Lagenda Pendekar
Oleh : Andika Wira Jiwa

Bab 7 - Lima juara Gangga
Pong! Pong! Pong! Gendang besar sekali lagi dipalu dan bergema kuat menyelubungi arena. Acara pertandingan Juara Bukit Helang akan bermula semula.
Di dalam peringkat ketiga ini, perajurit dibenarkan menggunakan sebarang jenis senjata. Setiap perajurit harus menggunakan segala kemahiran yang telah dilatih selama setahun demi mempertaruhkan nasib mereka. Jika mereka tersilap langkah nyawa akan melayang. Tetapi bagi mereka nyawa bukanlah perkara yang paling berharga pada ketika itu. Kemenangan mutlak lebih bermakna. Semangat juang anak watan Kota Warga Gangga adalah nilai yang tertinggi.
Pusingan ketiga berjalan dengan lancar. Dua puluh enam perajurit dibahagi kepada lima kumpulan secara rambang. Setiap perajurit di dalam sesuatu kumpulan akan bertarung sesama mereka sehingga hanya satu yang masih berdiri. Nasib yang rebah samaada kehilangan nyawa atau cedera parah.
Parwana Gergasi Budiman asyik dengan jeritanya yang memekakkan telinga ketika dia menyerang lawannya satu persatu. Sebahagaian penonton merasa geli hati dengan gelagatnya itu. Namun lebih ramai yang merasa gerun. Kekuatan fizikal Parwana Gergasi Budiman memang tidak dapat dinafikan. Namun jurusnya kelihatan longgar dan tidak menentu. Sesekali dia sekadar bergelut selepas berjaya menangkap bahagian anggota badan lawannya. Tidak ubah seperti gergasi yang sedang mengamuk.
Sang Waja Kecil masih dengan kecekapan bermain buah silat yang tiada tara. Bagaikan ikan meliuk di air dia melawat lawannya satu bersatu dengan membawa buah tangan yang berbisa. Namun dalam pusingan ini lawan yang dihadapinya bukan semudah tadi. Beberapa pukulan Sang Waja Kecil berjaya ditepis atau dielak dengan baik oleh lawannya. Malah tidak kurang daripda sepuluh kali badan sederhana besar milik pendekar muda itu tumbang ditumbuk atau ditendang. Bibirnya terpalit sedikit darah segar berwarna merah cerah. Ternyata Sang Waja Kecil juga mengalami kecederaan. Namun semangat juang yang ditunjukkannya pada hari itu melebihi yang lain. Kesakitan yang dialami oleh badan fizikal tidak langsung mencederakan semangat perjuangan yang ada dalam benak fikiran dan hati jatinya. Sekali terjatuh tetap dia akan bangun. Sekali terkena, sepuluh kali dia menggasak balik. Berbekal dengan kejituan pukulan, Sang Waja Kecil kelihatan begitu yakin.
Di sudut yang lain kelihatan seorang pemuda yang turut mengungguli kumpulannya. Nama pendekar muda itu ialah Taruna Anggun. Dia lebih gemar menggunakan senjata. Mula-mula dia mencapai sebatang lembing. Tidak ramai orang yang dapat mendekati dirinya apabila dia menghayunkan pukulan-pukulan laju dan berat dengan senjata itu. Namun setelah beberapa ketika dia tidak merasa puas dengan kebekesanan senjata itu kerana kekuatan fizikal lawannya dapat menahan pukulan lembing tanpa bermata itu. Kali ini dia berlari ketempat lobokan senjata sekali lagi. Tentu dia mahu mengubah senjata. Sebilah keris panjang kini tergenggam ditangannya. Dia mengukir senyuman. Mungkin senjata itu lebih sesuai dengan dirinya. Beberpa bunga silat diperagakan. Sorakan penonton jelas kedengaran sebagai tanda sokongan. Nampaknya dia mudah mendapat perhatian. Salah satu keistimewaan pendekar muda ini ialah rupa parasnya yang amat tampan. Tidak hairanlah ramai anak gadis terjerit-jerit apabila dia sesekali tersungkur menyembah bumi. Sedikit sebanyak sokongan itu memberi semangat tambahan buat dirinya.

Aksi Andika Wira Kara
Salah seorang pendekar yang tidak ketinggalan unggul ialah Jali Gempar Perkasa yang kini mengungguli kumpulan terakhir. Badannya tidaklah sebesar Parwana gergasi Budiman tetapi kekuatannya mungkin melebihi lelaki itu. Ramai orang yang berharap mereka dapat disatukan di dalam satu kumpulan untuk mengetahui siapa yang lebih unggul. Nampaknya Jali Gempar Perkasa ialah pendekar harapan yang paling tidak menghadapi masalah dalam pertembungannya. Dia hanya tersungkur sekali itupun kerana tersalah langkah akibat tersandul lubang kecil yang berada digelanggang itu. Senjata utamanya ialah tangan kosong yang jelas padu dengan urat-urat besar terjojol.
Setelah dua jam pertarungan dimulakan, keputusan mutlak telah dicapai. Nampaknya keputusan kali ini agak melegakan. Tiada perajurit yang mati. Dua puluh satu perajurit hanya tewas dengan kecederaan. Lima perajurit kini berdiri sambil tertunduk menghadap pelantar khas. Mereka yang menang termasuklah Parwana Gergasi Budiman dan Sang Waja Kecil. Tiga perajurit lain termasuklah Taruna Anggun, Beranang Mata Sepet dan Jali Gempar Perkasa. Lima jaguh ini mungkin bakal menempa sejarah mereka yang tersendiri di negeri ini.
Pertarungan di gelanggang sudah pun berakhir. Namun perjalanan hidup Andika Wira Kara dalam dunia persilatan baru sahaja bermula. Apakah yang bakal terjadi kepada wira kecil ini? Siapakah yang akan menjadikan dia sebagai sasaran?
No comments:
Post a Comment