Home Ads

Thursday, June 8, 2017

Abnormal

Oleh :SyaNa


3


MAKMAL PROTOTAIP
AGENSI PENYIASATAN RAHSIA MALAYSIA (MSIA) – 9.00 malam


“Roy… Kau dah siap ke belum?”

Roy menoleh ke arah rakan makmalnya, Simon yang tengah bersiap sedia untuk pulang. Dengan beg sikut dan tangannya yang mencapai suis lampu dan penghawa dingin makmal itu, kelihatan seperti rakannya sudah lama menunggu di situ dan tidak sabar untuk pulang.

“Kau balik jelah dulu. Aku rasa lama lagi nak siap ni…” Dia menyambung semula kerjanya membaiki wayar-wayar motor hasil ciptaannya itu yang dinamakan Ueno.

Atas permintaan pihak atasan, sudah menjadi tugasnya sebagai salah satu pakar pencipta di makmal itu yang boleh mencipta pelbagai jenis mesin dalaman yang serbaguna untuk diguna pakai oleh pihak agensinya. Kali ini, permintaan mereka sukar untuk ditangguhkan kerana mereka memerlukannya dengan segera.

Ueno yang diciptanya itu bukanlah sejenis motor biasa yang boleh dipakai untuk menghasilkan projek D.I.Y. atau mesin-mesin lain. Ueno diumpamakan seperti ‘benih’ yang menghidupkan mesin-mesin berkuasa besar seperti mesin pengimbas DNA manusia, alat pengesan memori manusia dan lebih pelik lagi, mesin pencetak retina manusia. Tanpa Ueno, segala mesin ini tidak akan berfungsi.

Simon hanya mengeluh dan masih belum berganjak pergi. “Sambung jelah esok. Lapar dah ni… Hari ni dah masuk kali ketiga aku makan seorang diri tau. Bila lagi kita boleh hangout sama-sama ni…..” Simon mengadu seperti budak kecil meskipun dia cuma bergurau.

Roy hanya tergelak mendengar rintihan rakannya itu. Meskipun lelaki itu lebih tua daripadanya, perangai Simon langsung tidak sematang umurnya. Dia hanya mampu bersabar dan menghormati permintaan rakannya itu. Lagipun, sudah lebih daripada sebulan fokusnya hanya tertumpu kepada motor kecil itu. Sekali-sekala dia juga perlukan rehat. Apa salahnya dia menghabiskan sisa baki masa yang masih ada bersama dengan rakan karibnya itu?

“Okay okay… Sepuluh minit lagi aku jumpa kau kat bawah ya. Nak singgah ke tandas jap.” Dia melihat rakannya tersenyum riang sebelum meninggalkannya seorang diri di makmal itu. Roy mengangkat motor itu yang cuma sebesar gengaman tangannya.

Dalam diam, dia sebenarnya sangat berbangga dengan hasil ciptaannya itu. Jikalau diikutkan cerita, mahu saja dia ingin menjual motor itu kepada syarikat swasta dengan harga yang sangat lumayan. Lebih mahal daripada gaji bulanannya. Dengan duit itu juga, dia boleh bersara awal dan buat bermacam-macam jenis kerja yang diimpikan sebelum ini seperti bercuti ke seluruh dunia, membeli sebuah rumah besar atau membuka syarikatnya sendiri.

Namun atas sebab-sebab peribadi, dia lebih selesa menyumbangkan tenaga dengan sepenuhnya di agensi itu daripada menjadi ketua dalam syarikatnya sendiri atau bekerja dengan mana-mana syarikat di luar sana. Roy mulai termenung seketika sehingga teringatkan Simon yang tengah menunggunya di bawah. Dia menyimpan Ueno itu ke dalam bekas khas sebelum bergegas ke tandas di luar makmal itu.

Beberapa minit kemudian, kedengaran bunyi tapak kaki berjalan menuju ke arah makmal itu. Kelibat seorang individu tidak dikenali berhenti di hadapan pintu kaca makmal itu. Berpakaian hitam dari atas ke bawah, bersarungkan tangan dan memakai but hitam, kepala ditutup dengan hood jaket panjang, dan wajahnya ditutup dengan penutup muka warna hitam. Matanya yang tajam melihat kelilingnya dengan tenang sebelum mencapai sesuatu dari poket belakangnya. Alat yang dipegang itu hampir serupa dengan saiz telefon pintar biasa namun, kelihatan sedikit tebal kerana dilekatkan dengan kad tidak bertanda. Pintu kaca itu perlu dibuka dengan menggunakan kad ahli makmal yang tertentu saja. Dia menggunakan kad tidak bertanda itu untuk discankan dan menekan beberapa papan kekunci itu. Beberapa saat saja, pintu itu terbuka luas untuknya.

Dia berjalan dengan tenang menuju ke meja kerja Roy dan mencapai bekas yang jelas tidak ditutup rapat. Motor Ueno itu dipegang dan diperhatikan dengan teliti seumpama dia juga agak kagum dengan hasil ciptaan Roy itu. Sebesar genggaman tangan dengan bentuknya yang menyerupai bentuk polygon, ia langsung tidak kelihatan seperti motor biasa. Sememangnya, itulah motor yang dicarikan selama ini. Dan kini, ia menjadi miliknya jua.

“Zack?” Dia mengalihkan pandangan ke arah orang yang memanggil namanya. Roy memandangnya dengan terkejut. Dia tidak menyangka ahli makmal itu masih belum pergi. Tanpa membuang masa, dia terus mencapai pistol dari belakang poketnya dan menembak Roy tepat ke dada.

Simon yang tengah bermain dengan telefon pintarnya sambil duduk di ruang legar lobi bangunan itu terlompat bila terdengar beberapa das tembakan dari tingkat atas. Belum sempat dia bergegas ke tangga kecemasan berdekatan, dia terdengar pula bunyi tembakan dari arah lain berturutan dengan kaca berjatuhan tidak jauh daripada pintu masuk utama bangunan.

Dia melihat ke arah bunyi itu dan terkejut dengan kelibat seorang yang tidak dikenali melompat dari tingkat atas dan mencapai motorbike yang tiba-tiba datang meluncur ke arah orang itu dari arah lain sebelum lesap dari pandangan. Simon terpegun seketika sehingga dia teringatkan Roy yang masih di tingkat atas.

Dia bergegas naik menggunakan tangga kecemasan dan berlari ke arah makmal mereka. Dia terperanjat dengan keadaan makmal itu yang kini berselerak dan barang-barang makmal yang berhamburan. Secara tidak langsung, dia terus mencapai butang kecemasan tidak jauh daripada pintu itu sebelum pandangannya tertumpu kepada Roy yang terbujur di lantai. Kelihatan darah mulai merekah di belakang makmal kot putih dipakai oleh lelaki itu.

“Roy!” Simon menjerit dan mencapai badan rakannya itu. Bila dia melihat Roy dari depan, nafasnya mulai terbejat dek melihat kesan tembakan peluru yang membenam dada rakannya itu. Roy masih bernafas namun, kelihatan sangat lemah untuk menggerakkan badan. Simon tidak tahu apa yang perlu dilakukan dan mulai memandang sekeliling kawasan dengan panik.

Tiada orang lain selain mereka berdua saja di situ. Meskipun siren telah dibunyikan, pertolongan kecemasan mungkin memakan masa beberapa minit kemudian. Dan masalahnya, Roy memerlukan bantuan kecemasan sekarang juga. Apa yang dia harus lakukan?

“Si…Mon….” Roy berbisik. Simon menarik badan kawannya itu dan mendekatkan telinganya ke mulut Roy. Suaranya yang kedengaran mengecil di sebalik bunyi siren itu menyukarkan Simon untuk mendengar kata-kata rakannya itu dengan jelas. “Tolong aku….selamatkan projek Ueno tu….Segala-gala yang kau perlukan….ada di laci mejaku….Hanya kau sorang saja yang aku percaya….” Dia mulai batuk berdarah.

Simon sudah tidak kisah dengan darah yang sedikit terpercik pada mukanya itu. Dia tidak tahan melihat keadaaan kawannya yang semakin nazak itu dan cuba menahan sebak di dada. “Sampaikan salamku…kepada ibubapaku….Maafkan aku…sebab terpaksa menyusahkan kau, Simon...Terima kasih… Simo-”

Badan Roy menjadi longlai serta-merta dengan matanya masih lagi terbuka melihatnya. Tangisan Simon bergema di seluruh penjuru tingkat bangunan itu tatkala mulai mengecil tatkala ambulans dan beberapa buah kereta polis muncul di hadapan pintu utama bangunan.

Abnormal 2

Author Image

SyaNa
Cerita ini hanyalah rekaan fiksyen semata-mata dan segala nama yang dipakai serta teori yang disertakan (mungkin) tidak betul. Cerita ini juga mengandungi penggunaan bahasa pelat daripada Semenanjung dan Sabah. Mohon tidak keliru dengan pemahaman bahasa yang digunakan. Selamat membaca!

No comments:

Post a Comment

Kembali Ke Atas