Home Ads

Friday, March 31, 2017

Detektif Ahmad : The Musical Murderer

Oleh : Gekido MMD


File 1 : Knockin’On Your Door

Remaja berusia 22 tahun dengan berpewatakan bijak dan tenang itu termenung di anjung tingkap, pandangannya dilempar jauh ke arah langit mendung setelah hujan sejak pagi tadi. Tubuhnya berpeluh, nafasnya sedikit kencang. Selepas meneguk air mineral bersaiz 1.5 liter yang digenggamnya sejak tadi, dia meghelakan nafas lega- Ya, terlalu lega, sudah separuh botol diminum, hari ini sangat memenatkan. Suasana agak sunyi, jam di dinding tepat menunjukkan 4.55 petang. Kelihatan sebuah almari di ruang tamu kecil itu dibarisi dengan rak buku yang disusun rapi dengan deretan novel-novel fiksyen detektif dari pelbagai penulis dan sub-genre. Di antara barisan novel itu terdapat sebuah karya yang tebal bertajuk Ahmad The Legendary Detective yang dikarang oleh penulis luar negara, dimana isi kandungannya adalah kompilasi dari kes-kes terpilih yang pernah disiasat oleh detektif Ahmad suatu ketika dahulu. Di sebelahnya pula terdapat sebuah meja kecil yang disusun dengan sijil-sijil anugerah dekan untuk Ijazah Sains Forensik dari semester 1 hingga 5, juga terdapat sijil Penghargaan Penyiasat Remaja yang dianugerahkan oleh Pihak Polis. Tertera nama Fairuz Ahmad pada bahagian bawahnya. Anugerah itu diberikan sempena penghargaanya dalam menyelesaikan pelbagai jenis kes jenayah sejak namanya dikenali 2 tahun yang lalu, kesemua kes adalah yang melibatkan pembunuhan rumit yang mana tidak dapat diselesaikan menggunakan kaedah biasa. Remaja itu berjalan sedikit berdengket seperti kesakitan menuju ke arah peti sejuk yang berada kira-kira 10 meter di hadapannya.

“Ubat tahan sakit yang terakhir.” Rengusnya sendirian sambil menelan pil itu. Setelah penatnya beransur reda dan kesan ubat tahan sakit mula bertindak, dia mengambil keputusan untuk untuk ke farmasi membeli sedikit ubat dan ke pasar bagi membeli peralatan dapur sebagai persediaan makan malam nanti.

“Sudah pukul 5.” ujarnya sambil melihat jam di tangan. Sebaik sahaja beliau mengunci pintu rumahnya yang tertera 535, satu jeritan kedengaran dari arah kanannya. Tanpa berlengah dia meluru laju ke arah sumber jeritan itu sebelum jatuh tersungkur betul-betul dihadapan seorang lelaki tua yang sedang menyapu di pertengahan koridor.

“Anak tak apa-apa?” Tanya lelaki tua itu dengan nada bimbang

“Saya tak apa-apa, terima kasih. Ada jeritan di rumah hujung, saya mesti pergi lihat apa yang berlaku.” Balas Ahmad yang kesakitan sambil memegang kakinya. Tanpa berlengah, Ahmad berdengket dengan tergesa-gesa dan mengabai lelaki tua itu yang masih terpinga-pinga. Sebaik sahaja tiba di lokasi jeritan, kelihatan seorang lelaki memakai jaket berhoddie hijau berdiri betul-betul di tangga, wajahnya seperti ketakutan apabila menyedari kehadiran Ahmad di situ, dia seolah-olah mengenali Ahmad. Berkemungkinan – kerana Ahmad cukup dikenali dikalangan pelajar junior dan senior kerana popularitinya sebagai penyiasat remaja sejak 2 tahun yang lalu. Lelaki itu berlalu pergi tanpa mengeluarkan sepatah kata. Tanpa mempedulikan lelaki yang mencurigakan itu, dia meluru masuk ke rumah tertera 505 pada pintunya dan mendapati dua orang pelajar berdiri di hadapan pintu bilik dalam keadaan tergamam. Mereka kelihatan terpaku seperti di sumpah oleh Medusa. Didapati seorang lagi pelajar berada ditengah-tengah ruang bilik – kaku tidak bergerak – dalam keadaan lehernya sudah dibelit dengan tali pancing yang bersambung pada kipas siling yang tidak dapat berpusing akibat dari tegangan tali pancing yang sudah mencapai tegangan maksima. Keadaanya pula duduk dalam keadaan bersila – tenang.

Tangannya menggengam erat leher gitar elektrik, seolah-olah seperti sedang bermain gitar.

‘ALI!’ Jerit Ahmad terkejut dengan situasi yang berlaku. Suiz kipas yang berada di sebelah pintu bilik dimatikan. Ahmad meluru ke arah jasad itu, dan merasa nadi. Tiada denyutan, tetapi tubuhnya masih panas, Ali sudah tidak bernyawa.

“Ali sudah mati. Apa yang berlaku di sini? Kamu berdua jangan kemana-mana, aku nak soal siasat kamu sebentar lagi”. Ujar Ahmad dengan nada yang serius.

“M-Mati? Kenapa Ali membunuh diri?” Balas Saiful dan Abu serentak. Ahmad meninjau keadaan bilik kejadian. Kelihatan gugusan kunci berada di sebelah kiri mangsa, tidak beberapa jauh dari situ terdapat kertas berkedut yang dikotori tanah sebesar tapak tangan dengan satu contengan aneh. Di kanan mangsa terdapat sepasang syringe lengkap dengan jarum. Dia mengambil sedikit cecair yang keluar melalui muncung jarum dan mencalit sedikit ke lidahnya.

“Morphine. Bunuh diri?” Ujarnya perlahan

Terdapat kepala selak, mangga dan skru-skru bertaburan di hujung pintu bilik, di atas lantai berdekatan dengan muka pintu terdapat seutas tali pancing sepanjang 40cm yang diikat kedua-dua hujung. Selain itu terdapat kesan retak yang baru pada tingkap dan siling berdekatan atas tingkap.

“Anehnya. Keadaan mangga dalam keadaan tidak berkunci tetapi digantung pada lubangnya, selak pintu dihentam teruk sehingga bengkok pada bar. Bilik ini menggunakan 2 jenis pengunci, selak dan mangga

Tetapi ada beberapa perkara yang aneh. Beliau bangun dan meneliti tombol pintu bilik tersebut. Didapati tombol tidak dikunci dan tiada sebarang kesan pecah. Seperkara lagi:

“Seperti bau gasolin di sekitar bilik ini” Ujarnya lantas bangun dan menuju ke muka pintu bilik.

“Begitu banyak pengunci pada pintu, adakah Ali jenis paranoid?” Soal Ahmad kepada 2 pelajar yang masih tercegat di muka pintu. Seorang dari pelajar bertubuh kurus dan tinggi mula bersuara selepas terkesima seketika.

“Ah, ya, ya. Ali tak suka diganggu, jadi dia menambah dua kunci tambahan pada pintu. Kunci selak digunakan ketika waktu siang, dan mangga digunakan pada waktu malam. Kunci pada tombol sudah rosak dan tidak digunakan lagi.” Terang Saiful yang merupakan pelajar Jurusan Kejuruteraan Awam.

“Tetapi kenapa dia mengunci kedua-duanya sekali gus?” Soal Ahmad Saiful menggaru kepalanya, berfikir.

“Betul, hari ini aneh, kedua-duanya berkunci, aku juga tak tahu kenapa”

“Adakah itu gugusan kunci untuk bilik ini?” Soal Ahmad lagi sambil menunjukkan gugusan kunci di sebelah kiri mayat. Saiful mengiyakan.

“Betul, itu memang kunci biliknya.”

“Boleh kamu berdua ceritakan apa yang berlaku di sini?” Soal Ahmad. Seorang pelajar bertubuh gempal berkaca mata, melangkah sedikit ke depan dan mulai bersuara.

“Begini, aku pulang ke rumah kira-kira jam 3.30 petang dan terus masuk ke bilik aku untuk tidur kerana kepenatan, ketika itu Ali masih hidup kerana terdengar bunyi gitar yang dimainkan Ali.” Balas Abu yang merupakan pelajar jurusan Matematik dan menyambung lagi dengan nada tersangkut-sangkut.

“Aku dikejutkan selepas terdengar rempuhan pintu yang kuat, dan mendapati Saiful dalam keadaan tergamam di muka pintu, dan aku dapati – Ali –Ali sudah..”

“A-aku pula baru pulang dari kelas kira-kira jam 4.30 petang tadi, pada jam 4.45 petang aku masuk ke rumah untuk mengambil barang yang tertinggal di dalam bilik Ali, tetapi berkunci, aku mengetuk berkali-kali tetapi tidak berbalas, namun bunyi petikan gitar yang dimainkan Ali jelas kedengaran. Aku seterusnya keluar semula dari rumah. Lebih kurang 10 minit selepas itu aku kembali semula ke bilik Ali dan mendapati ia masih berkunci, maka aku merempuhnya kerana marah dan menemui Ali dalam keadaanya sudah begitu.” Ujar Saiful, nadanya pantas, tetapi seperti menyembunyikan sesuatu, kadangkala matanya menjeling ke arah bilik kejadian.

“Ada sesiapa yang memasuki rumah ini selain kamu berdua?”

“Tiada. Kami bertiga sahaja yang memiliki kunci rumah, dan setiap kali kami keluar, pintu rumah kami akan pastikan sentiasa berkunci kerana bimbang dengan kes kecurian yang kerap berlaku kebelakangan ini.”

“Sejak bila mangsa berada di rumah?”

“Hari ini Ali tiada kelas, kemungkinan dia berlatih gitar dari pagi, Ali sangat tekun jika melakukan sesuatu, setiap apa yang diusahakannya akan diusaha sehingga berjaya.” Ujar Abu dengan nada sebak.

“Seperkara lagi, Saiful – kebiasaanya kau memakai jaket fakulti kejuruteraan yang bewarna merah, jika benar kau mendakwa baru pulang dari kelas, mana jaket itu dan boleh terangkan kesan luka pada bibir kau?” Tanya Ahmad sambil menunding jari ke arah kesan darah kering pada bibir Saiful di sebelah kanan.

“Oh, jaket itu aku baru sahaja hantar ke kedai dobi di blok F, ia kotor terkena tanah. Berkenaan dengan kesan luka ini? Mungkin akibat dari rempuhan pada pintu bilik sebentar tadi.” Jawab Saiful sambil memegang darah pada bibirnya. Jawapan Saiful itu membuatkan Ahmad kurang senang. Dapat dilihat dari air mukanya yang berubah. Ahmad mengeluarkan telefon bimbitnya dan terus menghubungi pihak polis. Saiful kelihatan resah tidak keruan, dan menghalang tindakan Ahmad.

“Nanti-nanti! Jangan hubungi pihak polis lagi! Aku nak ambil barang di dalam bilik sebentar.” Pinta Saiful. Sudah tentu Ahmad tidak membenarkan.

“Sebarang objek di lokasi kejadian tidak boleh digerakkan walau 1cm sekalipun” Ujar Ahmad

“Tolong lah, Cuma sebuah buku nota, ianya sangat penting untuk peperiksaan esok, tanpa buku itu segala-galanya akan gagal.” Rayu Saiful.

Telefon bimbitnya berdering, dengan tergesa-gesa dia menyambung panggilan tersebut. Dari jarak dekat kedengaran suara pemanggil yang nyaring seperti marah dan memaki.

“Ya-ya, tunggu sebentar ada kematian berlaku di rumah aku. Apa? – Ali, pelajar arkitek. Ya, aku dalam perjalanan, tolong sabar, sebentar lagi aku sampai.” Ujar Saiful kepada pemanggil dengan nada ketakutan dan memasukan kembali telefon bimbitnya ke dalam saku seluar jeans yang ketat. Kelihatan resah dan berpeluh, dia melangkah masuk ke dalam bilik kejadian tanpa ragu-ragu. Tindakan itu dihalang segera oleh Ahmad yang mengawasi muka pintu.

“Tolonglah! buku nota itu sangat penting, mereka tiada kena mengena dengan hal ini! lagipun ianya hanya terletak pada rak buku itu.” Pinta Saiful sedikit berang, seolah-olah kematian yang berlaku di hadapan matanya bukan perkara penting, dia lebih mengutamakan buku nota itu. Melihat keadaan Saiful yang berang dan degil, Ahmad akhirnya beralah dan membenarkan.

“Hubungi semula rakan kau, dan minta dia datang ke sini untuk mengambil buku nota itu, kau tidak boleh ke mana-mana sebelum pihak polis tiba.” Ujar Ahmad tegas. Saiful dengan segera menyenlongkar rak buku yang berada di hadapan mangsa, lalu mengambil sebuah buku nota yang setebal 10cm dan terus menuju ke arah beg galasnya yang terletak di sudut pintu.

“Hei! Kenapa perlu masukan buku itu kedalam beg! Hubungi rakan kau dan suruhnya datang ambil di sini, kau tidak boleh pergi ke mana-mana sebelum polis tiba.” Jerit Ahmad. Namun Saiful tidak mengendahkan, dia tergopoh-gapah membuka zip begnya. Sebaik sahaja zip beg dibuka, sehelai topeng kain bewarna hitam dan sebuah lastik di bawa keluar dari beg tersebut. Saiful kelihatan terkaku seketika dengan apa yang dilihat.

“Bagaimana topeng dan lastik kayu ini boleh berada di sini, si cilaka mana yang memasukannya?” Ujar Saiful marah bercampur hairan, lalu melempar barang-barang tersebut ke lantai. Tanpa berlengah dia terus meluru keluar dari rumah dengan sangat pantas tanpa sempat dihalang oleh Ahmad.

“Tak guna! Ada sesuatu yang tidak kena pada tindak-tanduk Saiful, harap pihak polis tiba dengan kadar segera sebelum perkara yang tidak diingini berlaku lagi.” Rengus Ahmad dengan penuh bimbang, namun kebimbangan itu berakhir apabila terlihat gugusan kunci kereta dan kad ID pelajar ditinggalkan di meja berdekatan pintu, dengan itu Saiful tidak akan pergi jauh dan mudah dikesan oleh pihak polis kelak.

Abu sedari tadi hanya berdiam diri di bucu dinding, satu-satunya suspek yang boleh disoal siasat buat masa ini. Abu kelihatan sangat sedih dan terkejut dalam masa yang sama, tubuhnya nampak sangat lemah. Dia seperti tidak dapat menerima kejadian yang berlaku. Tanpa menghiraukan keadaan Abu, Remaja yang sentiasa tenang itu harus mendapatkan seberapa banyak maklumat untuk kejadian ini – Ya, Ali juga merupakan rakan karibnya, namun dia harus bersikap professional, tidak dipengaruhi emosi.

“Abu, aku ingin bertanyakan beberapa soalan.”

Abu menoleh lemah, tidak mengganguk tidak menggeleng, dia hanya memandang ke arah Ahmad – keadaannya seperti orang demam panas.

“Pertama, ada sesiapa kenalan Ali yang melawat baru-baru ini? Kedua, ada kau perasan sebarang kelakuan aneh Ali baru-baru ini, atau kali terakhir kau melihat dia? Dan yang terakhir, adakah Ali memiliki kunci pendua untuk biliknya?”

“Seingat aku, yang melawat Ali baru-baru ini cuma engkau. Betul, 5 hari yang lalu, kau melawat Ali dan berbual dengannya, seperti yang kau sendiri tahu, Ali sangat cerewet dalam memilih rakan, jadi dia tiada ramai kenalan melainkan yang betul-betul dirasakan sesuai denganya. Berkenaan dengan kelakuan aneh Ali-.” Abu terhenti seketika untuk berfikir sejenak dan menyambung lagi

“Tiada yang aneh, semuanya normal. Berkenaan kunci bilik, setahu aku cuma Ali sahaja yang memiliki kunci biliknya. Aku juga tertanya-tanya, kenapa Ali membunuh diri, Ali tiada masalah dengan sesiapa, juga tiada masalah peribadi, dia seorang yang sangat periang, kreatif dan sangat pandai bergaul. Aku cukup mengenalinya, malahan dia umpama abang kandung aku sendiri – tetapi – tetapi, kenapa dia bunuh diri! Kenapa?” Nafas Abu turun naik, jiwanya sebak dan tidak dapat menyambung lagi.

“Ini bukan bunuh diri, ini adalah kes pembunuhan bilik terkunci, kau dan Saiful merupakan suspek utama, jadi jangan pergi kemana-mana sebelum pihak polis tiba” balas detektif itu dengan nada mendatar tiada emosi.

“P-Pembunuhan? Siapa yang tergamak bunuh Ali? Ali tidak memiliki sebarang musuh, Ali baik dengan semua orang, mustahil hal begini boleh berlaku! Dan yang paling menyedihkan Ali sepatutnya menghadiri sesi uji bakat esok, jadi dia kerap berlatih untuk memenangi kejuaraan itu. Siapa yang tergamak membununya dengan cara yang cukup kejam ! Siapa?” Raung Abu yang tidak mampu mengawal emosi.

“Tak mengapa, aku akan pastikan pembunuh itu diberkas, aku akan pastikan dia menerima balasannya” Ujar remaja yang sudah menyelesaikan puluhan kes rumit itu dengan tenang.

“Namun ada sesuatu yang tidak kena. Pintu bilik dibuka ke arah kiri, dan tombol pula berada di sebelah kanan, Jika luka disebelah kanan mulut Saiful adalah akibat dari hentaman pintu, jadi sepatutnya luka itu adalah disebelah kiri. Aku andaikan Saiful adalah right-handed, maka hentaman menggunakan daya sebelah kanan sudah tentu tidak menghasilkan daya yang kuat” Bisik Ahmad sendirian.

Jika disusun semula kronologi dari keterangan mereka berdua:
Dalam suasana yang sunyi dengan kejadian malang itu, dikejutkan dengan bunyi jeritan amukan dari dalam bilik Abu. Ahmad bergegas ke dalam bilik berkenaan. Keadaan bilik itu bersepah, buku-buku bertaburan di lantai, dan hampir-hampir sahaja sebuah buku melayang mengenai kepala Ahmad tetapi sempat dielak. Abu berang dan marah. Kemarahannya tidak dapat dihentikan, dia terus membaling buku-buku yang berada di meja, dan mengoyakkan apa sahaja yang dilihat dihadapannya.

“Abu! Hentikan! Apa yang terjadi?” Jerit Ahmad ke arah Abu yang sudah seperti hilang akal.

“Aku tidak boleh terima apa yang terjadi! Kenapa hal ini berlaku serentak, Ali satu-satunya rakan yang paling aku kagumi, dia satu-satunya sahabat karib yang aku ada!” Air mata abu berlinangan, dia tersandar di dinding dan terus menangis tersedu-sedu seperti kematian ibu.

“Aku ingin tidur, aku terlalu penat –“ Ujarnya lagi lalu memejamkan matanya jelas tampak lesu dan lemah. Ahmad hanya mampu melihat, dia tidak mempunyai kemahiran untuk meredakan kemarahan dan memujuk seseorang.

------------------

Hentakan kasut menghentam tanah yang basah bergema di sepanjang lorong belakang pangsapuri selebar 3 meter itu, Saiful tercungap-cungap sering kali dia menoleh kebelakang seolah-olah ada yang mengekorinya.

“Bagus, dia sudah tidak mengekori aku lagi.” Ujarnya sebelum lariannya dihentikan oleh satu lembaga hitam yang menghalang laluannya.

“Sudah, hentikan aktiviti yang sia-sia ini, ia memudaratkan masa depan kamu. Jika tidak, nasib kamu akan sama seperti rakan kamu itu, ini amaran pertama dan terakhir. Serahkan buku nota itu.” Ujar suara misteri itu kukuh tidak berganjak.

“Ke tepi, kau siapa? Hal ini tiada kena mengena dengan kau, jangan sibuk hal orang lain” Marah Saiful. Akibat berang dengan lembaga misteri yang menghalangnya, dia lantas meluru laju dan melepaskan satu tumbukan kerana yakin bahawa kudratnya boleh mengatasi lembaga dihadapannya. Hamburan darah melayang ke udara yang datangnya dari mulut Saiful, pandangannya menjadi kelam dan kabur. Kekuatan lembaga itu bukan tandingan Saiful.



Author Image

Gekido MMD
Dah tentu ramai yang malas membaca penulisan panjang di kaca monitor berbanding buku.. akan tetapi campak sahajalah karya dgn harapan ada org yang membacanya.. dari terus dibiarkan karya maha hebat ini menjadi tempoyak. TQ for reading.

No comments:

Post a Comment

Kembali Ke Atas