Simfoni
Oleh : Iqram Akmal

Diari 6
Dua hari lagi sebelum kejohanan balapan dan padang sekolah. Pada pukul lima pagi, kelihatan Aqram sudah keluar dari bilik mandi dan sedang memakai pakaian rasmi sekolah, manakala Syafiz Qayyum mahupun Jae Eun yang tidur di bilik tetamu masih lagi dibuai mimpi. Mana tidaknya, Aqram bangun terlalu awal. Puan Myra sudah tinggalkan rumah untuk menguruskan butiknya, memandangkan orang ternama akan tiba di butiknya.
Puan Myra juga telah tinggalkan beberapa biji roti untuk Aqram dan yang lain makan untuk sarapan.
Selepas menunaikan solat Subuh, secara senyap, Aqram keluar dari rumah selepas berjaya memakai kasut sekolah dan membawa beg sekolah bersamanya. Semasa dia membuka pintu pagar rumah menggunakan alat kawalan jauh yang dibawanya, kelihatan Chung Xiang dan Fauziah Samad sudah berada di hadapan rumah.
"Mana Qayyum dan Jae Eun?" tanya Fauziah kepada Aqram. Aqram menunding jari ke arah tingkat dua rumah sambil ketawa kecil. Setakat ini, hanya Chung Xiang dan Fauziah sahaja tahu bahawa Jae Eun sedang tinggal serumah dengan Aqram dan Qayyum. Aqram tidak mahu buat rakan sekelas mahupun pelajar yang lain kecoh kerana perkara itu.
Walaupun semua cikgu tahu akan tempat tinggal Jae Eun, tetapi Aqram anggap tidak semua tahu akan perkara itu. Oleh itu, dia rasa tindakannya untuk tidak memberitahu akannya masih relevan. Mengenai tindakan dia yang bangun awal, dia sengaja tidak bangunkan Jae Eun Mahupun Qayyum kerana dia sudah berjanji dengan Chung Xiang dan Fauziah untuk membuat satu aktiviti di awal pagi.
Setiap pagi pada hari Khamis, Aqram bersama Chung Xiang dengan Fauziah akan bergerak menghantar beberapa bungkus nasi lemak yang dibuat oleh ibu Fauziah sebelum bergerak ke sekolah. Wang yang mereka dapat hasil penghantaran itu akan digunakan untuk menghias padang sebelum kejohanan balapan dan padang sekolah bermula.
Aktiviti ini dirancang oleh Cikgu Rasyidi, di mana Aqram dan dua rakannya itu relakan diri untuk lakukan pekerjaan tersebut. "Apa-apapun, kau bawa ke nasi lemak yang kita nak jual tu, Fauziah?" soal Aqram kepada Fauziah pula. Fauziah terus menunjukkan bakul yang dibawanya yang mengandungi limabelas bungkus nasi lemak.
"Saya akan hantar lima bungkus ke gerai Pakcik Wong. Chung dan Aqram pula, memandangkan Chung guna motosikal, lokasi korang kali ni di Restoran Pak Baljeet dan hantar sepuluh bungkus ke sana. Faham?" ujar Fauziah kepada dua lelaki di hadapannya.
Chung Xiang dan Aqram mengeluh. Lokasi restoran kepunyaan Pak Baljeet dengan sekolah mereka jauh dan mengambil masa yang lama untuk tiba pada masa yang tepat. Lagipun, motosikal Chung Xiang sentiasa rosak. Tindakan Fauziah menyuruh mereka menghantar sepuluh bungkus nasi lemak ke restoran tersebut adalah tidak relevan.
“Ikut je la arahan dia. Nanti dia marah pula.” kata Chung Xiang sambil mengeluh. Aqram mengangguk faham, lalu dia menaiki motorsikal bersama dengan Chung Xiang dan bergerak ke destinasi yang diberitahu oleh Fauziah. Dalam perjalanan, Chung Xiang memulakan perbualan dengan Aqram.
“Kau suka dengan Jae Eun juga ke?”
Sewaktu Chung Xiang tanya soalan begitu, pagi mula menjadi rasa panas sedikit. Matahari yang terang mula kelihatan di atas langit.
“Kenapa kau tanya soalan begitu pula?”
“Aku tengok Jae Eun macam dah struggle nak buat kau ambil perhatian akan dia, walaupun aku tengok kau hanya tidak peduli je. Sebab tu aku tanya, kau pun suka dia ke tak?” ujar Chung Xiang.
Aqram bisu untuk seketika. Bila difikirkan semula, memang Jae Eun berusaha untuk buat Aqram ambil perhatian akan dia sejak tiba di kelas Aqram untuk kali pertama.
Tetapi, Aqram hanya bersikap seperti orang yang hidup di alam sendiri kerana langsung tidak sedar akan kehendak Jae Eun itu.
“Aku hanya janggal je, sebab kami hanya berbual di laman sosial. Bila bertemu di realiti dan tak menyangka dia memang gadis Korea, aku rasa macam bercakap dengan orang asing.” balas Aqram terhadap soalan yang bermain di fikiran Chung Xiang itu.
“Aku rasa baik kau layan dia dengan baik. Mungkin kau rasa lima bulan tu tempoh yang lama, tetapi aku yakin kalau kau tak layan gadis Korea tu, aku rasa tempoh lima bulan tu akan jadi mimpi ngeri untuk kau.” ujar Chung Xiang lagi.
Tidak lama kemudian, motosikal yang dia dan Aqram naik tiba di hadapan restoran kepunyaan Pak Baljeet.
Aqram hanya mengangguk faham, sebelum dia memberikan sepuluh bungkus nasi lemak yang dibuat oleh ibu Fauziah kepada Pak Baljeet. Kata-kata Chung Xiang itu bermain di kepalanya sewaktu dalam perjalanan ke sekolah.
*****
Selepas tiba di sekolah, kelihatan Qayyum dan Jae Eun sedang menunggu Aqram di hadapan pintu pagar. Apabila Aqram melihat dua orang itu, peluh mula membasahi dahi dia, kerana terlalu takut untuk memikirkan tindakan Qayyum dan Jae Eun apabila mengetahui dia keluar dari rumah tanpa memberitahu sesiapa.
Simpati melihat keadaan rakannya itu, Chung Xiang terus memberhentikan motosikalnya di luar selain meletakkannya di dalam kawasan sekolah yang mempunyai tempat khas untuk motosikal diletakkan. Selepas itu, dia berdiri di hadapan Aqram semasa mereka berdua berjalan dihadapan Qayyum dan Jae Eun.
“Aqram, kau ke mana tadi?” tanya Qayyum kepada Aqram. Aqram hanya membisu kerana terlalu takut, sementara Chung Xiang hanya menunjukkan senyuman seperti orang yang mempunyai masalah mental. Berkerut dahi Qayyum dan Jae Eun melihat gelagat dua lelaki.
“Sebenarnya kami ada aktiviti untuk kejohanan balapan dan padang nanti. Kau tahulah, kelas kami akan menjadi ahli jawatankuasa semasa program itu berlangsung.” balas Chung Xiang, ringkas. Tujuan Aqram keluar awal adalah baik, iaitu mencari dana tambahan untuk kejohanan balapan dan padang sekolah yang akan diadakan tidak lama lagi. Nama lain bagi kejohanan itu adalah ‘sukan tahunan sekolah’.
Qayyum terdiam untuk seketika, kemudian mengangguk faham atas kata-kata Chung Xiang itu dan membenarkan lelaki berbangsa Cina bersama Aqram itu untuk beredar.
“Tak sangka pula alasan begitu mampu diterima oleh Qayyum.” kata Aqram dengan selamba. Chung Xiang ketawa terbahak-bahak mendengar kata-kata Aqram. Tidak lama kemudian, mereka pun masuk ke dalam kelas dan kelihatan Fauziah sedang menunggu mereka di dalam.
“Berapa yang korang dapat?” tanya Fauziah kepada Aqram dan Chung Xiang seperti penagih hutang yang terkemuka. Aqram terus mengeluarkan beberapa wang kertas RM20 di poket kiri seluarnya dan memberikannya kepada Fauziah.
“Lebih dari cukup ni. Nampaknya padang akan dihias sebentar lagi.” Baru sahaja tiga sahabat itu hendak berehat, tiba-tiba mereka dikejutkan oleh satu suara.
“Mana satu korang ni ialah Aqram Aqmal?”
No comments:
Post a Comment