Home Ads

Friday, March 10, 2017

Teman Ghaib : Rakzhan

Oleh : Hasif Rayyan


BAB 5

“Kau tak apa-apa?” Rakzhan menyoal, sambil menghulurkan tangannya padaku. Aku terpinga sejenak memandangnya, sebelum mataku membulat. Tanpa mencapai tangannya, aku bingkas bangkit sendiri. “Zhan! Apa maksud semua ni?!” Nada aku meninggi.

Kenapa aku ada di sini?

Kenapa aku ditemukan lagi dengan sang lembaga hitam itu?

Semua ini berlaku kerana Rakzhan yang puncakan segalanya. Itu aku pasti.

Tetapi untuk apa?

“Lepas ni lah. Ni bukan masanya.” Rakzhan menjawab tenang. Dia beralih mata merenung sang lembaga hitam di hadapan. Pandangan mata Rakzhan yang sedia tajam kini tampak lebih mengancam.

Lengan sang lembaga hitam yang terputus tadi perlahan menumbuh semula. “Kau lagi?!” Nadanya menggeram berang. “Berapa kali kau kena halang aku sampai kau puas, hah?!”

“Sampai kau berhenti ganggu dia.” Rakzhan tidak terkesan dengan kecamannya.

“Kau mengarut apa, hah, bodoh?! Aku sebahagian dari dia! Kau sama sekali tak boleh nafikan kewujudan aku!” Dia mengherdik lagi kepada Rakzhan. Tapi matanya turut memandang aku sekilas waktu. Dari situ aku faham, peringatan itu ditujukan sekali kepadaku.

“Ya, kau wujud. Tapi wujud kau cuma sebahagian dari dia. Dan sampai bila-bila pun, kau harus kekal begitu.” Rakzhan mengatur tubuh dalam posisi sedia, menyamai atur langkah seorang pesilat. Bersiap hendak bertarung dengan musuh di hadapan. “Jadi, aku rasa kau dah faham kenapa aku perlu buat begini, kan?” Dia menambah.

Sang lembaga hitam mencebik, kemudian mengherdik lantang, “Bangsat!!” Dalam sekelip mata, bayang yang mengelilinginya bergerak laju ke arah Rakzhan. Sebaik ia menghampiri Rakzhan, bayang itu bermaterialisasi, membentuk bilah tajam yang lebar seumpama kapak, cuba menghempas Rakzhan dari udara.

BOOM!!

Bunyi letupan kuat bergema. Dalam terpana, gegaran kuat berlaku membuatkan aku jatuh terduduk. Di hadapan, aku lihat ada asap kelabu yang berkepul tebal. Rakzhan hilang dalam pandangan, membuatkan aku khuatir akan keadaannya.

Namun perasaan itu tidak kekal lama, Rakzhan muncul semula sejenak kemudian, melompat keluar darinya. Sebaik mendarat, Rakzhan tidak berlengah. Dia terus memecut pantas menerpa pada sang lembaga hitam.

Dalam larian, sang lembaga menumbuk lantai. Garisan rekahan merebak, dan ombak bayang terkeluar memancut tinggi. Percikan air hitam di udara berubah bentuk menjadi bola besi, kemudian terbang meluru ke arah Rakzhan bertubi-tubi bagaikan peluru mesingan. Letupan yang berdentum bergema kuat menggegar kawasan ini.

Sekalipun begitu, larian Rakzhan tidak terkesan. Bahkan pantasnya berganda. Letupan bertubi-tubi di sekeliling dibuat tidak endah. Mungkin dia tahu, itu tidak lebih dari sekadar serangan membuta, sekadar cubaan melengahkan pergerakan.

Kala itu, Rakzhan tegangkan kedua belah tangannya. Dia mengacu lengan kiri, mencakar udara. Bara api kecil memercik.

Kemudian tangan kanannya dinaikkan pada dahi. Ada percikan lagi. Namun lengannya baik sahaja. Tiada tanda cedera ditembus peluru.

Dan kali ini ada empat arus peluru kelihatan. Kali ini, targetnya pada kaki dan tangan Rakzhan. Tanpa berfikir dua kali, Rakzhan melompat ke udara gaya lompatan parkour. Pada ketika itu...

!!

“ZHAN!! BELAKANG!!” Aku menjerit.

Dalam keadaan sedang somersault ke belakang, mata Rakzhan membulat terpana. Ada bola besar dengan percikan elektrik hitam sedang terbang ke arahnya. Namun refleksnya lambat. Hendak mengelak sudah mustahil!

Tanpa pilihan lain, Rakzhan memusingkan tubuh sehingga kakinya berada di bawah. Dia cuba menendang bola itu. Namun sebaik kakinya bersentuhan dengan bola...

BOOM!!

Letupan kuat berlaku, disusuli kepulan asap yang tebal. Seketika kemudian, aku lihat tubuh Rakzhan longlai menuruni udara, kemudian terhempas pada tanah. “RAKZHAN!!” Aku cuba berlari mendapatkannya, namun kaki aku terhenti kaku. Tiba-tiba, aku dikejutkan dengan deru angin dari belakang. Entah mengapa aku rasa tidak enak.

Aku segera menoleh. Dan mata aku membulat, sebaik bertentang dengan kelibat mata yang tajam dan liar memerhati aku. Namun kali ini, matanya merah menyala.

!!

Lembaga tadi!

“Kau nak pergi mana?!” Sesungut muncul keluar dengan banyaknya dari mata. Tanpa berlengah, aku menurut naluri untuk larikan diri. Namun aku terlambat.

Tangan kiri aku direnggut, kemudian tangan kanan. Aku meronta! Tapi sia-sia.

Kemudian, di kaki kiri, kaki kanan, dahi, wajah, tengkuk. Seluruh tubuh badan!

“AAAHHH!!” Dan jerutan dari sesungut itu makin kuat menarik aku ke belakang.

“HASIF!” Rakzhan cuba berdiri, namun segera jatuh terjelopok juga.

“RAKZHAN! TOLONG!!” Aku menjerit. Berkali-kali, bagai orang gila. Sehinggalah sesungutnya menutup mulut aku. “Bisinglah!” Gema suara sang lembaga hitam kedengaran. “Dah! Jangan buang masa! Sekarang kau ikut aku!!” Warna hitam muncul di belakang pada permukaan dinding. Dan tubuh aku ditarik menembusi dinding. Rontaan aku kian lemah, dan pandangan aku kian pudar.

“HASIF!!!” Jeritan Rakzhan kian sayup. Dan dalam keadaan pandangan kian menggelap, aku dapat rasakan tubuh aku jatuh ke bawah yang serasa tidak berdasar.

* * * * * *

Sekeliling aku tetap gelap pekat. Aku sangka aku belum sedar dari pengsan. Tapi mata aku sudah terbuka luas, dan ternyata warnanya masih begitu.

Kemudian mata-mata menjelma di seluruh kawasan, namun kali ini pandangannya merah. Aku terpana. Aku tahu tempat ini. Tampaknya aku kembali ke dalam kurungan sang lembaga hitam. Dan mata yang memandang aku itu pastinya...

Tap! Tap! Tap!

Bunyi tapak kaki bergema, kian kuat kala ia berjalan mendekati aku. Sangka aku, sang lembaga hitam itu akan muncul lagi. Tetapi, telingaku menangkap dua bunyi tapak yang berbeza. Satu bunyi tapak kasut kulit, dan satu lagi bunyi tapak kasut tumit tinggi. Aku menoleh, dan aku lihat ada dua kelibat manusia sedang berdiri memandang aku.

Seorang lelaki, berusia awal 50-an, berpakaian kemas dan segak, dengan kot hitam, diserikan dengan jam berjenama mahal tersarung pada tangan kanannya. Dari gayanya, jelas dari kalangan orang yang senang.

Dan sebelahnya, aku lihat seorang gadis, tampak seperti anak kepada lelaki itu. Bertudung labuh dan berbaju kurung warna indigo, diserikan dengan kot putih dan stetoskop yang tergantung pada lehernya. Tampak seperti seorang doktor. Tetapi sangkaan aku meleset. Aku melihat kad nama yang tergantung pada poket kotnya. Ada logo Palacky University, universiti terkemuka di Olomouc, Czech Republic. Pelajar jurusan perubatan rupanya.

Mereka tersenyum lembut pada aku. Namun aku tidak mampu membalas. Sebaliknya, wajahku menunduk. Sebolehnya mahu mengelak dari bertentang mata dengan mereka.

Perasaan rendah diri membuak kini. Melihat betapa berbezanya mereka, dibandingkan dengan aku. Bagai hidup di dunia yang berbeza, sekalipun mereka hakikatnya ahli keluarga aku sendiri. Papa dan Kakak. Yang sedang hidup dalam kejayaan masing-masing. Dan aku pula...

“Kau lihat mereka.” Suara sang lembaga hitam itu bergema.

“Lihat ayah kau. Kaya dan berkarisma. Orang lain cemburu dengannya, termasuk kau sendiri. Kau sekadar merasa kekayaannya. Nasib baik kau ‘anak’nya. Adalah alasan konkrit untuk merasa semua tu. Tapi, kau tak suka dengan itu. Sebab kekayaan dia bukan milik kau sepenuhnya. Itu hasil usaha dia. Bukan dari usaha kau sendiri. Tapi, kalau dah jadi cikgu, bolehlah kalau nak jadi kaya pahala. Itu pun kalau Tuhan izinkan kau untuk merasa pahala itu. Kalau dah tak ikhlas, celah mana boleh kaya, kan?”

“Dan kau lihat kakak kau. Sebab dia pandai, dia disanjungi ramai. Ibu bapa kau, saudara kau. Siapa tak bangga kenal dengan orang pandai? Okey, mungkin kau istimewa sikit. Nak bangga apa kenal dengan orang pandai, kalau yang pandai itu bukan kau, kan?”

Aku segera mendongak. Tubuh ini seakan lemah apabila dapat melihat sendiri sisi buruk jiwa sendiri. Namun aku ketap bibir kuat-kuat, cuba utuhkan diri.

Satu kelibat muncul, perlihatkan dirinya sebagai remaja lelaki berkaca mata. Lengkap berpakaian seragam sekolah menengah, namun matanya merah darah, dan giginya berbaris dengan taring yang panjang. Sang lembaga hitam. Menjadi aku versi ‘usia 15 tahun’ dan juga versi ‘sisi gelap’ aku.

“Bayangkan kau jadi macam mereka, ah, sempurnanya hidup!

Kalau kau pandai, kau akan jadi macam kakak kau. Belajar di luar negara. Jepun, mungkin? Mana tahu, balik nanti jadi engineer? Wow! Bolehlah jadi kaya macam bapa kau, kan?

Walaupun kau sebenarnya bodoh matematik. Dan sebab kau bodoh, kau perlu jadi cikgu. Orang pandai takkan pilih jadi cikgu. Kerja itu hanya layak untuk mereka yang berjiwa besar. Tapi kau ni pentingkan diri orangnya, sejak bila pula kau dianggap begitu?”

Aku mengetap bibir.

“Tapi, itulah, dalam apa jua perkara, kau BODOH. Sebab itu, kau nak jadi macam mereka, bukan?” Dia memandang aku, sambil tersenyum puas.

Aku diam. Genggam tangan aku yang sedari tadi menggigil kuat buat menahan amarah akhirnya terlerai. Aku melepaskan keluhan berat, dan bersuara lemah. “Entah. Aku tak tahulah.”

Wajahnya berubah bingung. “Hah?”

“Kalau dulu, mungkinlah. Aku nak jadi macam kakak, aku nak jadi macam Papa. Kalau tak, aku boleh terus lupakan impian aku nak jadi penulis.” Lapan tahun aku berusaha menulis, dan sampai sekarang hasilnya tiada. Tipulah kalau aku cakap aku tak rasa aku buang masa. Tetapi...

“Tapi, aku tetap nak jadi penulis. Aku sendiri yang pilih jalan ni, mana boleh aku lupakan begitu saja. Aku nak terus percaya yang usaha aku bakal berbaloi suatu hari nanti.”

Aku berhenti sejenak, kemudian tersenyum tawar. “Betullah apa yang kau cakap. Aku bodoh. Bodoh sebab harapkan sesuatu yang tak pasti. Dan juga bodoh sebab... Aku boleh fikir nak jadi macam mereka.”

Mata ‘Hasif’ membuntang.

“Fikirlah. Mustahil aku boleh jadi macam mereka. Patutnya aku sedar perkara tu dari dulu lagi. Sedangkan aku dan mereka dah jelas jauh berbeza?”

Kali ini, mata aku merenung tajam padanya. Dan entah kenapa, wajah ‘Hasif’ berubah sedikit tegang, seakan kurang senang dengan perubahan aku kini. “Aku tak perlu jadi macam mereka untuk dianggap berjaya.”

“Diam...” Aku dapat dengar suara ‘Hasif’ yang lemah cuba menghalang aku dari terus berbicara.

Tapi aku buat tidak endah. Aku berjalan mendekatinya. “Aku takkan jadi macam Kakak dan Papa.”

Aku pasti, Papa dan Kakak juga berusaha keras. Siapa tahu, mungkin usaha mereka lebih gigih dari aku. Semata-mata untuk menjadi apa yang mereka jadi sekarang.

Papa dengan perniagaannya. Malah dalam masa yang sama bergelar sebagai ayah dan ketua keluarga. Semakin tua usianya, semakin banyak tanggungjawabnya. Malah dengan hasil perniagaannya, Papa bantu ramai orang. Keluarganya, rakannya, dan orang lain. Aku tahu bunyinya mengagumkan, tetapi aku tak dapat bayangkan betapa beratnya tanggungjawab yang Papa perlu pikul. Betapa Papa perlu terus utamakan orang lain dari kemahuannya sendiri. Aku tak mampu bayangkan.

Kakak dengan impiannya untuk jadi doktor. Dari kecil, kakak seorang yang rajin berusaha. Kakak takkan fikir dua kali untuk korbankan apa yang dia patut demi impiannya. Sebab itu, dia sanggup ke sekolah berasrama, walaupun dia dahulu seorang yang tak boleh berenggang dengan Mama dan Papa. Sebab itu, dia sanggup berjauhan sekali lagi dengan keluarga, hidup merantau di Czech Republic bertahun-tahun. Hanya untuk pastikan supaya impiannya untuk menjadi doktor tercapai.

Memikirkan semua itu, aku rasa malu. Memkirkan diri yang masih terus menyalahkan orang lain atas ketidakmampuan aku sendiri. Sedangkan aku sendiri patut tahu. Bukan senang hendak berjaya. Sampai ke mati harus berusaha untuk dapatkan kejayaan. Itu adalah hakikat dunia ini.

Dan aku pasti, aku hanya berkata begitu kerana aku lihat luaran semata-mata, tanpa memahami dan mengetahui keadaan mereka sebenar di belakang tabir. Sedangkan mereka terus yakin, dengan harapan suatu hari nanti apa yang mereka dambakan akan jadi kenyataan.

“Diam!” Jeritannya makin lantang.

“Apa yang aku perlukan bukan kejayaan mereka.” Kerana apa yang aku dambakan tidak sama dengan mereka.

“DIAM!”

“Apa yang aku perlukan adalah...”

“Keyakinan untuk percaya yang aku bakal dapat apa yang aku usahakan suatu hari nanti.” Kerana antara syarat untuk berjaya adalah buang segala keraguan yang ada dan terus melangkah ke depan.

AAAAAHHHHHH!!! ‘Hasif’ menjerit gila.

PRANG!!

Dalam sekelip mata, dinding hitam di sekeliling aku pecah berderai bagaikan kaca, mengembalikan semula warna putih. Hampir gugur jantung aku mendengar bunyi yang membingit tiba-tiba. Dalam keadaan mata aku terpana mengamati perubahan sekeliling...

“HASIF!” Kedengaran suara Rakzhan lantang memanggil aku.

Aku mendongak, melihat dia meluncur, menuruni udara. Dalam keadaan begitu, tangannya siap mengacu pada ‘Hasif’. Pada tangan, ada bulatan kelabu diselangi percikan elektrik putih dan hitam. Bagaikan plasma, angin di sekeliling disedut ke dalam dan dimampatkan dengan laju, membentuk bulatan yang kian membesar.

Mata ‘Hasif’ membuntang, tergamam dengan kemunculan Rakzhan. Tubuhnya kaku, sedangkan aku pasti dia boleh lari dengan mudah. Wajahnya tegang, meriakkan ketakutan, menatap bola plasma itu. Apabila dia bertentang mata dengan Rakzhan, aku sudah mula nampak kesukaran dia melawan perasaan ketakutan itu.

“Jangan...” Aku dengar suara ‘Hasif’ menegah lemah.

Rakzhan menembak bola plasma, kemudian beralih arah mendekati aku. Tanpa sebarang isyarat, Rakzhan menyambar tubuhku dan seterusnya berlari berundur jauh ke belakang, seperti hendak menjauhi dari sesuatu.

“JANGAN!!!” Sekali lagi, jeritan ‘Hasif’ kedengaran, sebelum disusuli..

BOOM!

...letupan kuat yang tercetus. Dalam keadaan tubuh aku dalam rangkulan Rakzhan, aku melihat tubuh ‘Hasif’ melayang ke arah kami. Perlahan parasnya kembali semula ke bentuk lembaga hitam. Dengan keadaan tubuhnya yang sudah separuh hancur berderai. Seketika kemudian, dia terdampar longlai pada tanah dan kaku di situ.

“Kau tak apa-apa?” Rakzhan menyoal cemas, sambil mengambil nafas.

Aku tercengang. Dalam keadaan aku sedang bingung, fikiran aku menerawang.

Bukankah dia yang bawa aku ke sini? Aku jangka dia cuba bantu aku untuk berdepan dengan manifestasi negativiti aku sendiri, dan seterusnya bantu aku untuk bangkit semula. Kenapa pula muka Rakzhan sekarang jelas sedang panik?

. . . Takkanlah dia sendiri tidak jangka perkara ini bakal berlaku...? Seriuslah....

“Kau okey ke tak ni?!” Suara Rakzhan meninggi, mendesak aku menjawab.

“Ahh.. Errr... Ya... Aku okey.” Aku menjawab, teragak-agak.

. . .

“Hasif?” Aku perlahan bangkit berdiri, kemudian berjalan mendekatinya.

Rakzhan menyentuh bahuku, cuba menghalang. “Hasif! Kau buat apa ni?!”

“Sorry, Zhan.” Aku tepis tangannya, beredar dari situ. Sekilas aku mengerling ke belakang, dan aku lihat wajah Rakzhan sedang terpinga-pinga. Tetapi, kali ini dia tidak menghalang, sebaliknya, dia turut mengekori aku dari belakang.

Mata aku masih tertancap memandang sang lembaga hitam di situ. Dan aku lihat, tubuhnya beransur pecah menjadi abu, menghilang ke udara.

Aku kini tiba di hadapan sang lembaga hitam. Matanya masih tertutup, dan nafasnya kian lemah. Mataku tertancap pada tubuhnya, yang beransur pecah menjadi abu, tanda sedang menghilang.

“Kau nak apa lagi...?” Sang lembaga hitam bersuara lemah. Matanya terbuka perit, memandang aku dengan tidak berdaya.

“Alang-alang aku dah macam ni, kau bunuh aku sajalah. Aku dah tak mampu halang kebodohan kau.” Nadanya berubah menyedihkan.

“Kau tak payah cakap pun tak apa.” Rakzhan mencelah, bersiap mengacu tangannya.

“Zhan! Nanti!” Aku cepat-cepat menegah. Kemudian, mataku kembali merenung sang lembaga hitam.

. . .

! ! !

Aku tahu pasti Rakzhan sedang persoalkan rasional di sebalik tindakan aku sekarang ini. Aku sendiri tak tahu apa yang merasuk aku untuk mendakap sang lembaga hitam. Malah, dengan erat pula. Pasti dia sendiri sedang tertanya.

“Kau buat apa ni...?” Sang lembaga hitam menyoal, turut bingung.

“Terima kasih,” ucapku.

“Hah...?”

“Terima kasih...” Aku hanya mampu berkata begitu dalam keadaan aku sedang tersendu. Perasaan bersalah tadi berganti dengan perasaan sebak. Tanpa aku sedari, air mata aku luluh laju. Setitik demi setitik, ia membasahi permukaan lantai.

“Kalau kau nak tahu, sebab kau wujudlah, aku dah jumpa apa yang aku mahu. Walaupun sampai sekarang impian aku tak tercapai.”

Jikalau aku tak pernah mengalami depresi, jikalau sang lembaga hitam tak pernah wujud dan bermanifestasi, aku pasti takkan berubah sekarang. Aku takkan menjadi seorang yang punya impian.

Tetapi, itu lebih baik dari tiada apa-apa. Aku tak dapat bayangkan bagaimana aku boleh hidup dalam keadaan aku tidak bermatlamat. Walaupun impian ini hakikatnya lebih banyak perit dari indahnya. Tetapi, ia tetap jadi punca hidup aku kini berwarna dan berseri, dan tidak monoton dan kusam seperti dulu.

“Kau cakap apa ni...? Aku tak faham...” Sang lembaga hitam masih terpinga-pinga.

“Kau ingat tak, apa yang kau pernah cakap kepada aku sebelum ni...?” Aku menyoal dia.

“SELAMA KAU HIDUP, AKU AKAN ADA UNTUK GANGGU KAU! SETIAP MASA KAU BERDUKA, AKU AKAN MUNCUL DAN HANTUI HIDUP KAU!

Saat ini, fikiran menerjah minda, membuatkan aku tertanya mengenai...

...mengapa sang lembaga hitam wujud.

...mengapa dia berkata begitu.

Itu semua semata-mata...

Mata sang lembaga hitam membuntang terpana. “Terima kasih... Sebab sudi temani aku masa aku bersedih...” Walau dia hakikatnya manifestasi negativiti. Yang orang akan sering ibaratkannya sebagai racun jiwa manusia. Kerana dia akan mempersalahkan orang lain, yang menjadi punca mengapa aku pernah hancur dahulunya. Dan dengan itu, dia menyemai kebencian dalam jiwa aku.

Tetapi, hakikatnya, dengan kebencian yang dia semaikan, itu yang memunculkan kemahuan aku. Kemahuan untuk mempunyai sesuatu, sebagai alasan untuk kembali bangkit dari terus dibelenggu negativiti.

Dari dia, aku jumpa semua itu.

Dari dia, aku jumpa apa yang aku mahu.

Dan dari dia...

...aku dipertemukan dengan Rakzhan.

“Terima kasih... Sebab jadi punca untuk aku terus berubah...”

Mulutnya menggigil, tak mampu berkata. Tetapi, aku dapat dengar nadanya turut tersendu-sendu. Pelukan aku makin erat, namun hakikatnya ia kian melerai apabila tubuhnya hampir menghilang sepenuhnya. Kini yang tinggal hanya paras dada.

Kami bertentang mata sejenak. Wajahnya sudah berubah, kembali menyerupai wajah aku di usia 15 tahun. Matanya tidak lagi liar, gigi taringnya sudah tiada, kembali tampak seperti manusia biasa. “Jadi, kau terima aku...?” Nada sataniknya hilang, berganti dengan suara yang agak tenor.

Aku mengangguk. “Kau sebahagian dari aku. Aku yang sebenarnya. Kau juga yang cakap, kau akan muncul tiap kali aku bersedih. Dan aku harap, kau terus buat apa yang patut, ya?” Kerana dengan adanya kau sebagai kegelapan, aku takkan lupa untuk terus berusaha mengejar cahaya.

Kala itu, aku dapat melihat sekilas, bibirnya mengukir senyuman lega. Sebelum tubuhnya jadi abu sepenuhnya, kemudian menghilang di udara.

“Terima kasih...” ucapku kala aku mendongak. “Jumpa lagi...”

Rating :

Bab 4


Author Image

Hasif Rayyan
Terima kasih kerana membaca, mohon beri komen tentang cerita ini.

No comments:

Post a Comment

Kembali Ke Atas