sejak umur 15. Sekarang aku 23 tahun. Still struggling. Tetapi aku terus beritahu orang ramai yang aku penulis novel. Walaupun aku belum ada novel sendiri di pasaran.

Memikirkan hal itu...

...aku rasa ketinggalan.

Tetapi, aku belum mampu hendak mengubahnya. Lagi-lagi, aku sedang sibuk dengan komitmen untuk penuhi impian Mama dan Papa. Yang mahu aku jadi guru. Sedangkan aku tak mampu berikan komitmen sepenuhnya untuk penuhi impian aku sendiri.

Bila aku suarakan hal ini, semua orang memujuk, katanya aku boleh tulis secara sambilan. Dan aku mahu menyoal. Adakah dengan cara begitu, aku boleh jadi seperti Ramlee Awang Murshid? Atau Hilal Asyraf? J.K. Rowling? Andrea Hirata? Reki Kawahara? Sedangkan mereka menulis sepenuh masa?

Tetapi bila aku kata begitu, ada yang kata aku tak bersyukur.

. . .

Salahkah aku hendakkan yang terbaik untuk diri-sendiri?

Orang lain sedang bersungguh mengejar impian masing-masing. Tetapi, aku?

‘... Aku buat apa sekarang ini?’ Dalam mamai, aku bersuara lemah. Seketika kemudian, aku sudah terlelap.


Bab 1


Author Image

Hasif Rayyan
Terima kasih kerana membaca, mohon beri komen tentang cerita ini.

No comments:

Post a Comment

Kembali Ke Atas