Home Ads

Thursday, April 20, 2017

Peramal

Oleh : Abraham Yusoff


Bab 9


Sesampainya Azfar di pejabatnya, dia terus menghidupkan komputer ribanya dan mesej terus muncul di skrinnya.

“Konfius ke? Janganlah konfius. Sebenarnya jiran kau yang memesan pizza tu tadi. Encik Abam memberikan alamat yang betul kepada lelaki tu tapi lelaki tu salah dengar dan menulis alamat rumah kau sebab deringan telefon yang kau buat tadi. Tapi kau patut bagi kredit dekat budak tu, sekurangnya dia hantar di taman perumahan yang betul. Cuma tersalah rumah sahaja.”

“Jadi ganjaran aku kali ini adalah pizza tu?’

“Ya Azfar, ganjaran kau pizza tu. Dan juga peluang untuk kau bersama-sama isteri kau. Dah lama kau tak bersama dia kan? Pergi turun, nikmati pizza tu bersama-sama isteri kau. Ingat, ini bukan tugas kau. Cuma memberi peringatan. Sebelum itu, jiran kau sekarang tengah mengamuk sebab pizza dia tak sampai-sampai. Tapi kau tak payah risau. Pergilah luangkan masa dengan isteri kau.”

Azfar mengikut sahaja apa yang Peramal katakan. Dia menikmati pizza bersama-sama isterinya. Selesai makan, mereka melakukan adegan suami isteri di sofa besar di ruang tamu rumah agam Azfar. Sudah agak lama mereka tidak bersama begitu. Selepas selesai melayari bahtera suami isteri, Sofea tertidur di lengan Azfar keran terlalu letih. Azfar memandang siling rumahnya cuba memikirkan tentang tugasnya kali ini yang amat pelik. Azfar perlahan-lahan mengalihkan lengannya dan meletakkan kepala isterinya di bantal kecil yang terdapat di atas sofa. Azfar terus naik menuju ke ruang pejabatnya.

Azfar duduk di hadapan komputer ribanya dan jarinya lagu menekan punat-punat huruf di komputernya.

“Kau ada lagi tak ni?”

“Ya Azfar, aku sentiasa ada. Dah lama aku tunggu kau. Lelaki tadi tu, tubuh badan dia agak menarik kan?

Azfar hanya memandang skrin komputernya.

“Sebenarnya dia bukanlah pekerja yang baik. Dia baru sahaja berkerja tiga hari yang lepas dan Encik Abam ingin memecatnya. Tapi kalau dilihat dari segi bentuk badannya, kau pun boleh agak yang dia kuat, pantas dan amat teliti orangnya. Sebagai contoh, dia tahu yang kau tak kunci pintu pagar dan pintu rumah kau selepas dia hantar pizza tadi.”

“Apa??”

Azfar separuh menjerit dan terus bangun dari kerusinya.

“Duduk Azfar. Aku nak bagi tahu kau benda penting ni. Kalau kau kunci pintu kau sekarang pun, situasi tak akan berubah lagi.”

Azfar terduduk.

“Kau faham sekarang Azfar? Memang betul aku tak pernah menipu kau tapi ada beberapa perkara yang aku tak beritahu kepada kau. Aku pernah cakap setiap tugas yang kau lakukan, akan berlaku satu peristiwa buruh terhadap seseorang dan kebaikan buat diri kau. Tapi ada satu lagi perkara yang aku belum beritahu. Sebenarnya setiap tugas yang kau lakukan ada matlamatnya yang tersendiri. Kau masih ingat akan Laila? Sudah tentu kau ingat dia. Tapi apa yang kau tak tahu pasal dia adalah dia bekerja hanya untuk membiayai perbelanjaan pembelajaran adiknya di kolej. Selepas dia mati akibat kemalangan itu, adiknya terpaksa berhenti kolej. Dia yang sepatutnya menjadi pakar psikologi terpaksa menjadi pekerja kilang. Disebabkan ini, lelaki tadi juga turut terjejas. Adik kepada Laila tadi sepatutnya menjadi psikologis kepada lelaki penghantar pizza tadi, dia mengalami masalah mental akibat dipukul dengan kuat di bahagian kepala. Dan kau masih ingat lagi lelaki yang memenangi loteri beberapa tahun lalu? Dia jiran kepada penghantar pizza tadi, selepas dia kehilangan semua wangnya, sikapnya berubah kepada panas baran. Dia yang memukul penghantar pizza tadi sehingga mengalami masalah mental. Ibu kepada lelaki penghantar pizza itu pula seperti tidak mengambil peduli tentang keaadaan anaknya. Ibunya seorang penagih dadah, ibunya menjadi seperti itu kerana teman lelaki ibunya sendiri. Teman lelaki merupakan perompak yang merompak agen insurans beberapa tahu yang lalu, kau masih ingat kan peristiwa itu Azfar? Perompak tersebut mengambil duit tersebut dan membeli dadah lalu memberikannya kepada ibu lelaki penghantar pizza tersebut.

Azfar duduk, merenung tajam ke arah skrin komputernya. Dia mahu turun ke bawah dan melihat keadaan isterinya.

“Azfar, dah banyak tugas kau lakukan untuk aku. Disebabkan tugas-tugas tersebut, hidup lelaki ini musnah. Dia mengalami masalah mental disebabkan tugas-tugas kau selama ini. Semua tugas-tugas tersebut dirancang oleh aku dan dilaksanakan oleh kau. Ia bermula dari kau dan juga akan berakhir dengan kau. Budak lelaki itu berada di bawah sekarang. Dia sedang mengelar leher isteri kau.”

Suara jeritan jelas kedengaran dibawah dan suara itu hilang serta merta.

“Sofea!!”

Azfar menjerit dan terus bangun untuk menuju ke ruang tamu.

“Azfar, berhenti.” satu suara menjerit di dalam kepala Azfar.

Suara tersebut mengejutkan Azfar. Suara itu jelas dalam kepala Azfar. Untuk pertama kalinya Peramal berhubung secara terus dengan Azfar tanpa menggunakan sebarang medium. Suaranya lunak.

“Tiada apa lagi yang kau boleh buat. Sofea dah mati, lepas ni giliran kau pulak. Kau tak boleh menghalangnya.”

“Tapi kenapa?”

Azfar menangis, air mata membasahi pipinya.

“Azfar, ianya bermula dengan kau dan harus berakhir dengan kau.”

Suara Peramal jelas kedengaran di kepala Azfar. Sangat tenang sekali suaranya.

“Aku nak kau menghargai yang sekarang ni aku tengah berhubung secara terus dengan kau. Ia memerlukan tenaga yang banyak untuk aku melakukannya. Selepas ini aku perlu berehat untuk beberapa tahun lagi sebelum aku dapat berhubung dengan manusia lagi. Kau istimewa bagi aku Azfar. Aku nak kau nikmati saat terakhir kau sekarang. Cuba kau bayangkan kalau aku tak berhubung dengan kau beberapa tahun lalu? Kau akan hidup selama 85 tahun. Ya 85 tahun tanpa apa-apa yang bermakna untuk kau nikmati. Dan bila kau mati, tiada siapa akan mengingati kau. Sebaliknya aku bagi kau 12 tahun. 12 tahun yang penuh bermakna. Kau hidup gembira selama 12 tahun.”

Azfar terdiam sejenak dan memikirkan kembali tentang 12 tahun hidupnya yang penuh dengan suka duka. Dia sudah puas dapatkan apa yang dia mahukan. Air matanya sekarang merupakan air mata kegembiraan. Dia berpaling ke arah komputer ribanya. Di skrin komputernya tertulis:

“Ada apa-apa yang kau mahu katakan kepada aku Azfar?”

Pintu biliknya terbuka, jelas kelihatan tubuh seorang lelaki dengan pisau yang berlumuran darah di tangan kirinya. Azfar tahu hayatnya sudah tidak lama ketika itu. Dia mengesat air matanya dan sempat memberikan kata-kata terakhir sebelum dirinya ditikam bertubi-tubi oleh lelaki tersebut.

“Terima kasih untuk 12 tahun ini Peramal.”

Bab 8

Author Image

Abraham Yusoff
Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Kisah yang aku tulis ni sebenarnya dah lama. Dalam 2 tahun lepas. Harap korang suka. Jangan lupa share.

No comments:

Post a Comment

Kembali Ke Atas