Home Ads

Thursday, June 8, 2017

Abnormal

Oleh :SyaNa


2


RUKI menolong ibunya memasak di dapur sementara ibunya sibuk menguruskan dua adik perempuan kembarnya dengan buku-buku sekolah mereka. Dia menyediakan telur dadar campuran bawang besar dan cili sebelum memotongnya kepada beberapa kepingan untuk dikongsi kepada semua orang. Selesai dengan itu, dia menyediakan pula nasi goreng baru saja selesai dimasaknya tadi.

Dengan minuman teh dan kopi panas yang sedia untuk diminum juga tersedia di meja makan. Dia tersenyum kelat atas pencapaiannya kerana ini merupakan kali kedua dia berjaya meyediakan sarapan lengkap untuk sekeluarganya. Selama ini, sukar baginya untuk bangun dan membantu ibunya di dapur selepas menunaikan solat fardhu Subuh kerana seringkali tertidur selepas itu.

Disebabkan dia bekerja separuh masa untuk shift malam, dia tidak berpeluang untuk meluangkan lebih banyak masa lapang bersama keluarganya seperti dahulu lagi. Apatah lagi bersama dengan adik lelakinya, Ruzai.

Sejak dari kecil lagi, Ruki lebih suka bermain dengan adiknya berbanding bermain dengan rakan-rakan sekolah. Pada zaman persekolahannya, mereka berdua selalu ditempatkan di sekolah yang sama dan oleh itu dia seringkali diberi tanggunjawab besar oleh ibubapanya untuk sentiasa memerhatikan Ruzai sewaktu berada di sekolah. Jikalau sempat, mereka akan pulang ke rumah bersama-sama. Pabila tiba hari terakhir dia berada di sekolah itu, Ruzai merajuk seperti kanak-kanak kecil dan tidak bercakap dengannya selama sehari atas sebab tidak lagi dapat berjumpa dengannya untuk beberapa tahun lamanya. Ruki tersenyum sendiri dek memikirkan zaman remajanya dahulu itu.

“Mana Ruzai ni? Nanti lewat kita! Ruki, tolong tengokkan adik kamu tu. Takut dia tertidur balik pula….macam selalu,” mak dia beralah sambil menyalin pakaian adik-adik perempuan, Rara dan Raidah. Keadaan menjadi riuh-rendah disebabkan perangai adik-adiknya itu yang suka buat bising dan kuat bermain.

Ruki hanya mengangguk sambil menuju ke bilik adiknya yang bersebelahan dengan ruang tamu. Belum sempat dia mengetuk pintu bilik itu, Ruzai membukanya dengan muka yang masam mencuka. Ruki terkesima sebentar dengan eksperesi wajah adiknya itu.

“Errr….kau okay kah ndak ni?” Ruki teragak-agak bertanya kerana jelas sekali ‘aura’ yang ditunjuk oleh adiknya itu tampak menyeramkan. Ruzai hanya mendesah sebelum mencapai beg sekolahnya dengan penuh kemalasan.

“Mari sini, biar aku tolong angkatkan,” Ruki mengambil beg itu dengan selamba tapi ditegah dengan lembut oleh Ruzai. Ruki melihat adiknya itu dengan hairan. “Kenapa ni? Kau ada apa-apa masalahkah? Mau berkongsi ndak dengan abang kamu ni?”

Ruzai memandang abangnya itu dengan sedih. “Bolehkah aku bekerja jak? Aku tak mau bersekolah lagi…..” Ruzai berkata sambil duduk di sofa ruang tamu. Ruki menyedari adiknya itu mulai cenderung dengan masalah kemurungan.

Dia dapat melihat perubahan tingkah lakunya yang dahulu agak periang dan nakal sebagai seorang adik. Namun, sejak melangkah ke fasa sekolah menengah Ruzai mulai menunjukkan sifat-sifat seorang remaja yang tidak mahu mendengar cakap ibubapanya dan semakin tidak sukakan belajar.

Sebagai seorang abang, mestilah dia risaukannya tapi pada masa yang sama dia juga memahami masalah dihadapi adiknya itu. Melihat Ruzai umpama melihat dirinya dalam versi muda yang masih tidak cukup matang pemikirannya.

“Ruzai… Kenapa kau mau berhenti? Sebab kau ndak suka belajar atau kamu tidak sukakan sekolah kamu?” Ruki duduk di sebelah kirinya. Ruzai sedar abangnya kini cuba menumpukan perhatian kepada dirinya. Selama ini, ibubapanya sendiri tidak berbuat demikian. Hanya abangnya seorang saja.

“Bukannya ndak suka belajar. Aku cuma… ndak mahu teruskan belajar. Itu saja…”

Ruki mengeluh pendek sebelum memegang bahunya. “Bertahanlah untuk setahun lagi, Ruzai. Ndak lama lagi, kamu akan bebas daripada semua ni. Abang pasti, kamu ndak akan menyesal punyalah….” “Abang pun sama juga seperti mak dan ayah….” Ruzai menoleh ke arah lain, tanda kecewa.

“Bukan seperti yang kau sangkakan, Ruzai. Maksud aku di sini, kau kenalah bersabar untuk setahun lagi. Mungkin keadaan susah bagi kau buat masa sekarang. Tapi jikalau hati kau kuat dan kental untuk berhadapan dengan masalah kamu sekarang, pasti kau akan kuat untuk berhadapan dengan masalah yang akan datang bila kamu sudah tamat belajar nanti. Percayalah, renjau kehidupan seorang pelajar memang begitu tapi renjau kehidupan mencari makan dan minum lebih susah daripada yang kau sangka tau.”

Ruzai mulai membuat muka tanda tidak puas hati. Ruki hanya mampu tersenyum sambil mengusap kepala adiknya. “Suatu hari nanti bila kau sudah cukup dewasa pasti kau akan faham. Betapa susahnya bekerja daripada belajar…..”

“Ruzai! Sudah siap kah belum?!” Bapa mereka muncul di sebalik tangga rumah yang berdekatan dengan ruang tamu. “Apa lagi yang kamu buat di sini? Kita lambat sudah ni!” katanya sambil bercekak pinggang.

Belum sempat Ruzai bangun dari tempat duduknya, Ruki menarik bahunya sehingga dia terduduk semula. “Ndak apa, bapa. Jangan risau, biar saya saja yang hantarkan dia. Mak dan bapa pergilah uruskan Rara dan Raidah tu dulu,” Ruki mengukir senyuman.

Bapa cuma mengangguk dan pergi dari situ tanpa berkata apa-apa. Dia dan isterinya bergegas ke ruang parkir rumah sebelum pergi meninggalkan tempat itu. Secara tidak langsung, rumah yang riuh-rendah menjadi senyap semula.

“Kita bincang semula pasal hal ni nanti, ya? Pergilah makan. Nanti lambat pula kau ke sekolah…” Ruki mengadu. Ruzai memuncungkan bibirnya tanda tidak puas hati sebelum bergegas ke ruang makan. Ruki hanya mampu tergelak melihat kegelojohan adiknya makan sarapan yang disediakannya.

Meskipun jarak umur antara Ruki dan Ruzai hanya lima tahun, hubungan mereka rapat seperti sahabat karib. Seorang pelajar kolej swasta dan bekerja sebagai pelayan separuh masa di sebuah café manakala seorang lagi pelajar sekolah menengah tinggi Tingkatan 4 yang hampir berputus asa dengan pembelajarannya. Walaupun hanya dapat berjumpa untuk beberapa hari saja dalam seminggu disebabkan jadual harian yang berbeza.

Dalam perjalanan mereka menuju ke sekolah Ruzai, keadaan jalanraya sudah pun sesak. Agak sukar untuk mereka sampai ke sekolah dalam jangka masa sedemikian. Ruzai mulai risau dan melirikkan pandangan ke arah abangnya yang memegang stereng kereta dengan tangan kanan sementara tangan kirinya masih memegang batang gear.

Bagi Ruzai, dia sudah tidak kisah jikalau dia lewat ke sekolah. Tapi, apa yang dirisaukannya sekarang adalah….

“Ruzai…pegang tali keledar kau kuat-kuat….” Ruki berkata dalam nada serius. Mata Ruzai terbuntang luas bila mendengar abangnya berkata macam itu. “Oh tidak…” dia berkata dalam mindanya.

Dengan tangkas, Ruki menarik batang gear kereta itu dan memulas stereng kereta untuk keluar daripada laluan jalanraya yang tersekat dan mengambil jalan keluar daripada laluan paling kanan. Selepas membuat pusingan U-Turn, dia terus menukar gear keretanya ke gear 5 dan mula memecut dengan laju.

Ruzai mulai kecut perut kerana dia tahu abangnya sangat sukakan kelajuan. Ruki pernah berimpian ingin menjadi seorang stunt driver untuk kereta lumba aksi namun, impiannya itu ditegah kuat oleh ibubapa mereka sehingga dia terpaksa mencari impian baru. Namun, abangnya seperti lupa akan semua itu dan memandu kereta seperti filem aksi kereta berlumba terkenal ‘Fast and Furious’.

Sepuluh minit kemudian, mereka selamat sampai ke sekolah Ruzai. Seolah-olah kejadian tadi tidak pernah berlaku langsung. Ruki menjerit dengan ceria sehingga tidak menyedari adiknya masih lagi mengeletar ketakutan. Ruzai membuka tali keledarnya sambil mencapai beg sekolah yang diletak di tempat duduk belakang kereta.

“Jangan lupa call abang tau jikalau ada apa-apa masalah. Okay?” Ruki senyum sambil mengeyitkan matanya dengan ceria. Ruzai hanya mampu menjeling sebelum mengucap salam kepadanya dan keluar daripada kereta itu. Selepas abangnya pergi, Ruzai mengalihkan pandangannya ke bangunan sekolah tinggi itu.

“Setahun dan….sepuluh bulan lagi…..” Ruzai mengeluh panjang.

Abnormal 1

Author Image

SyaNa
Cerita ini hanyalah rekaan fiksyen semata-mata dan segala nama yang dipakai serta teori yang disertakan (mungkin) tidak betul. Cerita ini juga mengandungi penggunaan bahasa pelat daripada Semenanjung dan Sabah. Mohon tidak keliru dengan pemahaman bahasa yang digunakan. Selamat membaca!

No comments:

Post a Comment

Kembali Ke Atas