Home Ads

Monday, February 13, 2017

Simfoni

Oleh : Iqram Akmal


Diari 5


Aqram tersedar daripada pengsan akibat pitam kerana terdedah kepada cahaya matahari yang panas dalam masa yang lama. Semasa sedar, dia mendapati dia bukan berada di halaman rumah kepunyaan Cikgu Arhir, tetapi dia kini berada di sebuah taman yang luas. Dengan kepalanya yang masih pening serta badan yang tidak stabil semasa berdiri, dia berjalan sekitar taman yang dia sendiri tidak tahu akan lokasinya.

Dia ternampak seorang kanak-kanak perempuan bersama seorang lelaki dewasa berusia lingkungan 40-an. Dua orang yang duduk di hadapan kolam besar dan mempunyai air yang jernih itu sedang tersenyum, sambil berbual akan satu perkara yang Aqram tidak dapat dengar. Berdasarkan riak wajah lelaki itu, Aqram tahu dia sedang bercakap mengenai perkara yang gembira.

Semasa Aqram berniat hendak mendengar perbualan dua insan itu dengan teliti, dia dapat rasa seseorang sedang memanggil namanya. Bukan satu suara sahaja yang kedengaran, malah ada dua. Taman dan dua orang yang Aqram lihat sebentar tadi sudah mula hilang sedikit demi sedikit. Selepas itu, Aqram menutup kedua-dua telinganya sambil menjerit 'berhenti' banyak kali.

"Aqram? Aqram, bangun!" Itulah suara yang Aqram dapat dengar pada telinganya walaupun dia telah tutup telinga dia itu sekuat yang boleh.

Selepas itu, Aqram Aqmal terus tersedar untuk kali kedua selepas jeritan daripada Syafiz Qayyum itu mengena pada gegendang telinga kirinya. Kali ini, dia sedar di alam realiti, bukan alam mimpi. Kelihatan Jae Eun dan Qayyum berada di sebelah badan dia yang terbaring atas katil dalam biliknya. Jae Eun hanya menunjukkan senyuman kerana gembira melihat Aqram sedar daripada pengsan.

"Aqram, kau ok? Masa aku ketawa tu buat kau pengsan ke?" tanya Qayyum yang diselitkan dengan gurauan hambar lalu ketawa dengan nada yang perlahan. Aqram yang tersenyum kelat itu hanya mengangguk kepala walaupun gurauan daripada Qayyum itu tidak lawak langsung.

Kemudian, giliran Jae Eun pula bercakap dengan Aqram. Kali ini nada dia dapat diketahui emosi dia yang sedang risau melihat Aqram, di mana lelaki itu pengsan secara tiba-tiba. "Awak pengsan masa kita habis buat aktiviti ‘makan matahari’ beberapa jam yang lalu.”

Aqram mengangguk faham. Waktu itu, dia mampu senyapkan mulut sahaja kerana rasa terlalu penat. Syafiz Qayyum yang menyedari sikap Aqram itu terus memberikan sebotol air mineral dan menyuruh Aqram untuk minum dengan perlahan. Tanpa mengikuti arahan Qayyum, Aqram terus minum hingga air dalam botol yang Qayyum beri itu habis.

Qayyum menepuk dahinya melihat perangai Aqram itu, sementara Jae Eun ketawa kecil melihat gelagat Aqram yang digelarnya sebagai 'tunang' dia. Walaupun itu hanya gelaran di media sosial, tapi Jae Eun rasa Aqram boleh juga memanggil dia dengan gelaran itu di realiti, walaupun merepek.

"Mana Puan Myra?" tanya Aqram kepada Qayyum lagi. Puan Myra ialah isteri kepada Cikgu Arhir dan bekerja sebagai pereka fesyen dan mempunyai sebuah butik yang besar serta terkenal di Balung, di mana jarak antara rumah dengan butik itu jauh. Walaupun dia sentiasa sibuk dan tak ada masa untuk bersama anak lelakinya, ataupun Syafiz Qayyum, tetapi dia sentiasa cuba untuk pulang selama tiga atau empat hari untuk bersama Cikgu Arhir mahupun Qayyum. Aqram juga dilayan dengan baik oleh Puan Myra.

"Sebelum dia pergi. dia yang angkat kau ke sini, Aqram. Seperti biasa, dia sedang bekerja di kedai dia di Balung." balas Qayyum semasa dia mengambil botol air mineral yang digenggam oleh Aqram dan membuangnya di tong sampah.

"Tapi, tak sangka pula Aqram ni jenis kuat minum air ya." ujar Jae Eun sebelum dia ketawa terhadap gelagat Aqram untuk kali kedua. Ketawa daripada gadis Korea Selatan itu membuatkan Aqram malu dengan menunjukkan pipinya yang kemerahan. Qayyum yang menyedari suasana ‘romantik’ yang mula terbentuk itu terus cuba menghalang dia dengan memulakan perbualannya terhadap Jae Eun. “Cikgu Arhir akan balik sebentar lagi. Jae Eun, apa kata saya tunjukkan awak bilik untuk awak tidur nanti?”

“Boleh juga. Berehat secukupnya ya, Aqram. Lepas ni, kita akan ikut Cikgu Arhir ke lapangan terbang.” ujar Jae Eun kepada Aqram sebelum dia bergerak keluar dari bilik lelaki itu bersama Qayyum. Tanpa disedari Jae Eun mahupun Aqram, Qayyum sedang memegang sebuah buku kecil berwarna hitam yang ditutup dengan buku rujukan Biologi. Buku tersebut ialah diari kepunyaan Jae Eun yang gadis itu sembunyikan dalam begnya selama ini. Qayyum berjaya mengambil diari itu secara senyap tanpa disedari oleh sesiapa, termasuklah pemilik diari itu sendiri. Apakah yang Syafiz Qayyum rancang dalam fikirannya? Hanya dia dan Allah sahaja yang tahu.

*****

Pukul enam petang di Lapangan Terbang Tawau. Kelihatan ramai orang sedang berjalan sekitar kawasan lapangan terbang itu sambil melakukan aktiviti masing-masing. Ada yang menggunakan servis yang disediakan di lapangan terbang dan bermain telefon pintar mereka sementara menunggu waktu pelepasan atau waktu ketibaan rakan mereka. Selain itu, ada juga yang duduk bersantai sambil diurut oleh kerusi urut automatik yang telah disediakan.

Kelihatan Aqram, Qayyum, dan Jae Eun serta Puan Myra sedang berdiri di hadapan pintu masuk ke tempat menunggu kapal terbang, ataupun kawasan pelepasan. Mereka berempat berada di situ untuk memberi lambaian terakhir untuk Cikgu Arhir yang akan bergerak ke Kuala Lumpur atas urusan kerja.

"Jaga diri tu baik-baik. Jangan buat benda bukan-bukan masa saya tak ada pula, terutamanya bila Jae Eun berada di rumah. Faham?" kata Cikgu Arhir kepada Aqram dan Qayyum dengan nada serius. Jae Eun dan Puan Myra hanya menjadi penonton sahaja pada waktu itu. Memang tepat gelaran 'penonton' diberi kepada dua perempuan itu kerana turut membawa dan makan bertih jagung.

"Faham!" balas Aqram dan Qayyum dengan kuat, kemudian masing-masing mula ketawa terbahak-bahak selepas teriak sebagai tanda memahami arahan Cikgu Arhir, walaupun mereka telah menjadi perhatian orang ramai berdekatan kawasan pelepasan pada waktu itu.

"Dah, mari kita balik." ujar Puan Myra. Semasa berjalan untuk mendapatkan kereta, Jae Eun mendekati Aqram sambil menghulurkan bertih jagung yang dipegangnya dari tadi. Aqram hanya mengambilnya tanpa memandang muka Jae Eun. Syafiz Qayyum yang melihat babak itu terus merenung Aqram dan Jae Eun setajam helang yang berjaya menemui mangsanya. Kemudian, satu langkah terlintas di fikirannya. Dalam masa tiga saat, dia menjerit ketakutan sambil menghalakan jari telunjuknya ke arah kaki kanan Aqram.

"Jae Eun, ada lipas di bawah selipar Aqram!" jerit Qayyum. Jae Eun yang mendengar jeritan Qayyum itu terus melompat ketakutan dan menjauhkan diri daripada Aqram. Aqram terus melihat di bawah kaki kanannnya yang dipakaian kasut itu. Tidak ada langsung lipas di bawah kaki kanan dia. Bukan sahaja di bawah tapak kaki, atas laluan pejalan kaki pun tak ada lipas kelihatan.

Berkerut dahi Aqram melihat babak itu.Puan Myra yang melihat segalanya dari mula hanya tersenyum. Dia dapat rasa aura merah jambu antara Aqram dan Jae Eun. Pada mulanya, dia hendak menegur perbuatan Jae Eun itu, tetapi mujurlah jeritan daripada Qayyum itu berjaya meringankan tugasnya sedikit.

Sementara itu, Qayyum yang berjaya mengenakan Jae Eun itu tersenyum atas kejayaan menjauhkan perempuan itu daripada Aqram, seperti apa yang Cikgu Arhir arahkan.

Diari 4
Author Image

Iqram Akmal
Saya berharap agar pembaca dapat membaca karya saya dengan tenang dan mengambil apa-apa nilai murni yang saya tanamkan dalam karya.

No comments:

Post a Comment

Kembali Ke Atas