Home Ads

Sunday, October 2, 2016

D'Raksha : Another World

Oleh : Hasif Rayyan

Prolog

“Azfar...?” Zairina tercengang melihat perilaku suaminya. Yang sedang mendekati portal di hadapan. Langkah lelaki itu perlahan, namun tidak ragu-ragu.

Melihat dia begitu, Zairina tak tenang. Dia punya firasat buruk. Sekiranya dia tak halang, mungkin suaminya akan... “Azfar... Awak buat apa tu?” Nada suara Zairina bergetar.

Langkah Azfar menghenti. Namun dia diam. Kaku. Tidak juga menoleh pada Zairina. Sejenak dia begitu. Kemudian, dia berpaling. Menunjukkan air mukanya. Yang tampak tenang. Seakan sudah buat keputusan.

Mata Zairina membulat. Ya Allah... Tolong jangan...

“Saya nak cari Edlar dan Avilia. Nak bawa mereka balik ke sini.” Azfar bersuara tenang.

Zairina mengetap gigi, cuba menahan sebak. “Azfar... Ja... Jangan...” Bicaranya tersekat kala ketakutan membelenggu diri. Bagai turut sedang ketakutan, bayi dalam pangkuannya mula menangis. Anak pertama mereka, Khairi. Yang baru menginjak usia setahun.

Azfar kembali melihat hadapan. Tak pedulikan tangisan mereka. Matanya tertancap pada portal. Yang sedang terbuka luas, berkilau dengan cahaya biru. Bagai menjemput Azfar untuk melangkah masuk. Dan Zairina tahu, Azfar bakal menurut jemputannya.

“AZFAR!” Nada Zairina tinggi menegah. “Jangan jadi bodoh! Awak tak tahu apa akan jadi kat sana nanti!”

“Maaf, Rina. Mungkin ini peluang saya nak cari mereka.” Nyata Azfar tiada niat hendak berganjak.

Seluruh tubuh Zairina menggigil. Ada emosi yang sedang memuncak. Dan Zairina memilih untuk melepaskannya. “JANGAN!!” Kemudian, air matanya luluh. Laju membasahi pipi. Sesekali diiringi nada sebak. Namun Zairina tak peduli. Dia terus mengherdik dalam tangisan. “AWAK JANGAN BERANI TINGGALKAN SAYA DAN KHAIRI DI SINI! TAK KASIHANKAH DENGAN KAMI?” Sejenak kemudian, Zairina menangis teresak-esak.

Azfar terpana. Pertama kali dia melihat Zairina begitu emosi.

. . .

Namun, bukan dia tak mengerti. Masakan Zairina mampu tegar menghadapi kehilangan? Masakan masih berdaya buat kali kedua?

Dulu, Edlar dan Avilia. Kini, giliran dia pula. Bukan kerana bakal dijemput Tuhan. Tapi atas kerelaannya sendiri.

. . .

Nafas Zairina sejenak terhenti. Kehangatan sedang merangkul tubuhnya dengan erat. Pelukan dari suaminya, Azfar. Dan itu membuatkan tangisannya makin tak terkawal. Tiada niat untuk berhenti. Moga itu jadi tanda rayuan buat Azfar. Jangan pergi. “Rina... Saya kena pergi juga...” Sekali lagi. Takdir memilih untuk hancurkan harapan Zairina.

Azfar meleraikan pelukan. Kemudian, pantas melangkah masuk ke dalam portal. Kilauan cahaya itu menerang lagi. Kemudian malap. Berganti dengan babak tubuh Azfar yang perlahan pecah jadi debu, kian menghilang.

“Azfar... Jangan...” Seluruh tubuh Zairina menggigil. Hanya mampu melihat. Kakinya mati, tak mampu menghalang. Zairina hanya mampu menggeleng. Sambil mengetap bibir. “Tak nak... Azfar... Jangan... Saya... Tak nak...” Azfar sekadar tersenyum tenang. Hampir seluruh tubuhnya sudah ditelan pergi. Yang tinggal hanya wajahnya. “Selamat tinggal, Rina. Jaga diri, ya...” Sebelum bibirnya menghilang, Azfar mengucap lafaz terakhir, “Zairina. Saya cintakan awak... Jumpa lagi...”

ZUUUPPP!!

Dan pandangan Zairina gelap.

* * * *

“AZFAR!!” Zairina bangkit mengejut. Nafasnya tercungap-cungap. Sebelum beransur tenang. Hanya saat ini, Zairina memandang sekeliling. Dia kini di atas katil. Dalam kamar tidurnya. Zairina mengurut muka, sambil menghela nafas berat. “Ya Rabbi...”

Matanya mengerling pada kalendar dan jam yang tergantung pada dinding. 12.30 tengah hari. 1 Jun 2015. Wajah Zairina berubah kelat. Terkenang mimpi tadi. Yang jelas bukan mainan tidur. Itu suatu peristiwa benar. Yang terjadi 14 tahun yang lalu.

Azfar. Nama itu terpacul di bibir. Namun emosi Zairina kini seakan sedang mati. Barangkali penat. Barangkali sudah biasa bergelumang dengan kesedihan. Kerana sudah 14 tahun dia begitu.

. . .

Zairina tak tahu. Apakah dia harus terus menangis? Berharap Azfar akan pulang? Yang tampak seperti takkan jadi nyata. Entahkan hidup. Entahkan sudah mati.

Zairina mengurut kepala. Kemudian perlahan bangkit. “Aku kena masak sekarang ni...” Sudah hampir masuk waktu makan tengah hari. Dia harus lekas ke dapur.

Dan langkahnya mati. Tatkala matanya tertancap pada meja. Ada sesuatu yang aneh. Ada laci yang terbuka sedikit. Laci itu... ! ! !

Zairina segera mendekati, membuka laci itu dengan kasar. Jantungnya berdetak. “Mana... Barang tu?” Zairina terus menyelongkar, kalau terselit di mana-mana, namun tetap tidak berjumpa.

Wajah dua anaknya bertandang di minda. Bersama satu firasat buruk. “Takkanlah...” Barang yang hilang itu adalah peninggalan suaminya. Yang dia pernah berusaha untuk sembunyikan. Yang dibawa pergi dari tempat asal mereka.

Dari pulau itu.

Nafas Zairina terhenti, “Ya Allah!”



Author Image

Hasif Rayyan
Terima kasih kerana membaca, mohon beri komen tentang cerita ini.

No comments:

Post a Comment

Kembali Ke Atas