Home Ads

Thursday, June 8, 2017

Abnormal

Oleh :SyaNa


4


BILIK MESYUARAT UTAMA
AGENSI PENYIASATAN RAHSIA MALAYSIA (MSIA) – 11.00 malam


Ketua Kakitangan MSIA, Fakhrul Ahmad tiba di bilik mesyuarat dalam keadaan sedikit kelam-kabut diikuti dengan beberapa orang staf yang mengikutnya dari belakang.

Meskipun berpakaian kemas dan formal, tangannya masih cuba membetulkan tali leher dan pada masa yang sama, dia juga tidak selesa dengan situasi kecemasan mereka itu. Setelah mereka semua bersiap sedia, skrin projector diturunkan dan paparan wajah tiga orang atasan MSIA muncul. Pengarah MSIA, Datuk Lee berada di tengah-tengah skrin.

“Selamat petang, tuan-tuan dan puan-puan,” Fakhrul berkata dengan tenang.

“Hari sudah menjelang tengah malam, Fakhrul,” Datuk Lee tidak menyahut ucapan selamat itu dengan baik dan daripada ekspresi wajah mereka, ternyata semuanya tampak tidak mesra. Fakhrul menelan liurnya dengan berat sebelum memperbetulkan semula cara duduknya. Paparan skrin mula menunjukkan gambar Roy dengan beberapa keping dokumen penting tentang projek Ueno dan gambar prototaip motor itu.

“Maafkan saya di atas kelewatan berita ini. Dukacita dimaklumkan bahawa kita telah kehilangan salah satu ahli penting MSIA yang lebih dikenali sebagai Roy, ketua biro unit sains dan teknologi MSIA pada pukul 9.30 malam tadi,” Fakhrul membaca serba sedikit kandungan dokumen yang dihulurkan oleh penolong peribadinya itu.

“Seperti apa yang telah dilaporkan oleh Simon, mendiang tengah menyiapkan projek Ueno dan bersiap sedia untuk pulang bersama dengannya. Selang beberapa minit ketika dia tengah menunggu mendiang di tingkat bawah, dia terdengar bunyi tembakan bertubi-tubi di tingkat atas sebelum melihat kelibat seseorang melarikan diri daripada tingkap atas dan meninggalkan tempat kejadian dengan sebuah motorbike. Kes ini kini menjadi siasatan pihak polis dan-“

“Bagaimana pula dengan projek Ueno itu?” Datuk Lee tiba-tiba bertanya. Fakhrul melihat orang-orang sekeliling dan memandang semula ke arah orang-orang atasan itu. “Maksud saya, apa yang akan terjadi dengan projek Ueno itu, Fakhrul? Adakah kamu akan mendapatkannya semula atau mencipta sebuah lagi prototaip?”

“Maafkan saya, Datuk Lee tapi…. Ahli MSIA kita baru saja meninggal dunia. Sudah pasti projek ini akan ditangguhkan buat sementara waktu demi menghormati-,” Fakhrul meletakkan semula dokumen yang dipegangnya itu ke atas meja.

“No, no, no…. Projek ini sudah tidak boleh ditangguhkan lagi, Encik Fakhrul. Kita telah menunggu masa yang lama untuk peluang ini dan jikalau projek ini ditangguhkan lagi seperti projek-projek kita sebelum ini, sudah pasti ia akan menjejaskan reputasi MSIA kepada pihak kerajaan. Menurut perjanjian yang telah ditandatangani, projek ini perlu disiapkan dengan segera. Tidak kira apa yang berlaku sekalipun. Dan Roy sendiri telah pun bersetuju dengan syarat perjanjian itu sejak beberapa bulan yang lalu lagi….” Timbalan Pengarah MSIA, Sarah Hikes mula bersuara.

Fakhrul mengeluh berat dengan penjelasan yang diberi oleh mereka. Demi sebuah projek, nyawa manusia pula menjadi gadaian dan secara tidak langsung menjadi asset kedua paling penting dalam menjayakan projek ini. Sungguh tidak adil baginya. Namun, itulah hakikatnya apabila mereka hendak berkhidmat kepada negara. Nyawa sudah pasti akan menjadi taruhan pada suatu masa akan datang dan apabila masa itu tiba, pasti sukar bagi mereka untuk membuat keputusan. Apatah lagi mereka yang sudah memiliki keluarga sendiri.

Fakhrul berdiri daripada tempat duduknya dan mulai berfikir sambil berjalan di kawasan bilik itu. Perilakunya itu diperhatikan oleh staf-staf bilik itu yang saling memandang antara satu sama lain. Tiba-tiba, dia berhenti di posisi tempat duduknya dan menghadap semula ke arah projector skrin itu ekspresi wajah yang masih berfikir. “Baiklah. Berikan saya tempoh 12 bulan…..” dia menunjukkan dua jarinya kepada pengarah itu.

“10 bulan…”

“11 bulan…”

“10 bulan… Tidak lebih daripada itu,” Datuk Lee menyatakan pendapatnya.

“Kami perlukan lebih daripada itu, Datuk Lee. Bukan senang kami hendak mencari objek sedemikian rupa dalam tempoh masa yang singkat! Kami juga ada projek yang perlu difokuskan buat masa sekarang-“

“Jelas sekali kita tidak boleh membuang masa lagi dan teruskan kerja, Encik Fakhrul… Ini bukan lagi arahan kami tetapi tugas utama kamu,” Sulaiman Adjad, wakil daripada badan kerajaan itu. Fakhrul terbejat tidak terkata kerana seumpama orang-orang atasan itu tidak membantunya langsung, malah memaksanya untuk menyelesaikan masalah ini seorang diri. Dia mengalihkan semula pandangan ke arah staf-stafnya itu. Kelihatan seperti mereka lebih rela berdiam diri daripada berkata-kata kerana takut akan diberikan tekanan oleh orang-orang atasan itu sama seperti dirinya. Dia mulai rasa hampa dengan nasib yang menimpa dan mengeluh dengan kecewa lagi.

“9 bulan….”

Tumpuan beralih pula ke arah suara asing yang kelibatnya langsung tidak disedari oleh sesiapa pun di bilik itu. Mata Fakhrul terbuntang luas dek terkejut melihat kemunculan orang yang langsung tidak disangkakannya – Darwin.

“Berikan kami tempoh masa 9 bulan dan semua projek yang dilancarkan akan siap dengan sepenuhnya. Amacam?” Darwin berseleroh sambil berdiri di sebelah Fakhrul. Berpakaian serba hitam, berkepala botak dan sebelah kanan mukanya yang kelihatan seperti berparut ditampal dengan besi tahan karat. Mata kanannya juga diperbuat daripada besi yang sama dan jikalau diperhatikan lama, rupanya saling tidak tumpah seperti manusia separuh robot.

“Siapakah kamu?” Datuk Lee bertanya dengan muka berkerut. Itu merupakan pertama kali dia bertemu dengan lelaki yang dianggapnya ‘pelik’ itu. Fakhrul hanya berdehem kecil sebelum menumpukan pandangan kepada pengarah itu.

“Izinkan saya memperkenalkan Ketua Biro Keselamatan MSIA baru kita, Encik Darwin. Dia merupakan bekas ahli tentera yang pernah berkhidmat di Syria dan Palestine suatu ketika dahulu sebelum kembali ke Malaysia untuk melapor diri ke MSIA sejak seminggu lepas. Meskipun dia masih lagi dianggap ‘baru’ dalam bidang kerja ini, saya mengharapkan dia juga boleh memberi kerjasama dalam menjayakan projek Ueno ini dan…’projek-projek’ lain pada masa yang sama,” Fakhrul teragak-agak dalam percakapannya kerana ‘projek’ yang dimaksudkan itu belum lagi dibentangkan sepenuhnya kepada pihak atasan itu.

Projek itu juga atas tanggungan dan idea Darwin sendiri maka sebagai ketua dan pemantaunya, dia perlu memberi persetujuan jua kerana dia amat percayakan lelaki itu lebih daripada dia mempercayai dirinya sendiri.

“Adakah kesan parut di wajah kamu itu punca daripada bencana yang berlaku di dunia sana?” Sarah itu bertanya.

“Betul. Semasa bertugas menyelamatkan beberapa penduduk kampung di Syria, saya terkena serpihan letupan bom yang dijatuhkan oleh kapal rejim dan hampir kehilangan nyawa saya sendiri. Terima kasih kepada Roy, hasil ciptaannya telah berjaya menyelamatkan nyawa saya,” Darwin menuding jarinya ke wajah sendiri.

Pengarah itu hanya mengangguk kepala tanda faham. Darwin memandang Fakhrul dan memberi isyarat kepada lelaki itu untuk menyerahkan sesi perbincangan itu kepadanya pula. Dahi Fakhrul hanya berkerut seribu atas respon lelaki itu.

“Berbalik kepada perbincangan kita tadi, saya tidak kisah jikalau pihak tuan ingin memberi kami 9 bulan saja untuk selesaikan semua masalah-masalah ini. Bagi membalas jasa baik Roy, saya sudi berkhidmat untuk mencari dalang di sebalik kes ini dan tuntut keadilan yang saksama atas kematian sahabat saya…tuan.”

“Saya tidak kisah. Apa yang penting sekarang, projek itu WAJIB diteruskan dan kami serahkannya kepada kamu berdua untuk menghabiskannya semua tanpa ada sebarang masalah. Faham? Keputusan kami adalah muktamad. Mesyuarat berhenti di sini. Bersurai,” Datuk Lee mengakhiri sesi perbincangan itu dan menutup skrinnya.

Abnormal 3

Author Image

SyaNa
Cerita ini hanyalah rekaan fiksyen semata-mata dan segala nama yang dipakai serta teori yang disertakan (mungkin) tidak betul. Cerita ini juga mengandungi penggunaan bahasa pelat daripada Semenanjung dan Sabah. Mohon tidak keliru dengan pemahaman bahasa yang digunakan. Selamat membaca!

No comments:

Post a Comment

Kembali Ke Atas