Home Ads

Friday, February 24, 2017

Teman Ghaib : Rakzhan

Oleh : Hasif Rayyan


BAB 4

Pelik. Kenapa aku ada di sini? Aku cuba mengingat semula apa yang berlaku sebelum tadi. Bukankah tadi aku lemas di dalam tasik? Kemudian, aku teringatkan sesuatu. Mataku melilau, mencari Rakzhan. Kelibatnya tidak kelihatan. Terngiang pula wajah Rakzhan, sewaktu dia melempar aku ke tasik dari udara.

Aku hentak kaki berkali-kali. Terbawa-bawa dengan rasa geram. Aku ingat lagi macam mana dia senyum pada aku. Dia bagi senyum celaka. Seronok tampaknya dapat buat aku begini. Sial!

Sambil mendengus geram, aku membetulkan kaca mata. Kemudian aku melihat persekitaran. Sekeliling aku warna putih. Kosong dan lapang tak berpenghujung.

Namun, aku yakin aku masih belum tersedar dari tidur. Pastinya aku masih di alam mimpi. Dan entah kenapa, adanya aku di sini, membuatkan aku teringatkan mimpi ngeri yang lalu. Perasaan yang sama.

“Papa risaukan Abe.” Tiba-tiba, telingaku mendengar suara Papa. Mata aku segera memandang ke hadapan.

. . .

Eh? Nafasku terhenti sejenak. Bingung dengan pemandangan yang aku lihat.

Ada meja panjang dengan lapan kerusi mengelilinginya. Namun yang sedang duduk di situ, cumalah tiga orang. Iaitu Papa, dengan Mama di sebelahnya. Dan mereka berdua duduk bertentang mata dengan seseorang di hadapan.

Dari sini, aku dapat melihat keadaan ‘dia’. Jarak antara aku dan mereka bertiga tidaklah jauh. Kalau diikutkan, Papa dan Mama boleh nampak aku berdiri di belakang mereka. Tetapi, mata mereka tertancap pada ‘dia’. Seakan tidak mengendahkan aku yang sedang berdiri tercegat di sini.

Wajah ‘dia’ menunduk ke bawah. Menyembunyikan air muka yang jelas sedang kelat. Tetapi, aku tidak perlu menatap wajahnya untuk tahu siapa dia.

Kerana sudah jelas, dia adalah...

...aku sendiri.

“Kalau Abe kerja jadi cikgu, paling kurang kerja sampai tengah hari saja. Hujung bulan dapat gaji. Cuti pun banyak. Rileks sikit. Tak stres macam kerja swasta.” Nada Papa lembut cuba memujuk aku.

Penipu.

Aku dengar gema suara bernada dingin. Tetapi, keadaan aku kini tidak sama dengan keadaaan kala mimpi ngeri dulu. Kali ini, aku tidak rasa gentar. Namun sebaliknya, aku sekadar berdiam diri. Mengakui kebenaran dari luahan suara itu.

Luahan suara hati aku sendiri.

“Dari dulu lagi Abe cakap nak jadi novelis. Patutnya, Abe dah ada duit hasil jualan novel. Tapi sekarang ni pun, Abe masih minta duit dengan Mama dan Papa. Beritahu Mama, berapa banyak duit Abe dah buat dengan tulis novel? Tak ada, kan?” Mama bernada sinis.

Khh! Suara itu mencebik berang.

Semasa Mama berkata begitu, aku dapat simpulkan satu konklusi.

Pada Mama, apa yang aku lakukan sekarang cuma suatu permainan. Yang sifatnya seumpama permainan video. Suatu bentuk pembaziran masa, harta dan tenaga. Kerana tiada pulangan.

Apa lagi yang mampu yakinkan orang selain duit?

Kalau kau tak pernah tahu macam mana susahnya menulis, kau diam!! Suara itu mengherdik kasar.

Aku tahu nadanya biadap, namun aku hanya mampu mengeluh berat.

Bila mendengar suara hati sendiri, aku rasa seperti loser.

“Nama saja mak bapak, tapi cakap macam tak kenal anak sendiri, kan?” Suara mengancam tadi bertukar tenang. Nadanya juga kedengaran lebih keanak-anakan.

Pemandangan di hadapan aku tadi sudah hilang, berganti dengan kelibat seorang remaja lelaki lengkap berpakaian seragam sekolah menengah. Baju kemeja putih, tali leher biru belang, seluar hijau dan kasut hitam. Aku kenal seragam itu. Pakaian seragam sebuah sekolah elit di Kelantan. Yang aku rasa lebih afdal jika aku tidak sebut namanya.

Dia duduk tenang pada kerusi, memandang padaku dengan senyuman lebar. Tanda sedang cuba tampak mesra dan senang didekati. Tetapi, aku tetap tidak senang melihat kemunculannya.

Masakan tidak. Yang berada di hadapan aku kini adalah bayangan masa silam aku. ‘Hasif’ sewaktu usianya 15 tahun. Umur buat pemula segala punca negativiti dalam hidup aku.

“Nak salahkan mereka pun tak guna.” Aku cuba bersuara tenang.

Tak guna salahkan Mama dan Papa. Aku sendiri yang sengaja tidak mahu beritahu mereka.

Hakikatnya, manusia hanya akan mendengar apabila apa yang mereka dengar itu menepati kemahuan mereka. Dan serasa aku, apa yang aku hendak sampaikan adalah sesuatu yang Mama dan Papa tak mahu dengar. Kerana ia tidak lebih dari sekadar alasan. Maka, aku tak perlu berterus-terang. Sia-sia.

‘Hasif’ ketawa sinis. “Hasif...” Bingkai kaca matanya dibuang ke tepi, menyerlahkan bola mata yang hitam pekat. Anak matanya putih sehalus jarum, tampak menggerunkan. Malah, kulit tubuhnya juga berubah hitam.

“...Tak baik tipu, tahu?” Dia kemudian tersenyum lebar, menunjukkan barisan gigi taring. “Aku tahu bukan itu sebab kau tak beritahu mereka.” Suaranya kini sudah berubah satanik.

Degup jantung aku kian melaju. Tubuh aku menggigil, namun aku cuba sedaya upaya untuk tidak terbawa dengan ketakutan. Aku mengepal tangan. Gigiku mengetap bibir. Kakiku terus cuba berdiri tegak, walaupun lututku sudah rasa longlai. Aku cuba buat tidak endah dengan perubahan paras rupanya.

Mataku tertancap tajam memandangnya. Ini bukan kali pertama aku bertembung dengan dia. Setiap kali aku berperang dengan diri-sendiri, dia akan muncul. Menghantui aku dengan bisikannya. Membisikkan perkara buruk kepada aku. Termasuk bisikan yang cuba mengajak aku untuk bunuh diri dulu kala.

Sang penghasut terlaknat itu berjalan mendekati aku.

Sambil itu, dia bersuara, “Kau bukan tak nak beritahu sebab mak bapak kau tak faham. Kau sendiri yang tak nak mereka rasa kau ni loser, kan?”

Aku mengetap bibir, menahan diri dari menidakkan kata-katanya. Kerana apa yang dia katakan itu hakikat sebenar.

“Ini jalan yang kau pilih. Takkanlah kau nak tunjuk kepada mak bapak kau betapa seksanya kau dalam jalan yang kau lalui sekarang ni, kan?”

Mama dan Papa tak perlu tahu semua itu.

Usaha aku dalam bidang penulisan tidak sekeras sepertimana usaha aku dalam pengajian. Sekalipun benar aku berusaha dengan semampu diri, cerita aku masih dianggap suatu hasil yang gagal.

Manuskrip tidak diterima penerbit. Berkali-kali ditolak.

Cerita aku gagal dalam pertandingan komik online. Berkali-kali juga.

Cerita aku dikecam teruk oleh para elitis yang cuma mahu aku menurut citarasa mereka. Kononnya, citarasa mereka berkelas tinggi. Tak kurang juga dengan karyawan Islamis. Kalau tak ikut cara mereka, senang-senang aku dianggap berdosa.

Aku tak mahu Mama dan Papa fikirkan apa yang aku lakukan kini adalah ‘usaha yang keras tapi sia-sia’. Lagi-lagi apabila aku sudah terlalu banyak kali gagal. Aku tak mahu berikan mereka alasan yang lebih konkrit untuk meragui impian aku.

Aku tak mahu hilang restu mereka.

. . .

...Atau mungkin sebenarnya mereka dari dulu tidak merestui impian aku.

Sebab itu aku masih gagal.

Dalam keadaan aku sedang mengelamun, makhluk itu berada di hadapan. Belum sempat aku hendak berganjak dari situ, tangannya pantas mengenggam bahuku dengan kuat. Sambil matanya tertancap tajam padaku.

“Orang kata, si anak cuma akan berjaya dengan restu ibu bapa.” Sial! Dia baca fikiran aku tadi! Dia tersenyum menyeringai. “Kan lagi senang kalau Mama dan Papa kau hilang dari hidup kau?”

Nafas aku terhenti.

Kau cakap apa ni...? Jangan cakap begitu! Mama dan Papa cuma... Mereka cuma...

“...risaukan kau?” Sekali lagi, dia baca minda aku. Dia memeluk aku. Dengan terlalu erat, mencengkam tubuhku. Cengkamannya dingin dan mengilukan, membuatkan aku semakin hilang nafas.

Sambil membelai rambutku, dia bersuara mengejek, “Alalala... Bertuah mak bapak kau ada anak macam kau. Tak kira apa mereka buat dengan kau, kau tetap cuba bersangka baik dengan mereka.... Bagusnya...” Dia membebel, kemudian meleraikan pelukan. Kini dia menatap aku. Namun wajahnya berubah rupa. Kepada sesuatu yang aku cukup kenal.

“...Tapi, betul apa?” Dia...

“Kan senang kalau mak bapak kau tak ada. Nanti dah tak ada sesiapa yang boleh halang kau lagi.” ...Lembaga hitam dari mimpi aku beberapa hari lepas. “HAHAHAHAHA!!” Dia ketawa mengilai-ngilai.

Minda aku serasa sedang direnjat spontan oleh percikan elektrik. Membuatkan otak aku terasa kejang sejenak.

Lebih baik kalau Mama dan Papa tak ada? Gila! Kenapa dia boleh cakap begitu?

Aku cuba paksa diri untuk rasional. Aku tahu jelmaan sang lembaga hitam itu cuma mainan perasaan. Tapi... Apa yang dia katakan tadi...

...

...itu...

...mungkin sama dengan apa yang aku pernah rasa.

Tiba-tiba, jantung aku berdetak kuat, membuatkan nafas aku terhenti sejenak.

...Betulkah aku pernah berfikir begitu?

...Ya Rabbi...

Tubuh aku rebah terduduk longlai. Wajahku menunduk memandang lantai putih dengan mata menjegil. Sambil nafasku tercungap-cungap. Tiba-tiba tekakku rasa loya. Tetapi tanganku pantas menutup mulut, mencengkam rahang sekuat hati, cuba menahan diri dari rasa hendak muntah yang menyerang berkali-kali.

...Sejak bila...

...aku jadi seteruk ini? Segila ini...?

...kenapa aku boleh jadi begini...

...hanya kerana aku tidak dapat apa yang aku mahu?

“Mak bapak mana nak bangga yang anak dia jadi penulis? Tak ada kelaslah kerja tu. Bukan macam cikgu. Semua orang hormat. Semua orang bangga. Hidup senang. Hujung bulan dapat gaji. Kerja kerajaan pula. Hidup terjamin sampai mampus! Takat ajar budak English, apalah yang susah sangat, kan? Boleh jadi saham akhirat lagi.”

Berhenti...

“Saham akhirat konon. Padahal mereka cuma fikirkan fasal duit. Peduli apa kalau kau sebenarnya tak boleh mengajar mereka.”

Berhenti!

“Yang penting bila kau jadi cikgu, kau boleh jaga maruah keluarga. Malulah mak bapak kau tu. Nanti orang kata apa, kan? Anak lelaki sulung, yang patut jadi kebanggaan keluarga, akhirnya jadi sampah! Susah kan ada mak bapak yang berpengaruh?” Dia terus menghasut.

“BERHENTI!!” Akhirnya, terluah juga jeritanku. Membuatkan lembaga hitam itu terkedu memandang aku.

Nafas aku masih tercungap-cungap. Mata aku terus merenung tajam pada lembaga hitam itu. Hanya seketika kemudian, aku kembali tenang. Namun rasa hendak menangis pula berganti hendak membuak. Aku segera mengetap bibir, menahan emosi.

“Oi oi oi! Nak nangis lagi? Seriuslah weh! Hahahaha!” Dia ketawa sinis.

“Kau diam....”

“Haa?” Dia tidak mendengar.

Aku mengetap gigi, kemudian menjerit lantang, “KAU DIAM!!!” Seketika kawasan ini bergema hasil pekikan suara aku.

“Apa ni? Tiba-tiba jerit. Kau dah kena sampuk, ya?” Dia masih mengejek.

Aku mengherdik dengan nada berapi. “Kau jangan salah faham. Aku tak benci Mama dan Papa. Aku cuma benci bila mereka sibuk nak tentukan hidup aku! Aku dah besarlah, for goddamn sake! Tahulah aku nak fikir nak hidup macam mana! Ingat aku bodoh tak boleh fikir sendiri ke apa?!”

Aku sekilas memandang lembaga itu. Sedang tersenyum lebar, bahagia melihat aku kusut begini. Tapi...

“Tapi... Mereka buat semua tu sebab mereka sayangkan aku.”

Dan wajahnya berubah kelat, kemudian disusuli bunyi cebik jengkel. “Kau mengarut apa ni hah sial? Mak bapak kau cuma gunakan kau untuk kepentingan mereka saja!”

“Kalau betul mereka fikir fasal duit, apa yang aku buat sekarang ni cuma satu pilihan! Aku boleh pilih benda lain kalau aku nak!”

Kenapa Mama dan Papa mahu aku jadi guru? Itu tak lebih dari sekadar hendak membantu aku. Agaknya bolehkah aku menulis dengan tenang dalam keadaan aku sedang terdesak perlukan duit?

. . .

Heheh...

Aku ketawa dalam diam.

Bila aku fikirkan semula, kenapa aku rasa aku perlu menulis sepenuh masa? Sedangkan kini, walau aku terkadang punya masa lapang yang banyak sekalipun, aku tidak gunakan seluruh waktu itu dengan menulis semata-mata.

Malah industri penulisan di Malaysia masih terlalu kecil. Tidak besar dan begitu kuat persaingannya seperti di Barat atau Jepun. Rata-rata penulis di Malaysia pun bukan jenis yang gemar bersaing. Peduli apa kalau rakan mereka lebih popular, asalkan mereka sendiri boleh membangun.

...Jadi, kenapa aku rasa aku perlu bersaing? Kenapa aku perlu berkejaran?

Untuk apa?

. . .

BODOH! Aku mengeji diri-sendiri. Sedih bila kenangkan yang aku hanya sedarkan hakikat ini sekarang. Jijik dengan ketidakmatangan diri yang berfikir dangkal.

Mama dan Papa cuma risaukan aku. Padahal mereka tidak pernah berkata yang mereka tidak merestui impian aku. Aku sendiri yang buat kesimpulan melulu! Sedangkan, sebagai anak mereka, sepatutnya aku yang lebih tahu, mereka takkan tergamak berbuat begitu.

C’mon lah Hasif! Ibu bapa mana yang tak mahu lihat anak dia bahagia?

...

Apa yang mereka mahukan adalah bukti.

Bukti yang boleh menjadi punca keyakinan mereka.

Dan aku pasti, aku belum mampu berikan bukti itu sekarang.

Apa yang aku perlu buat sekarang ini...

...aku perlu terus usahakan bukti itu.

“Kau fikir kau boleh jadi macam J.K. Rowling dengan mentaliti half-assed macam tu?” Dia mengecam dingin.

“Kenapa aku perlu jadi macam dia?” Aku Hasif Rayyan. Aku tidak perlu hendak jadi macam J.K Rowling. Biar aku sendiri yang tentukan bagaimana kejayaan aku nanti!

Penulisan yang sebenar adalah hasil luahan jiwa sendiri, bukan hasil yang disusunatur dengan niat hendak meniru jiwa orang lain. Bukan juga dengan niat hendak membodek pembaca. Masakan aku boleh menyentuh hati orang lain dengan nukilan palsu?

“Kalau aku tak menulis sepenuh masa sekalipun, itu takkan halang aku dari buat yang terbaik.” Aku menambah tegas.

Lembaga hitam itu akhirnya terdiam. Air mukanya tergamam melihat aku. Mulutnya terbuka, kemudian tertutup. Berkali-kali begitu. Tampak hendak berkata sesuatu, namun sudah kehilangan kata.

“Dah! Kau jangan kacau aku lagi! Meluat pula aku tengok kau sekarang ini!” Atau lebih tepat, aku rasa meluat melihat diri sendiri. Aku berjalan pergi, beredar tinggalkannya sendirian di situ.

Sambil berjalan, perasaan malu perlahan menebal. Gara-gara dapat saksikan sendiri bagaimana teruknya negativiti aku tadi. Ya Rabbi! Rasa macam nak bunuh diri!

Kalau nak dibuat analogi, aku boleh katakan perasaan negatif ini macam budak baru nak up! Berkata-kata dan bertindak dengan pemikiran dangkal. Minda belum terbuka, tidak memandang dunia seluasnya, tetapi berkeras juga hendak melihat dari satu perspektif sahaja.

Bloody hell stupid!

Tiba-tiba, warna putih di sekeliling aku berubah hitam dalam sekelip mata. Membuatkan jantung aku terhenti sejenak. Seketika kemudian, aku dikejutkan pula dengan kemunculan bola mata yang memenuhi seluruh ruang. Yang semuanya merenung padaku dengan tajam gaya pedang. Pemandangan yang sama seperti dalam mimpi beberapa hari lepas, tetapi masih mampu membuat aku seriau. Bezanya, perasaan seriau kali ini seakan sedang mengancam diri.

Tanpa aku sedar, tangan dan kakiku seakan direnggut sesuatu. Belum sempat aku hendak melihat, tubuhku ditarik laju ke belakang dengan paksa kemudian dihempas pada dinding dengan kuat. Sehingga timbulnya rekahan pada dinding.

“Gahkk!” Rasa sakit di belakang yang tiba-tiba mendatang memuncakkan ketakutan aku. Dalam keadaan tubuh aku sedang terbaring longlai, aku cuba bangkit namun seluruh tubuhku langsung tak boleh bergerak.

Sang lembaga hitam kemudian mengangkat tubuh aku, dan sekali lagi, aku dihempas kuat pada dinding. “AGKHHH!!” Aku menjerit kesakitan.

Sambil senyuman menyeringai, dia bersuara, “KAU NAK PERGI MANA, MANUSIA BODOH?!”

Aku cuba melawan. Aku hendak mengherdik. Namun usaha aku dihalang oleh tangannya yang erat menggenggam tekak aku.

Melihat keadaan aku yang tidak berdaya, dia ketawa mengilai-ngilai. “HEH~ NAMPAKNYA AKU DAH PANDANG RENDAH KAT KAU! PAYAHLAH MACAM NI! SIKIT LAGI AKU DAH NAK BERJAYA!” Pada hujung kata, nadanya berubah berang.

Sang lembaga hitam bertindak mencengkam tekak aku, menghimpit aliran pernafasanku. “TAPI KAU SANGAT BODOH KALAU KAU FIKIR KAU BOLEH LARI DARI AKU!” Dan kini aku melihat pada dahinya, ada dua tanduk yang perlahan muncul. Membuatkan aku terpana. Jadi, benarlah...

“SELAMA KAU HIDUP, AKU AKAN ADA UNTUK GANGGU KAU! SETIAP MASA KAU BERDUKA, AKU AKAN MUNCUL DAN HANTUI HIDUP KAU!” ...sangka aku selama ini, yang menghantui aku di hadapan ini, cuma manifestasi negativiti aku. Tetapi sebaliknya...

Tangan kanannya mengacu ke arah wajah aku. “SEHINGGA KAU TUNDUK PADA AKU!” Dia cuba menyerang.

...itu sekadar salah satu cara sang syaitan celaka untuk menghasut aku.

...

...Ah...

...Bodohnya aku... Kenapa baru sekarang aku perasankan hal ini...?

...Mama...

...Papa...

Maafkan Abe...

Dalam keadaan mata aku tertutup, aku dikejutkan dengan angin dari kiri yang laju menderu ke arah kanan. Seketika ia melintas di hadapan, dan kemudian...

AAAAHHHHH!!!

Aku dikejutkan dengan jeritan yang menahan kesakitan. Sekalipun nadanya membingit, aku tahu suara itu milik sang syaitan. Dan dalam keadaan mataku tertutup, tubuhku jatuh ke tanah. Udara yang tiba-tiba meluru masuk ke dalam tekakku, membuatkan aku terbatuk-batuk sebelum nafasku kembali tenang.

Perlahan aku buka mata, dan aku mendapati sekeliling aku sudah kembali ke sediakala. Dari warna hitam, kembali ke putih. Dan di hadapan aku kini juga, aku melihat...

“Haih! Aku ingatkan aku tak payah masuk campur!” Mendengar suaranya, aku tercengang sejenak.

“Jangan tunjuk lemah depan musuh, Hasif.” Dia kemudian menoleh memandangku, sambil menghulurkan tangan. “Kau tak apa-apa?”

...Rakzhan.

Rating :

Bab 3


Author Image

Hasif Rayyan
Terima kasih kerana membaca, mohon beri komen tentang cerita ini.

No comments:

Post a Comment

Kembali Ke Atas