Home Ads

Sunday, October 2, 2016

Teman Ghaib : Rakzhan

Oleh : Hasif Rayyan


BAB 1

Perlahan aku buka mata. Pandangan lantai simen kelabu menjelma. Aku dongakkan kepala dari meja, memandang papan putih di hadapan. Aku kemudian menggaru kepala sambil menguap. “Aku tidur ke tadi?” Aku bangkit berdiri.

Aku mengamati sekeliling. Kemudian, aku sedari sesuatu. Tempat ini...

Aku memandang ke kanan, ke arah muka pintu. Pada atasnya, ada label biru yang tergantung. Dengan sesuatu tertulis padanya...

3 Yakin.

Mata aku membulat. “Jadi betullah...”Aku sekarang di sekolah lama.

Aku merenung persekitaran di luar. Ada padang kecil. Terletak di tengah antara bangunan berkembar. Aku di blok koridor timur. Di hadapan aku, blok koridor barat. Di situ terletak bilik guru. Dari situ, boleh nampak kelas kami. Hendak buat bising di dalam kelas barangkali bukanlah satu idea yang bagus. Nanti ada guru yang jerkah dari situ. Dan kalau dia lapor kepada guru kelas kami, alamat kena bebellah nanti.

Mengenangkan hal itu, aku tersenyum sendiri. Kala ini, perasaan nostalgik sedang membuak-buak.

Seronok kalau dapat tawaf satu sekolah ini. Fikir aku. Kemudian, kakiku berjalan keluar dari kelas.

Tetapi, langkah aku terhenti. Ada bunyi sendu. Seperti sedang menangis. Yang datangnya dari belakang.

Perasaan ingin tahu membuatkan aku menoleh. Ke arah sudut tepi kanan di belakang kelas.

Meremang bulu roma aku. Padahal tadi aku pasti dalam kelas ini memang tiada sesiapa selain aku. Dan bila aku fikir balik. Sekolah ini terlalu senyap. Aku tidak lihat ada tanda kelibat para guru atau pelajar lain dari luar kelas. Tetapi, aku cuba buat tidak peduli.

Aku kembali fokus kepada suara itu.

Ada seseorang yang duduk memeluk lututnya di situ. Pelajar lelaki. Seiring tangisan yang tersendu-sendu, badannya menggigil. Dari sini, aku tak boleh nampak wajahnya. Terselindung oleh tangan yang menutup kedua belah telinganya.

Aku mendekati dia. Kemudian, mataku memandang tag nama oren yang bersulam di atas poket baju sekolahnya. HASIF. Nama itu tertera. Mata aku membulat terpana. Takkanlah...

“Pergi... Jangan kacau aku...” Dia menggumam sendirian. Berkali-kali. Bagai sedang dirasuk. Di sebalik bingkai kaca mata, ada linangan air mata yang terus mengalir.

Melihat keadaan wajahnya, jantung aku berdetak kuat. Cukup membuatkan aku jatuh terduduk. Kemudian, terbatuk. Berkali-kali. Sampai sakit tekak aku. Terlalu terkesan dengan keadaan 'Hasif' di hadapan. Diri aku yang lama.

Dalam keadaan begitu, persekitaran aku berubah serta-merta. Pemandangan bilik darjah lenyap, berganti dengan latar belakang yang hitam legam. Kemudian, aku dikejutkan dengan kemunculan mata-mata yang memenuhi latar. Yang kesemuanya merenung tajam ke arah kami.

“JANGAN! JANGAN PANDANG AKU!!” ‘Hasif’ di hadapanku menjerit, menutup matanya rapat-rapat.

Namun keadaan tidak berubah.

“Kau tengok dia. Sikit-sikit menangis.” Suara seseorang kedengaran.

“Tak padan dengan lelaki! Pondan!” Berganti pula suara lain.

“Belajar tak pandai. Sukan pun teruk. Manusia macam ini pun ada. SAMPAH!” Kali ini, suara remaja lelaki kedengaran. Digantikan dengan bunyi tawa beramai-ramai.

“DIAM!” ‘Hasif’ menjerit lagi.

“Kesian mak bapak dia, dapat anak macam ni...”

“DIAM! DIAM! DIAM! DIAM! DIAM! DIAM! DIAM!” Kali ini, skala histerianya memuncak. Nafas aku terhenti. Menyaksikan gilanya yang tak terkawal.

Aku menyentuh bahu dia, kemudian digoyangkan kuat berkali-kali. Cuba menyedarkan dia. “Hasif! Tenang! Jangan dengar kata mereka!”

Tiba-tiba, ‘Hasif’ terdiam. Agak lama dia begitu. Membuatkan aku terpinga sejenak. “Hasif...?” Aku cuba panggil dia.

Hehehe... Bibirnya mengukir senyuman.

Eh?

HAHAHAHAHAHAHAHAHA!

Aku dikejutkan dengan tawa ‘Hasif’ yang mengilai. Tetapi, suaranya aneh. Menggetarkan aku. Nada tinggi dan rendah bergabung. Berputar-belit. Distorted. Bagai bunyi tawa sang syaitan. Makin lama, makin lantang memekak. Memaksa aku untuk menutup telinga dan mata.
. . .

Keadaan diam seketika. Ketika aku buka mata semula, ‘Hasif’ sudah tiada lagi di hadapan aku. Malah, mata-mata yang mengelilingi latar belakang sudah tiada. Tetapi, sekeliling aku masih diselubungi warna hitam.

Tap! Tap! Tap!

Aku dengar bunyi kaki berjalan. Dari belakang. Aku menoleh. Dan mata aku membulat.

Ada lembaga hitam. Ia datang mendekati aku.

Aku cuba menjerit, namun suara aku tak keluar. Aku cuba bangkit. Namun badan aku lumpuh.

Sebaik dia tiba di hadapan, wajahnya memunculkan barisan gigi yang tersenyum menyeringai. Diiringi jelmaan pelbagai bentuk mata yang menyelubungi seluruh badan.

Mata aku menggigil. Saat ini, nafas aku turun naik. Tercungap-cungap. Jantung aku berdegup kencang, bagai mahu tercabut. Ya Allah... Aku takut... Aku hanya mampu merintih dalam monolog.

Bagai seronok melihat aku, lembaga itu mendekatkan wajahnya. Menunjukkan matanya yang tajam memandang aku dengan gaya pedang. “KAU BAGITAU AKU... APA TUHAN KAU FIKIRKAN MASA DIA CIPTAKAN KAU?” Dia bertanya sambil tersenyum menyeringai.

Kemudian menyambung lagi, “KAU DAH DENGAR KAN? DENGAR KAN MACAM MANA SEMUA ORANG HENTAM KAU?”

Aku tak dengar! Aku tak dengar! Aku cuba nafikan.

Lembaga itu kemudian memeluk tubuhku dengan erat, kemudian menghalakan mulutnya ke telinga aku, membisikkan, “ENTAH-ENTAH... MEMANG TU AGAKNYA TUJUAN KAU DILAHIRKAN?”

!!!!

AAAAAAAAAA!!!!!!

HAHAHAHAHAHAHAHAHAHAHAHAHA!!

Tawa si lembaga itu makin menggila. Seronok melihat keadaan aku yang sedang seksa didera mental.

Seketika kemudian, jeritan aku sudah hilang tenaga. Tubuhku longlai terbaring. Nafas aku makin lemah. Seakan sedang nazak. Tetapi, si lembaga itu belum puas lagi menyeksa aku tampaknya.

Dia tarik rambut aku, menghalakan wajah aku kepadanya. Dan terus menghasut, “MANUSIA. MINTA DENGAN TUHAN KAU! TARIK NYAWA KAU. LAGI MUDAH MATI DARI TERUS HIDUP JADI BAHAN MAINAN DIA! SEBAB TUHAN KAU SADIS! DALAM KEADAAN KAU TERSEKSA BEGINI PUN, TUHAN KAU SENGAJA BUAT-BUAT TAK NAMPAK!”

“EH? AHAHAHAHAHA!! APA PULAK?’ Dia ketawa sendiri.

“BUAT APA MINTA DENGAN TUHAN! TAKKAN DIA NAK TUNAIKAN PERMINTAAN BAHAN MAINAN DIA! BAIKLAH KAU PERGI BUNUH DIRI! SENANG CERITA! TEMAN AKU DI NERAKA! LAGI SERONOK DISEKSA SETAN DARI TUHAN, KAU TAHU?!” Bicaranya mula kedengaran karut. Tapi..
. . .
Mungkin...

Mungkin...

Bunuh diri itu yang terbaik.

Aku dah tak tahan.

Mama dan Papa cuma akan kecewa dan terus menahan rasa malu sebab punya anak macam aku.

Aku tak punya apa-apa yang aku boleh banggakan. Nak hidup bahagia dalam dunia ini, sama ada perlu pandai, atletik atau berduit.

Ibu bapa mana yang tak gembira? Bila anaknya bijak pandai. Straight As. Belajar tinggi-tinggi. Belajar di oversea. Dapat Dekan pula.

Main sukan hingga jadi wakil negara. Tambah pula dengan pakej populariti.

Kaya-raya dengan bisnes berjaya. Pergi merantau seantero dunia. Ada syarikat besar. Rumah besar. Kereta besar.

Tapi, aku tak punya salah satu ciri itu, apatah lagi semuanya.

Aku bukan macam Kakak. Sekarang belajar jadi doktor. Di Czech pula. Semua orang bangga dengan dia. Aku dari dulu, hanya mampu perhatikan dia dihujani pujian orang ramai. Sambil simpan rasa cemburu.

Aku bukan macam Kak Chik. Ataupun Nana. Banding dengan aku, mereka jauh lebih berdikari. Lagi-lagi Nana, pandai pula buat bisnes biskut. Padahal baru lepas SPM.

Aku bukan macam Hanif. Pandai bersosial. Berani pula. Tuhan saja tahu berapa kali aku cemburu dengan budak ni.

Padahal mereka adik aku. Aku pula abang mereka. Tapi, aku sendiri pun tak ada sifat seorang abang. Dan aku tahu, mereka tak nampak yang aku ini abang yang boleh dibanggakan.

Jadi... Apa lagi alasan aku nak terus hidup?

Tapi... Aku tak nak bunuh diri. Aku takut.

Air mata aku mengalir. Menadakan tangisan sebak.

“AHAHAHA!! MENANGIS LAGI!” Dia ketawa.

Tapi aku tak peduli. “Ya Allah... Tolong aku...” Bantulah aku keluar dari kegilaan ini.

Aku tak kisah... Apa jua cara sekalipun.
Tolonglah...

Asalkan aku dah tak perlu menanggung seksa ini.

Perit, Ya Allah...

“Hasif...”

Tiba-tiba, ada suara asing yang memanggil aku. Tanpa aku sedar, pandanganku kian kabur dan gelap. Tetapi, aneh, kali ini, jiwa aku seakan sedang dipeluk ketenangan.

* * * * 
Mata aku terbuka luas. Dalam sekelip mata. Kini, pemandangan sekelilingku sudah berubah. Bukan lagi di sekolah lama. Bukan lagi di dalam kurungan hitam tadi. Kini, yang aku nampak adalah warna putih siling. Kipas angin sedang ligat berpusing dengan kelajuan nombor 5.

Mimpi...?

Aku bangkit lemah dari katil. Baru aku teringat. Aku terlelap rupa-rupanya, usai solat Isyak tadi. Mungkin penat gara-gara praktikum siang tadi. Aku bergerak ke meja dalam gelap, mencari telefon pintar. Pukul 11 malam. Dan tarikhnya... Tahun 2016.

Masih dalam gelap, aku berjalan ke kanan, menuju ke muka pintu. Setiba di situ, aku memetik suis lampu. Seketika kemudian, bilik itu diterangi cahaya putih.

Aku berdiri di situ seketika. Mengenang perihal tadi. Aku tarik nafas lega. Syukur itu cuma mainan tidur.

“Kau okey?” Tiba-tiba ada suara menegur dari belakang. Suara pemuda. Yang kalau diteliti, sama dengan suara Yoshimasa Hosoya.

Hmm? Siapa dia? Ah. Pelakon suara kegemaran aku dari Jepun. Cuma kalau Hosoyan cakap Melayu, mesti ada bunyi pelat bahasa Jepun. Bezanya aku tak dengar pelat itu dari suaranya. Lancar sahaja.

Aku menoleh. Kemudian sekadar mengangguk, sambil tersenyum nipis. “Aku okey. Terima kasih ya, tolong aku tadi.” Aku perhati parasnya.

Telinganya capang dan meruncing ke tepi. Matanya tajam dan halus, macam mata binatang liar. Di dahi, ada dua tanduk. Rambut dia... Hmm... Aku tak tahulah hendak terangkan macam mana. Tetapi, yang penting, ada gaya. Lebih kurang stail rambut model Gatsby. Ada barisan gigi taring, dan rahangnya terdedah tak berkulit. Nampak putih warna tulang.

Fizikalnya tegap atletik, walaupun taklah sebesar ahli bina badan. Besar-besar pun nak buat apa, kan? Pergelangan tangan dan kaki bersisik hitam, dan tangan dan kakinya berbilah tajam dan panjang. Cukup syarat hendak buat senjata.

Pendek kata, bukan manusia. Tetapi makhluk ghaib.

“Lama renung aku, apahal?” Alamak. Dia perasankah?

Aku menggeleng cepat. “Tak ada apa-apa. Aku penat agaknya.” Aku balas lemah.

Kalau orang boleh lihat dia, mungkin akan diberi tiga nama.

Satu, syaitan. Sebab memang wajah dia menggerunkan macam rupa syaitan tipikal dalam filem. Tetapi, masih ada rupa manusia pada wajahnya. Ada nampak macam pemuda pertengahan 20-an. Kacak lagi. Tapi, mungkin sebab aku sendiri yang berpendapat makhluk berwajah menggerunkan ini cool. Tak tahulah. Pengaruh anime punya fasal.

Dua, hantu. Sebab jasad dia cuma wujud secara spiritual. Dalam kata lain, ghaib. Memang cuma aku saja boleh lihat dia. Orang lain tak boleh. Dan aku tak rasa orang lain mahu melihat dia.

Tiga, raksasa. Sebab tubuhnya dua kali ganda besar dari aku. Tinggi aku lebih kurang ketinggian purata lelaki Malaysia. 164 cm. Kalau tinggi dia? Darab dua. Aku cecah pinggang dia saja.

Tapi, kalau orang tak boleh nampak, peduli apa, kan? Pada aku, dia sahabat. Sudah hampir 8 tahun kami berkenalan. Aku senang berkawan dengan dia. Walaupun kewujudannya tak nyata. Meskipun, dia cuma teman ghaib.

Kalau menurut istilah psikologi, dia ini boleh dikategorikan sebagai rakan imaginasi. Imaginary friend. Menurut apa yang aku baca, ia merujuk kepada fenomena psikologikal dan juga sosial di mana suatu hubungan persahabatan itu bersifat imaginasi, dan bukannya nyata. Aku tahu dia tidak nyata, sekalipun dia tampak macam nyata. Tetapi...

. . .

Entahlah. Aku sendiri tak tahu hendak kata macam mana.

Tetapi, apa yang aku tahu, dia hadir pada saat depresi aku di kemuncak skala. Sewaktu usia aku 15 tahun. Pada waktu aku dalam keadaan yang sama seperti dari mimpi itu.

Bila dia muncul, aku ditanya, “Nak aku jadi kawan kau?” Entah bagaimana, aku pada waktu itu tak peduli sama ada dia benar-benar wujud atau tidak. Peduli apa semua itu. Janji ada yang boleh buat peneman di sisi. Aku tak boleh harapkan orang lain. Atau aku sendiri yang akan disakiti.

“Betul kau okey?” Dia bertanya lagi.

Aku ketawa kecil. “Rakzhan, aku okeylah. Serius.”

“Aku ingat kau dah tak fikir fasal tu?” Kali ini, nadanya dingin. Tapi aku tahu dia cuma cuba hendak ambil berat.

“Alah, kau jangan risau sangat. Kau pun faham-fahamlah, kalau dah namanya mengajar budak, kau tahulah penatnya macam mana, kan?” Aku cuba tenangkan Rakzhan. Tak padan dengan muka yang mengerikan, tapi Tuhan sajalah yang tahu baiknya macam mana. Macam abang yang sedang risaukan adiknya. Mungkinlah. Aku tak tahu. Aku pun tak ada abang.

Oh ya. Aku seorang guru pelatih. Jurusan perguruan Bahasa Inggeris sekolah rendah. Tahun ini sudah tahun keempat pengajian aku. Dan sekarang ini, aku sedang menjalani praktikum sesi kedua. Yang boleh disimpulkan dalam satu patah perkataan.

Lelah.

“Hasif. Kau tak payah tipu dengan aku.” Kali ini, nadanya serius. Jelas tak main-main.

. . .

Aku cuma mampu senyum janggal. Fikiran aku ligat mencari sesuatu yang boleh mengalih perhatian. Dalam keadaan itu, mata aku melilau ke sekeliling bilik. Sehinggalah mata aku tertancap pada buku rekod pengajaran di atas meja. Haa! Itu dia!

“Zhan...” Kali ini, aku gunakan nama panggilan Rakzhan. “...Nantilah aku cerita, ya. Err... Aku kena buat lesson plan.”

Wajah Rakzhan berkerut seketika, sebelum aku lihat dia menghembus nafas berat. “Lantak kaulah...” Dia mengalah.

Aku menarik nafas lega. “Sorry. Esok aku ada...” Dan ketika itu, aku teringatkan sesuatu.

“Kenapa?” Rakzhan tanya.

Aku menggelabah sekejap. “Oh tak. Err...” Aku cuba tenangkan diri. “Esok aku ada observation. Malam ni, aku tidur lambatlah. Kalau boleh... Aku nak tidur dengan tenang malam ni. So...”

Rakzhan terus mengangguk. “Okey. Aku takkan kacau kau.”

Oleh kerana Rakzhan ini makhluk ghaib, jadi aku boleh berjumpa dengan dia sama ada di dunia nyata, atau di dalam mimpi. Memang dari dulu, selain di dunia nyata, kami sambung luangkan masa bersama-sama di alam mimpi. Dan kalau masuk alam itu, ada sajalah idea Rakzhan hendak gembirakan aku. Wow. Gembirakan. BFF sangat!

“Kau pun sibuk, kan? Tak apalah. Aku sendiri tengah penat sebenarnya.” Aik? Semacam saja bunyinya?

. . .

Alamak. Takkanlah... “Zhan... Kau merajuk?” Ah! Gasaklah! Janji aku tanya!

“Kau mengarut apa ni?” Nada suaranya berubah bengang. Tapi aku masih tak yakin. Seakan memahami perasaan aku, Rakzhan menarik nafas dan menyambung, “Betullah. Aku penat. Aku banyak gunakan tenaga aku tadi nak bangunkan kau dari mimpi tu.”

Penat?
. . .

“Okey lah. Aku pergi dulu.”

“Zhan, nanti dulu!” Aku sempat menghalang.

“Apa dia?”
. . .

“Maaf... sebab susahkan kau.” Seingat aku, Rakzhan tak pernah beritahu yang dia penat. Ini baru pertama kali aku dengar dia berterus-terang. Dan itu buatkan aku rasa bersalah.

Rakzhan terdiam seketika sebelum melemparkan senyuman kecil. “Kau memang dari dulu tak berubah, kan?”

“Eh?” Kening aku terangkat sebelah.

“Kau tak rasakah ada ucapan lain yang lebih sesuai? Kita dah lama jadi kawan, kau tahu? Sampai bila kau nak terus macam tu?”

. . .

Aku membalas senyuman lembut. “Terima kasih, ya.”

Kalau hendak berterima kasih, jangan kata maaf - Yao Xiao. Aku teringatkan pesanan ini. Dan juga artikel dari Jessie Liu. Yang katanya, meminta maaf secara berlebihan akan sebabkan orang lain bertanggapan negatif terhadap kita.

Wow. Rakzhan. Senyuman aku melebar. Rasa kagum pula.

Rakzhan tersenyum puas hati. “Macam tu lah.” Seketika kemudian, tubuh Rakzhan menghilang dari pandangan aku. “Good luck untuk esok.” Sempat lagi dia tinggalkan pesanan.

Aku mendekati meja. Usai buka aplikasi Kingsoft Office di dalam komputer riba, aku memulakan kerja. Lesson planning.





Author Image

Hasif Rayyan
Terima kasih kerana membaca, mohon beri komen tentang cerita ini.

No comments:

Post a Comment

Kembali Ke Atas