Home Ads

Friday, February 17, 2017

Teman Ghaib : Rakzhan

Oleh : Hasif Rayyan


BAB 3

Kala aku buka mata, pemandangan sudah jauh berubah. Aku bukan lagi di dalam bilik. Tubuhku tidak berbaring pada katil. Tetapi, aku berbaring pada suatu permukaan yang empuk dan selesa. Aku perlahan bangkit, mengamati keadaan sekeliling.

Lembah hijau dengan hamparan rumput yang terbentang luas. Di hadapan, ada tasik dan barisan gunung batu kapur. Walaupun keadaannya gelap, tetapi aku masih boleh lihat panoramanya. Barangkali kerana adanya sinar kerlipan bintang yang bertebaran di angkasa malam.

Aku kenal tempat ini. Malah, aku sudah biasa ke sini. Tetapi kalau sudah namanya panorama alam, ia masih mampu membuat aku terpukau. Sekalipun mataku sudah terbiasa dengan pemandangan sebegini. Dari tadi, mata aku tidak berhenti merenung pemandangan di hadapan. Secara perlahan, rasa tenang hadir membelai jiwa. Sekalipun aku tahu, lembah hijau ini cuma tempat di alam mimpi.

“Yo.” Ada suara menyapa. Aku menoleh ke belakang. Aku kenal suara itu. Melihat wajahnya, aku ukirkan senyuman nipis.

Rakzhan.

“Yo.” Aku balas sapaan.

Rakzhan kemudian berjalan mendekati aku, kemudian duduk di sebelah. Namun, dia tidak berkata apa-apa. Turut sama menghayati panorama kawasan ini.

Menurut Rakzhan, nama lembah hijau ini adalah Sanctuaria. Berasal dari perkataan Inggeris, sanctuary. Tempat ini terlindung, hanya boleh dilawati kami berdua sahaja. Satu-satunya cara hendak ke sini adalah aku kena tidur dulu. Nama pun alam mimpi.

Sanctuaria. Aku tidak tahu bagaimana tempat ini wujud di dalam mimpi aku. Yang aku tahu, ini kawasan tempat tinggal Rakzhan. Namun ada kemungkinan juga Sanctuaria ini suatu hasil gambaran aku terhadap suatu perasaan.

Pemandangan indah yang memukau. Suasana yang sunyi dan membelai jiwa. Masa yang serasa berlalu lambat, atau mungkin terkadang terhenti. Penghuninya cuma aku, dan juga Rakzhan. Terasing dari orang lain. Terasing dari desakan realiti.

Gambaran sebuah ketenangan. Mungkin juga gambaran tanggapan aku terhadap syurga. Yang menjadi destinasi idaman bagi semua orang yang bergelar hamba Allah.

Laman ini juga boleh dikatakan sebagai kawasan eskapisme aku.

Seperti si introvert yang perlu berkurung seharian di rumah. Untuk mengecas tenaganya usai lama bersosial. Aku juga si introvert yang mudah lelah dengan sosial. Perbualan selama sejam pun sudah cukup membuatkan aku pening. Namun aku tahu aku perlu juga bersosial, walau mungkin bukan dengan semua orang. Jadi kalau hendak dibandingkan dengan aku yang dulu, adalah sedikit perubahannya. Alhamdulillah.

Sanctuaria ini tempat khas untuk aku. Andai aku kembali sebaik tersedar dari tidur nanti, aku akan peroleh kekuatan untuk terus menempuh dugaan dunia nyata.

Dunia yang menyesakkan jiwa.

Dunia yang tidak menenangkan.

Kalau ikut ajaran Islam, katanya dunia ini penjara bagi orang yang beriman. Syurga bagi orang kafir. Tidaklah aku hendak katakan aku ini tinggi imannya. Jauh sama sekali.

Tetapi, aku tak boleh nafikan yang dunia ini terkadang terlalu menyakitkan.

Dunia ini ibarat penjara buat mereka yang lemah jiwanya. Termasuk aku sendiri.

Walaupun keberadaan aku di Sanctuaria cuma sementara, aku bersyukur masih punya tempat untuk lari dari realiti. Terkadang berkurung di bilik seharian pun tidak membantu.

Tetapi...

Aku menghembus nafas berat. Aku tak mahu bangun. Ada kalanya aku rasa sebegitu. Dan mengenangkan itu, perasaan melankolik hadir mengetuk sanubari.

“Awal kau tidur hari ni?” Rakzhan bertanya. Barangkali sudah kekok usai lama melihat aku berdiam.

Aku mengangguk lemah. “Sekali-sekala.” Aku balas pendek.

Hari ini hari Sabtu. Hari yang sesuai untuk luangkan masa dengan diri-sendiri. Masa untuk lupakan komitmen praktikum untuk sementara waktu. Tak perlu berjaga untuk tulis lesson plan. Tapi untuk hari ini sajalah.

Kalau diikutkan, hari ini aku boleh luangkan masa untuk menulis. Tetapi sebenarnya aku sudah lama tidak menulis novel. Sudah berbulan, atau barangkali sudah hampir setahun. Entahlah. Aku sudah lupa.

Ada kemungkinan juga aku tak boleh menulis. Sedang dalam fasa writer’s block. Suatu mimpi ngeri bagi setiap penulis. Tetapi menurut seorang penulis profesional, itu cuma sindrom kemalasan. Padahal writer’s block itu puncanya stres.

Dan aku jujurnya rasa dia main cakap ikut sedap mulut saja. Seolah dia tak pernah hadapi sindrom begitu. Maklumlah, profesional.

Tetapi, aku akui juga. Aku tak boleh terlalu ikutkan perasaan. Jadi, aku usaha juga untuk cari motivasi. Itu fasal aku pergi berjumpa dengan geng Comichat tadi. Tetapi sebaliknya...

“Kau fikir pasal benda tu lagikah?” Rakzhan menyoal lagi.

Aku diam sahaja. Tetapi, cuma sejenak. Sebelum rasa bersalah hadir tak dijemput. Aku tersenyum tawar. Aku cuba cakap, walaupun nadaku lemah, “Aku memang tak boleh tipu dengan kau, kan?” Padanlah kau teman ghaib, aku tak cakap pun kau boleh faham apa yang berlaku.

“Jangan ingat hanya sebab kau penulis, kau pandai menipu, Hasif,” kata Rakzhan.

Aku ketawa kecil. “Zhan, apa kaitan aku tulis novel dengan menipu?”

“Novelis kan pandai menipu dengan cerita indah pada rupa,” Rakzhan buat suara gaya orang seni yang berlagak seniman.

“Kau cakap fasal novel Suamiku, ya?” Hoh! Kalau cerita itu, aku tak boleh sangkal kebenarannya. Memang antara contoh terbaik sebagai fantasi eskapisme yang ekstrim. Padahal anak Dato’ tak semua Mr. Perfect seperti yang dicadangkan. Kononnya kacak, bertubuh tegap lagi bergaya. Aku antara contoh anak Dato’ yang tidak tipikal.

Hahahaha!

. . . Celaka.

“Novel kau pun sama. Fantasi itu sifatnya khayalan.”

OBJECTION! Monolog aku menjerit gaya Phoenix Wright. Kau pernah tonton Harry Potter? Game of Thrones? Tahukah kau walau itu cerita fantasi, tetapi penulisannya tetap menggambarkan situasi di realiti. Ini mesti buat kenyataan sama skeptik dengan kelompok manusia yang perasan jadi katak dan tinggal di bawah tempurung.

Tahukah kau semua teknologi yang wujud di dunia nyata asalnya dari khayalan? Kalau tidak, tiadalah kapal terbang, telefon bimbit dan lain-lain. Kau fikir sains boleh maju tanpa imaginasi?

Tetapi aku diamkan sahaja. Sebab mungkin aku sudah terlalu dibawa perasaan sentap dalam debat ini. Jadi, ayuh kita kembali kepada cerita.

“Jadi, apa beza dengan kau?” Aku menyoal, saja-saja hendak menduga.

“Aku mungkin tak wujud secara fizikal, tapi aku tetap ada di depan mata kau, kan?” Aku pernah terbaca, ‘wujud’ tidak bererti harus bersifat lahiriah, tetapi cukup jika ada yang mengakui kewujudannya. Sebab itu juga orang Islam diajar dengan rukun iman.

“Jadi, kau makhluk ghaib?” Bila difikirkan semula, aku sendiri tak pasti adakah Rakzhan cuma hasil ciptaan khayalan, atau sebenarnya makhluk ghaib yang hadir untuk sesatkan aku? Sebab itu aku panggil dia ‘teman ghaib’, dan bukan teman khayalan. Aku sendiri tak tahu. Mungkin teman khayalan, tetapi dari Rakzhan juga ada rupa macam pendamping ghaib. Aku harap dia dari golongan pertama.

“Hanya Tuhan yang tahu.” Sempat dia cakap berbunga, sambil tersenyum menyeringai pada aku.

Bulu roma aku meremang tiba-tiba. “Weh! Janganlah cakap macam tu!” Aku makin tak senang duduk. Bunyinya semacam. Aku pernah terbaca dalam buku, katanya kalau ada jin yang mendampingi, tujuannya tidak baik. Hendak sesatkan manusia, katanya. Lagi-lagi kalau jin kafir. Yang katanya rupa macam binatang. Tetapi, aku lihat Rakzhan masih ada rupa manusia? Tak adalah binatang sangat!

... Ok. Mungkinlah ada rupa macam itu sedikit. Kalau aku lihat tanduk dan tangannya. Tetapi....

Nauzubillah. Janganlah.... Mohon dijauhkan.

Rakzhan tergelak besar. Tampak seronok bergurau dengan aku.

Melihat reaksinya, aku hanya mampu mencebik. Babi.

Keadaan kembali diam.

Dan ketika ini, aku menyedari sesuatu. Perasaan lemah tadi sudah tiada. Jiwa aku yang terasa berat tadi sudah rasa ringan. Seakan segala kerisauan aku sudah dibawa pergi. Mungkinkah sebab perbualan tadi? Aku memandang Rakzhan. Mata kami bertentang. Jelas sedang menunggu aku.

Tetapi, tunggu untuk apa?

. . .

Kemudian, satu idea menerjah minda. Ya Rabbi... Itu tujuan dia, rupa-rupanya. Walaupun aku rasa berat hati, tetapi aku kemudian mengalah juga.

Usai aku tarik nafas, aku bersuara, “Zhan. Kau rasa betulkah apa yang aku buat sekarang ni?”

Rakzhan diam sejenak. Matanya memandang panorama tasik di hadapan, kemudian berkata, “Aku tahu kau tak minat, tapi itu takkan halang kau dari jadi penulis. Kau masih boleh menulis sambil mengajar, kan? J.K. Rowling dan Dan Brown dulu pun macam tu juga.” Dari kata Rakzhan, aku tahu cadangannya juga sama. Menulis secara sambilan.

“Kau pun sama juga...” Aku membalas tidak berpuas hati. J.K. Rowling hanya bergelar penulis selepas dia sudah tidak mengajar. Sama juga dengan Dan Brown. Dua tahun selepas Brown berhenti jadi guru, novel Digital Fortress diterbitkan.

“Aku rasa buang masa.” Kenapa aku perlu berusaha demi tunaikan impian orang lain? Padahal impian aku sendiri terabai. Bukan hendak jadi penulis saja, ada lagi.

Antaranya, penyanyi. Dari kecil lagi, aku memang pasang impian hendak jadi penyanyi. Terkadang sebab hendak jadi popular, tetapi selalunya kerana aku sendiri yang minat dengan nyanyian. Malah, ada kalanya aku berjinak dengan penulisan lirik. Harapnya aku boleh tulis lirik yang bagus.

Aku pernah dipanggil untuk pergi ke sesi audition oleh sebuah syarikat pengurusan artis. Syarikat itu juga mengurus Najwa Latif. Tetapi aku tak pergi. Sebab Mama dan Papa tak suka. Siap buat muka lagi bila aku minta izin mereka. Sudahlah tak rela, buat aku rasa bersalah pula.

Sehingga kini, aku hanya mampu lepas gian menyanyi dengan buat ‘cover’ di YouTube dan Soundcloud. Dan ada kemungkinan aku takkan ada peluang untuk jadi penyanyi professional. Walaupun aku mahu. Kalau ibu bapa tak restu, apa yang aku boleh buat?

Pelakon suara. Juga antara impian aku gara-gara minat aku terhadap seiyuu di Jepun. Berkali-kali aku lepaskan peluang hendak ke audition. Ramai orang memujuk aku untuk pergi, termasuk para pelakon suara veteran sendiri. Mereka kata aku ada bakat.

Tetapi, aku sakit hati kerana terpaksa kecewakan mereka. Gara-gara hendak fokus dengan pengajian. Paling sentap bila aku jadi peminat Sora Amamiya. Gadis itu sama umur dengan aku. Sama-sama lahir tahun 1993. Tetapi kami jauh berbeza. Dia hidup dalam impiannya, dan aku pula...

...hanya mampu melihat orang lain capai impian mereka.

Berkali-kali, impian aku dihancurkan oleh orang lain. Sebabnya impian aku tidak realistik. Tak ada masa depan. Berkali aku digesa untuk tunduk kepada realiti. Maklumlah, orang seni tak boleh hidup di Malaysia.

Sebab itu bakat Yuna hanya dihargai sebaik dia keluar dari Malaysia. Sebab itu Zen Cho boleh terbitkan novel fantasi Sorcerer of The Crown. Hanya itu solusi untuk kami.

Tetapi aku sendiri belum boleh nampak bila aku boleh berhijrah ke luar negara. Macam mustahil. Entahlah. Lantaklah. Aku tak berharap sangat sebenarnya.

Cukuplah impian aku hendak jadi penyanyi dikuburkan sebab persepsi buruk orang ramai, termasuk golongan agamawan sendiri.

Yang tinggal cuma impian aku hendak jadi penulis. Tetapi, bila aku digesa pula untuk buang impian itu, maka aku akan kembali macam dulu. Hilang tujuan hidup.

Hidup sekadar hidup.

Yang tak ada beza dengan babi hutan. Menurut kata Buya Hamka.

Dan seperti dulu juga, perasaan hendak bunuh diri itu akan kembali mengganggu aku.

“Hasif.” Rakzhan memanggil. Aku tersentak dari lamunan. Automatik aku beralih memandang Rakzhan. Yang wajahnya sedang tegang. Ditambah dengan renungannya yang tajam, aku terpaku. Faham dengan reaksi Rakzhan. Jelas dia tidak senang dengan sikap aku tadi.

“Sorry...”

Aku menunduk, kemudian menggaru kepala dengan kasar. Ah sial la! Rasa kusut dengan diri-sendiri. Geram kerana biarkan perasaan negatif merajai aku. Suatu tabiat yang sukar aku hendak tolak ke tepi. Selalu macam ni...

“Hasif, kau bangun,” arah Rakzhan, tiba-tiba, dengan suara mendatar.

Aku terpinga sekejap. “Eh? Kenapa?” Tapi Rakzhan tak jawab. Sebaliknya mengacu kukunya yang tajam pada wajah aku. Kau tak buat, siap kau! Itu apa yang aku faham dari tindakannya. Aku mencebik. Tetapi... “Yalah! Yalah!” Aku bangkit dalam paksa.

“Kau berdiri di situ.” Aku menurut. Aku berdiri mendekati gaung, seperti yang diarahkan oleh Rakzhan. Aku lihat dia berjalan jauh ke belakang. Kemudian terhenti di situ, lebih kurang 100 meter dari aku. Tubuhnya digayakan gaya bersiaga. Matanya tajam merenung ke arah gaung.

Tiba-tiba aku rasa tak sedap hati. Ada suatu tanggapan buruk menerjah minda. “Takkanlah...”

Rakzhan pantas menerpa, berlari ke arah aku. Mata aku terbeliak. Namun belum sempat aku hendak menegah, tangan Rakzhan merangkul tubuh aku dengan kasar.

Dalam keadaan aku sedang terpinga, Rakzhan berlari ke arah gaung, kemudian melompat tinggi, naik ke udara.

“KAAAAAUUUUU BUUUUAAATTTT APAAAAAA?” Aku menjerit ketakutan.

“ADALAHHH!!” Rakzhan kemudian menghumban tubuhku dari situ ke bawah, menuju ke tasik. Walaupun sekejap, sempat aku lihat dia bagi senyum celaka.

“BAAAAAABIIIIIIIIIIII!!!!!!” Usai dengar bunyi percikan air, jeritan aku terhenti serta-merta. Tubuh aku tenggelam di dalam tasik, sebelum pandangan bertukar gelap lagi.



Bab 2


Author Image

Hasif Rayyan
Terima kasih kerana membaca, mohon beri komen tentang cerita ini.

No comments:

Post a Comment

Kembali Ke Atas