Home Ads

Thursday, May 18, 2017

Abnormal

Oleh :SyaNa


1


Setahun lepas…
KOTA KINABALU, SABAH.


RUZAI membuka kelopak matanya dan memandang ke atas siling bilik tidurnya. Dia melihat sekeliling dan melihat keadaan kembali normal. Dia mengeluh dengan lemah sebelum bangun dan termenung dalam keadaan terduduk menghadap ke arah jendela yang ditutup dengan langsir. Waktu subuh semakin ke penghujungnya dan matahari akan terbit dalam tempoh setengah jam lagi.

Baru sebentar tadi, dia bermimpikan tentang dunia fantasi kehidupannya sebagai pewira negara berpakaian uniform ala-ala watak ‘Superman’, ‘Batman’ dan ‘Captain America’ dalam versi dan lambang negara Malaysia. Berjuang untuk menyelamatkan negara daripada ancaman jahat musuh-musuh mereka, disanjung tinggi oleh orang ramai dan menjadi bintang pujaan kepada kanak-kanak kecil. Sememangnya, itulah impiannya. Bukan menjadi askar tetapi pewira yang memiliki kuasa ajaib.

Namun, realiti tidak semuanya indah seperti yang diimpikan.

Untuk remaja berusia 16 tahun seperti Ruzai, realiti kehidupannya jauh lebih ‘memenatkan’ daripada apa yang diharapkan sejak dari kecil lagi. Hidupnya yang hanya bergantung pada gred pelajaran dan pencapaian kedudukan di kelas membuatkan dia mulai muak dengan persekolahannya. Yang lebih menyedihkan, tiada siapa juga yang mengambil peduli tentang ‘masalah’ yang dihadapinya ini. Itu adalah perkara ‘normal’.

Ibubapanya sibuk bekerja mencari nafkah untuk mereka sekeluarga, adik-beradiknya pula sibuk dengan hal masing-masing dan dia pula sibuk memikirkan perihal dirinya sendiri untuk terus bertahan dengan keadaan dirinya sekarang. Itu juga ‘normal’ baginya.

Ruzai melirikkan matanya ke meja belajar di sebelah katilnya. Dua buah buku kerja sekolah kelihatan terbentang luas dengan alat-alat tulis yang tampak sedikit berselerak di atas permukaannya. Dia masih ingat lagi agenda semalam.

Disebabkan aktiviti ko-kurikulumnya yang tamat pada lewat petang, dia kesuntukan masa untuk menyiapkan kerja-kerja sekolah yang perlu dihantar pada keesokkan harinya. Namun, dia tetap sempat menyiapkan kerjanya itu sebelum menjelang waktu tengah malam dan serta-merta ‘pengsan’ di atas katilnya sendiri seusai menunaikan solat fardhu Isyak. Inilah yang dia hadapi hampir setiap hari persekolahannya.

Menyesuaikan diri dengan jadual persekolahan yang padat bukanlah satu tugas yang mudah untuk semua pelajar sekolah menengah tapi disebabkan dia cuma ada setahun saja lagi sebelum segala-galanya tamat, dia gagahkan diri juga untuk meneruskan perjuangan. Tapi, semangat yang dipegang selama ini juga semakin lama semakin rapuh. Dia mula rasa ingin berputus asa.

Perlukah dia mengikuti apa yang dikehendaki oleh orang-orang tuanya selama ini? Selepas tamat belajar, hendaklah dia mencari kerja. Selepas mendapat kerja, hal perkahwinan pula perlu difikirkan. Selepas berkahwin, zuriat pula yang perlu difikirkan. Pabila anak-anak sudah mencapai dewasa, giliran kita pula yang bersara dan golongan muda-mudi perlu meneruskan ‘tradisi’ ini sehingga generasi yang akan datang menyusul tiba.

Itukah yang dinamakan lumrah? Mengapa dia perlu mengikut ‘tradisi’ ini secara berterusan? Hanya kerana ibubapanya melakukan benda yang sama sewaktu mereka muda dahulu, adakah dia juga perlu menuruti jejak langkah mereka? Mengapa dia tidak menentukan jalan kehidupannya sendiri? Apakah dia tidak dibenarkan untuk melakukan apa yang dia inginkan selama ini?

Soalan yang sama ditujukan kepada dirinya sendiri – apa yang aku inginkan selama ini?

Ruzai bermonolog dalam hatinya sambil mengeluh panjang pabila mengenangkan perbualan bersama ibubapa pada suatu ketika dahulu tentang keputusannya ingin berhenti sekolah...

“Tidak boleh! Kamu mesti pergi ke sekolah! Wajib! Tidak kira apa jua alasan kamu! Dengar tak?!”

“Mengapa kamu mahu berhenti? Susah payah mak dan ayah mencari makan dan minum untuk kamu, membayar yuran persekolahan kamu dengan harapan supaya kamu boleh belajar bersungguh-sungguh. Pernahkah kamu memikirkan penat-lelah mak dan ayah cuba menjaga kamu selama ini??”


Ya. Itulah jawapan yang Ruzai dapat. Belum sempat dia menghabiskan ayat-ayatnya, dia terkedu mendengar bebelan dan rintihan ibubapanya yang sama sekali tidak setuju dengan keputusannya ingin berhenti sekolah.

Sekali lagi, dia mengeluh panjang dan mengalihkan pandangannya ke arah jam digital di meja belajarnya itu. Jam menunjukkan pukul 5.30 pagi, Hari Rabu.

Dia mulai berfikir tentang apa yang pesanan penting arwah datuknya suatu ketika dahulu tentang kehidupan. “Bekerja biarlah untuk hidup dan janganlah hidup hanya untuk bekerja.”

“Maafkan saya, nenek. Malang sekali, sukar untuk saya mengikuti kata-kata nenek itu….” Ruzai yang sudah biasa memanggil datuknya itu dengan panggilan ‘nenek lelaki’ bercakap dengan diri sendiri sebelum bangun daripada katilnya dan menuju ke kamar air untuk mandi dan bersiap sedia untuk menunaikan solat fardhu Subuh.

Sebaik-baik perancang dalam hidup ini hanyalah Allah s.w.t. maka sebaiknya, dia memohon petunjuk jalan dalam menyelesaikan masalah ini daripadaNya.

Prolog

Author Image

SyaNa
Cerita ini hanyalah rekaan fiksyen semata-mata dan segala nama yang dipakai serta teori yang disertakan (mungkin) tidak betul. Cerita ini juga mengandungi penggunaan bahasa pelat daripada Semenanjung dan Sabah. Mohon tidak keliru dengan pemahaman bahasa yang digunakan. Selamat membaca!

No comments:

Post a Comment

Kembali Ke Atas