Home Ads

Monday, February 20, 2017

Lagenda Pendekar

Oleh : Andika Wira Jiwa


Bab 8 - Rumahku yang usang


Kini hujan telah mula turun semula melanda hampir seluruh negeri Kota Warga Gangga. Sudah tiga hari berturut-turut hujan tidak berhenti. Beberapa kawasan rendah telah pun dinaiki air banjir separas lutut. Langit masih gelap tanpa sebarang tanda untuk cerah. Matahari sepanjang tiga hari yang lalu amat suram dilindungi awan mendung yang sentiasa memuntahkan hujan lebat. Penduduk negeri Kota Warga Gangga tidak beberapa peduli dengan keadaan itu. Kebanyakan mereka bersyukur kerana sebaik sahaja Pertandingan Juara Gangga selesai, hujan turun menambah kesuburan tanah di negeri itu. Mereka menganggap itu semua sebagai petanda baik untuk setahun yang mendatang.

Andika Wira Kara sedang bersendirian di dalam bilik dirumahnya. Terdapat beberapa kebocoran kecil di bumbung bilik itu. Sesuai sahaja dengan rumah yang usang dan kurang terurus. Namun titisan air hujan dari kebocoran itu tidak diendahkannya. Dia sedang asyik dengan memandang hujan yang turun melalui tingkap. Peristiwa di Pertandingan Juara Gangga masih bermain dibenaknya.

Sejak bapanya meninggalkan Kota Warga Gangga itu, Andika Wira Kara telah tinggal bersama seorang nenek tua yang dipanggil Embah Nek Juang di rumah usang dan tua ini. Seorang budak dan seorang nenek tua yang usianya telah amat lanjut berkongsi kehidupan. Mereka saling perlu memerlukan. Bagi Andika Wira Kara, Embah Nek Juang bagaikan neneknya sendiri kerana kedua orang tuanya telah meninggalkannya. Pada nenek tua itulah dia mengharap dan menumpahkan kasih sayang di bumi Kota Warga Gangga ini. Mereka saling menumpang kasih dan harapan untuk terus hidup. Satu diawal kehidupan dan satu lagi berada dipenghujungnya.

Kedudukan rumah tua Embah Nek Juang yang terletak jauh di pinggir kota menyebabkan tidak ramai orang mengambil peduli akan mereka. Bagi Andika Wira Kara dan Embah Nek Juang keasingan mereka itu merupakan kedamaian. Kebisingan hiruk pikuk kehidupan kota tidak membawa apa-apa makna kepada pembangunan insan dan keperwiraan seseorang. Kota hanya menyogok ketamakan, keegoan dan perasaan mementingkan diri sendiri yang sering mengkhayalkan. Apabila khayalan itu melampaui batas kesedaran manusia itu sendiri maka mereka dengan sendirinya akan bertindak melulu kearah kebinasaan diri yang pasti. Malah mungkin mereka akan hilang harga diri dan menilai harga manusia lain dengan harga yang terlalu rendah. Begitulah falsafah Andika Wira Kara.

Andika Wira Kara merasa amat yakin bahawa Raja Baginda Putera Adi Arjuna Perwira Sakti sendiri yang telah menceroboh benak fikirannya semasa dia berada di tengah gelanggang itu. Dia yakin raja itu bukan sengaja memberi janji palsu untuk merestui permintaannya. Tetapi sekarang bagaimana dia harus memastikan janji itu dikotakan. Apakah yang harus dia lakukan selanjutnya untuk menjayakan impiannya.

Sejak masih kecil lagi minat Andika Wira Kara terhadap jurus persilatan adalah amat mendalam. Dia menjadi asyik apabila melihat orang-orang yang lebih dewasa memperagakan jurus-jurus persilatan. Otaknya yang geliga sering dapat menguraikan kekuatan dan kelemahan banyak langkah-langkah silat. Dia berhasrat untuk menjadi seorang pendekar terulung suatu hari nanti. Baginya, dia memang berkelayakan untuk mencapai tahap itu. Dia percaya bahawa jika dia kuat berusaha, dia pasti akan dapat memenuhi kehendaknya.

Menewaskan gergasi

Tiba-tiba Andika Wira Kara terlihat kelibat beberapa orang yang terhendap-hendap di sebalik beberapa pohon pisang di belakang rumah. Mereka berjalan dengan berlari-lari anak kemudian bersembunyi di sebalik rimbunan pohon pisang. Nampaknya mereka bagaikan memasang mata mengintip ke arah rumah usang itu. Kemudian mereka berlari lagi menghampiri rumah. Kali ini dengan lebih pantas. Andika Wira Kara terus mengamati. Ada lima orang kesemuanya. Kedatangan mereka mematikan bayangan impian dari benaknya. Mungkin dia perlu menjadi pendekar terulung pada hari ini dan bukan pada suatu masa nanti yang belum pasti kedatangannya.

Apakah tujuan mereka? Jika mereka berniat baik tentu kedatangan mereka tidak begitu. Bukan begitu adat orang bertandang.

Tiba-tiba salah seorang dari mereka menampakan diri di kawasan lapang. Ditangannya kelihatan beberapa ketul batu sebesar penumbuk. Tanpa berlengah lelaki itu membaling batu-batu itu ke arah rumah. Pantas dan kemas balingannya. Tepat hinggap ke satu tiang belakang rumah. Tiang itu hampir patah.

“Sial ! Banjingan-banjingan ini mahu membuat kacau di rumah aku.” Desus Andika Wira Kara.

Tanpa berlengah Andika Wira Kara melompat keluar melalui tingkap. Perkara ini harus diselesaikan segera. Jika tidak rumah tua Embah Nek Juang mungkin akan roboh. Di mana nenek tua itu akan bernaung kelak. Lagipun pendatang-pendatang itu tidak langsung mempunyai alasan yang munasabah untuk berbuat begitu selain daripada menjadi samseng murahan. Mereka itu terlalu kurang ajar dan perlu diberi pengajaran mengenai adat sopan. Dia mula bertindak.

Siapakah tetamu yang hadir diwaktu remang malam begitu? Apakah niat mereka terhadap Andika Wira Kara? Mereka datang dengan parang panjang terhunus ditangan. Pasti niat mereka bukan sekadar datang bertandang.

Bab 7
Author Image

Andika Wira Jiwa
Setapak demi setapak mari kita hayati perjalanan hidup seorang pendekar muda yang ditakdirkan merajai seluruh dunia persilatan sepanjang zaman. Let's have fun.

No comments:

Post a Comment

Kembali Ke Atas